Halaman

06 June 2013

JANGAN BIADAB..HAYATILAH RUKUN NEGARA JADILAH RAKYAT YANG BERTANGGUNGJAWAB

Oleh: Lang Telipot

Kesedaran sivik adalah penting dalam kehidupan.

Kesedaran sivik atau tata negara merupakan satu usaha menukar nilai hidup kita atau usaha membentuk sifat yang lebih baik bagi kita.

Maksud sivik ialah ilmu tata rakyat. Ilmu bagaimana menjadi rakyat yang sebaiknya. Ia merujuk kepada hubungan individu dengan masyarakat sekelilingnya.

Merujuk juga hubungan dengan negara yang didiami mereka.

Kesedaran sivik bermaksud rasa tanggungjawab yang lahir secara ikhlas dalam menjaga kepentingan awam demi kebaikan bersama.

Pengetahuan sivik terdiri daripada maklumat dan idea asas yang setiap rakyat harus mengetahui serta menggunakannya untuk menjadi warganegara yang bukan sahaja produktif tetapi bertanggungjawab.

Namun kesedaran sivik di kalangan golongan muda hari ini amatlah membimbangkan.

Sesungguhnya, kemelut ini memerlukan strategi dan pelaksanaan yang cekap, konsisten dan efektif.

Pendapat umum ialah usaha membentuk kesedaran sivik ini perlu dimulakan di masa kecil. Kita sedar bahawa jika sesuatu tabiat yang baik telah dipupuk semasa kecil, ia bukan sahaja lebih mudah diamalkan tetapi adalah juga lebih kekal kerana pepatah Melayu pernah berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Oleh hal yang demikian, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak remaja mereka.

Anak-anak yang sedang melalui fasa remaja dalam kehidupan perlu diberi kesedaran tentang kehidupan bernegara dan memahami bahawa negara ini mempunyai sistem dan undang-undangnya.

Hasil dari kurangnya kesedaran sivik, tata negara dan memahami sejarah dan rukun negara, berlakulah peristiwa menghina Yang DiPertuan Agong.

Perbuatan menghina Yang DiPertuan Agong dalam media sosial adalah suatu bukti mereka tiada kesedaran sivik atau tata negara dan tidak memahami sistem negara sendiri.

Individu yang menghina dan melemparkan tohmahan terhadap institusi Raja perlu berdepan tindakan undang-undang tanpa sebarang tolak ansur supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun Facebook, berdasarkan alamat IP sebelum tindakan pendakwaan dilakukan.

Difahamkan siasatan polis turut dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan tindakan kepada mana-mana individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan media dibawa ke muka keadilan.

Kenyataan menghina Raja perkara serius dan perlu diambil tindakan tegas supaya rakyat mengambil iktibar terhadap perkara ini. Pelbagai badan bukan kerajaan membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook dipercayai wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Mereka mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan laman sosial dengan menghina institusi Diraja di negara ini. Pihak berkuasa perlu menggunakan segala peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan menghina institusi berkenaan tidak berulang.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap individu, yang menghina institusi Diraja terutama Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial seperti Facebook.

Tindakan hukuman itu harus dilaksanakan berikutan ia mempunyai unsur hasutan yang boleh memberi impak buruk pada identiti negara.

Mereka yang tidak memahami sistem perlembagaan negara dengan betul dan kerana itu, sewenang-wenangnya mengutuk dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan individu terbabit menghina Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana Sultan tidak dapat boleh dimaafkan. Jika dibiarkan ia boleh menyebabkan keadaan menjadi huru hara.

Rakyat perlu mematuhi Rukun Negara dan wajib memahami apa yang terkandung dalam Rukun Negara itu.

Di samping itu, usaha yang berterusan dalam memberi kesedaran sivik atau tata negara perlu dijalankan bagi melahirkan rakyat, khususnya generasi Malaysia akan datang yang bertanggungjawab.

Sama ada di peringkat rumah, sekolah dan institusi masyarakat seluruhnya kesedaran cintakan negara, memahami rukun negara dan bertanggungjawab kepada negara perlu sentiasa dipupuk.

Jangan nasi sudah menjadi bubur baru berfikir hendak atasinya atau jangan sudah tehantuk baru terngadah. Bertindaklah dari sekarang.