Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini terus mengulangi peringatan kepada semua ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan agar lebih kerap mendampingi anggota masyarakat bagi menyelesaikan masalah mereka.
“Ini bukan seruan kali pertama saya, bahawa pegawai mesti turun padang. Jika wakil rakyat ramai yang duduk bersama rakyat di kawasan mendengar masalah rakyat, pegawai juga perlu duduk bersama wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat,”.
Beliau berkata demikian di majlis Bicara Eksekutif bersama Menteri Besar dengan pegawai dan anggota penjawat awam kerajaan negeri dan Pusat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat, di Wisma Darul Iman, hari ini (27 januari).
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan dan pemimpin masyarakat.
Menteri Besar berkata, sebagai pegawai, mereka lebih berkemampuan menyelesaikan masalah kerana ada sistem yang memiliki kemampuan tersebut, sebab itulah umum menggelarnya sebagai jentera kerajaan yang mampu merubah keadaan dalam memperkasakan pentadbiran atau mensejahterakan rakyat.
“Sebagai jentera pelaksana, pentadbiran kerajaan negeri mesti kemas, kukuh dan tegas, tetapi ketegasan kita janganlah sampai menghakis kemesraan kepada rakyat kerana ramai yang bergantung kepada perkhidmatan yang diberikan,” katanya.
Dato’ Seri Ahmad berkata, sekiranya kita sendiri tidak boleh membantu rakyat, sekurang-kurangnya boleh memberi petunjuk kepada mereka untuk pergi ke jabatan yang berkaitan dengan urusan yang mereka perlukan.
“Itulah sebabnya, penjawat awam tidak kira kedudukan dalam hiraki pentadbiran, perlu tahu skop tanggungjawab jabatan-jabatan lain supaya mereka dapat membantu rakyat, terutama masyarakat luar bandar yang kabur mengenai fungsi sesuatu jabatan dan pendekatan mesra pelanggan perlu wujud serta menjadi amalan setiap penjawat awam ,” katanya.
Dato’ Seri Ahmad menambah, nilai murni ini bukan rekaan atau sekadar slogan tapi adalah nilai universal yang telah diterima pakai, bukannya diolah dengan logik semata-mata tetapi disadur dengan nilai-nilai Islamik.
“Kita boleh menerima nilai-nilai ini kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi menerima tanpa menghalusi dan menjadikan satu budaya, usaha ini akan menemui kegagalan,” katanya.
Katanya, tugas penjawat awam adalah untuk mencelikkan mata hati rakyat supaya mereka tahu betapa besarnya usaha kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini sudah melalui beberapa fasa pembangunan yang terancang sejak 35 tahun lalu dan setiap fasa dilalui dengan cabaran tersendiri untuk mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih selesa dan terjamin.
“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, perkhidmatan awam Terengganu telah mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan dan saya mahu melihat kecemerlangan ini berterusan,” katanya.
Katanya, apa saja boleh dicapai dengan amanah, komitmen dan disiplin yang tinggi dan ketua-ketua jabatan perlu pandai menilai antara kakitangan di bawah jagaan mereka yang benar-benar mempamerkan kebolehan ‘multi-tasking’ dan bekerja bukan untuk memenuhi waktu yang ditetapkan dari lapan hingga lima petang sahaja.
TEGANUKITA