Tuanku Nur Zahirah berkenan memotong kek Ulangtahun ke-10 Hospis Terengganu di Ri Yaz Heritage Marine Resort dan Spa Pulau Duyung. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan merasmikan Majlis Ulangtahun Ke 10 Persatuan Hospis Terengganu di Ri Yaz Heritage Marina Resort dan Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (2 Disember).
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Yang Dipertua, Persatuan HOSPIS Terengganu, To’ Puan Rahmah Elias dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan.
Persatuan amal itu ditubuhkan bertujuan membantu pesakit kanser yang memerlukan perhatian serta penjagaan berkualiti terutama di kalangan keluarga dan masyarakat.
Baginda bertitah, peranan dan sokongan moral ahli keluarga adalah sangat penting dalam membantu pesakit ini terus tabah selain mengelak tertekan dan lebih tenat.
“Dalam hal demikian, beta berharap supaya ahli persatuan dapat bersama-sama keluarga pesakit membantu mereka menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan lebih bermakna dan ceria.
“Ibarat kata perpatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, beta mengakui dan memahami amat sukar untuk kita menyelami isi hati pesakit, mereka tentunya diselubungi keresahan dan kebimbangan sebaik disahkan menghidapi kanser,” kata baginda
Sementara itu, To’ Puan Rahmah, berkata setiap pesakit kanser amat memerlukan perhatian dalam pelbagai aspek termasuk fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit. Oleh itu, kita sebagai masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan memikul tanggungjawab itu seikhlas mungkin.
Katanya, kami sebagai ahli persatuan terdiri daripada doktor, jururawat, pekerja sosial, kaunselor dan sukarelawan pula menawarkan perkhidmatan kebajikan dan rawatan khas di rumah semata-mata ingin mereka menjalani kehidupan lebih baik.
“Penjagaan paliatif yang ditawarkan bukannya untuk menyakinkan pesakit supaya pulih sebaliknya memberi sokongan secara menyeluruh termasuk emosi dan kerohanian selain menjadi perantara pihak hospital.
“Pesakit yang dirujuk kepada HOSPIS lazimnya berada dalam keadaan kritikal, terlalu tenat dan tidak mampu pulih. Pada peringkat ini, aspek simpati, belaian, perhatian dan penjagaan daripada keluarga serta petugas kesihatan cukup penting dan mampu memberi kekuatan kepada mereka berdepan hari-hari mendatang,” katanya.
TEGANUKITA