Kerajaaan negeri bangga dengan kejayaan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menduduki tempat kedua peringkat ketiga Le Tour De Langkawi (LTdL) 2011, walaupun julung kali menyertai kejohanan tersebut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad yang melahirkan rasa kagum dan terharu dengan kejayaan itu turut menaruh harapan agar Raja Pecut, Anuar Manan dan rakan sepasukan, Mohd Harif Salleh terus mengungguli serta sentiasa berada di kedudukan teratas dalam kejohanan itu.
“Dalam perlumbaan hari ini iaitu zon pendakian ketiga, kerajaan negeri tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana zon itu bukan menjadi kegemaran pelumba TSG tetapi masih mengharapkan keajaiban.
“Sebenarnya, anak kelahiran Terengganu ramai yang berbakat dalam bidang sukan, bukan sahaja dalam perlumbaan basikal malah dalam acara-acara lain dan pernah dibuktikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-Ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu, hari ini (26 Januari).
Dato’ Seri Ahmad turut memberitahu kira-kira 106,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di negeri ini bakal menerima agihan pakaian sekolah pertengahan Februari depan.
“Kos yang dikeluarkan melalui bajet pendidikan membabitkan RM12 juta dan kelengkapan itu akan diagihkan secara berperingkat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Dua pelajar dalam setiap keluarga berpendapatan kurang RM1,200 sebulan layak menerima sumbangan itu bagi meringankan beban terutama mereka yang mempunyai anak yang ramai,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri mengharapkan ibu bapa, benar-benar membeli pakaian sekolah dan bukannya menggunakan wang sumbangan itu untuk tujuan lain.
“Setiap pelajar pasti gembira apabila mendapat pakaian sekolah baru dan lebih bersemangat untuk menuntut ilmu bersama rakan sebaya lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Ahmad berkata, pihaknya gembira dengan pengiktirafan pihak luar negara, termasuk Singupura dan Sudan terhadap pengagihan e-Book yang sedang dilaksanakan.
“Perkembangan terbaru, Menteri Pendidikan Sudan menyatakan persetujuan untuk meninjau sistem pendidikan yang diusahakan kerajaan, pada 7 Febuari ini .
“Untuk tujuan itu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) memilih Sekolah Kebangsaan Paya Bunga (SKPB), Kuala Terengganu, sebagai langkah memperkenalnya,” katanya.
Menurutnya, sekolah itu nanti akan menggunakan pendekatan teknologi maklumat, kelas maya dan peperiksaan melalui talian (secara online) sebagai asas pembelajaran.
TEGANUKITA