Halaman

30 November 2010

Cop logo khas 'Batik Tulen Terengganu'

2010/11/29
KUALA TERENGGANU: Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menerusi Persatuan Pembatik Terengganu (PEMBATIK) memperkenalkan cop logo khas 'Batik Tulen Terengganu', bagi mengelakkan kekeliruan pengguna dan memudahkan pembeli membuat pilihan batik tulen dari Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata pengusaha batik boleh merujuk kepada PEMBATIK untuk mencetak logo itu pada tekstil keluaran mereka bagi memudahkan pembeli yang ingin mendapatkan sutera tulen Terengganu.

Katanya, inisiatif memperkenalkan cop logo khas batik itu dibuat selepas beberapa isu ditimbulkan pengguna dan pengusaha mengenai kesukaran pembeli mengenal pasti tekstil dibeli adalah batik tulen Terengganu dan bukan batik yang dibawa masuk dari negeri lain atau luar negara.

"Sebenarnya ada isu pengusaha batik membawa masuk batik dari negeri lain, tapi dia kata batik Terengganu sedangkan kualiti tekstil itu berlainan. Ini menimbulkan kekeliruan pembeli dan meninggalkan imej kurang elok kepada pengusaha batik tempatan.

"Oleh itu kita menghasilkan cop logo khas ini bagi mengelak orang ramai khususnya pembeli keliru. Kita akan minta semua pembatik tempatan menggunakan logo ini sebagai tanda tekstil yang dijual mereka adalah batik tulen Terengganu," katanya selepas merasmikan Festival Batik, Songket dan Kraf (FASBEK) Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Festival berkenaan bermula 25 November hingga 5 Disember ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik; Pengarah Perbadanan Kraftangan Terengganu, Zahir Mohamad dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Bagaimanapun, Mohamed berkata, penggunaan cop logo batik tulen di kalangan pengusaha tekstil itu tidak diwajibkan kerana tiada undang-undang yang membolehkan YPU membuat peruntukan itu.
"Kita tidak wajibkan penggunaan cop logo ini, sebaliknya kita menggalakkan mereka menggunakannya pada tekstil keluaran mereka supaya pembeli tahu batik yang mereka jual adalah keluaran tulen Terengganu.

“Kita juga akan melihat untuk memperkenalkan logo seumpamanya pada produk lain seperti songket yang kita akui banyak persaingan berikutan lambakan songket daripada Kemboja dan India umpamanya, yang harganya jauh lebih murah,” katanya.

Beliau berkata, songket tenunan tangan dari Terengganu juga menarik minat ikon fesyen dan agensi tekstil di negara luar seperti Paris, yang mahu Terengganu membekalkan songket tenunan tangan.

----dipetik dari Berita Harian Online ---