Pasukan yang disertai Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yamnar Racing, berjaya muncul sebagai juara pada Kejohanan Kapal Layar Piala Coronation setelah menewaskan tujuh pasukan lain yang berentap di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (30 November).
Baginda yang bertindak sebagai jurumudi tangkas mengendalikan bot layar bersama kru dan penasihat Piala Monsun, Dato’ Peter Gilmour dalam saingan tiga pusingan untuk mengumpul tujuh mata seterusnya memintas pesaing lain.
Juara Piala Coronation ditentukan berdasarkan pengumpulan markah paling sedikit antara lapan pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu.
Selain baginda, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek turut bertanding dalam pertandingan pembuka tirai kepada Kejohanan Piala Monsun yang bermula esok (1 Disember).
Baginda Tuanku Mizan kemudiannya berkenan ke majlis penyampaian hadiah dan santapan malam sempena kejohanan itu akan diadakan di Ri-Yaz Heritage dan Resort, Pulau Duyong, malam ini.
TEGANUKITA