Halaman

30 November 2010

PMINT Disaran Main Peranan Majukan Kawasan Bebas Cukai Di Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU, 30 Nov (Bernama) -- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) disaran supaya memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan mewujudkan kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata PMINT yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti hartanah, pelancongan dan pertanian diharap dapat membantu kerajaan dalam usaha memajukan tasik yang mempunyai 340 buah pulau itu.

"Kita yakin mereka boleh membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan seperti mewujudkan rangkaian hotel dan lot-lot perkedaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam PMINT dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan perbadanan itu di sini Isnin malam.

Ahmad, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT berkata tempoh untuk memajukan kawasan bebas cukai itu agak singkat iaitu 18 bulan hingga dua tahun.

"Terserah kepada PMINT untuk memajukan kawasan berkenaan sama ada dia hendak mendirikan hotel atau rangkaian perkedaian secara sendiri atau kerjasama dengan pelabur dari luar," katanya.

-- BERNAMA