Halaman

04 June 2013

Kerajaan Negeri tetap teruskan pembinaan Pasar Payang baru

Lakaran Pasar Besar Kedai Payang baru.
Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri tetap meneruskan projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) baru walaupun mendapat tentangan daripada segelintir pihak khususnya pembangkang yang tidak bersetuju dengan pembangunan yang hendak dilaksanakan kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tujuan pembinaan PBKP yang baru adalah untuk keselesaan serta kebaikan peniaga dan pengunjung pasar terbabit dan bukannya untuk menyusahkan rakyat.

"Pembinaan PBKP baru yang dilengkapi eskalator, pendingin hawa serta tempat meletak kenderaan sebanyak 400 unit akan memberi keselesaan kepada orang ramai yang mengunjungi pasar ini.

"Perancangan yang teliti telah dilakukan untuk kebaikan semua pihak dan bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan pembangunan ini terutamanya peniaga mereka boleh keluar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dataran Syahbandar, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud serta Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Katanya, kerajaan negeri hanya akan merobohkan Pasar Payang terbabit dan membina PBKP yang baru di tapak sedia ada selepas pasar sementara di Pulau Warisan bernilai RM8 juta siap tidak lama lagi.

"Peniaga boleh menjalankan urusan perniagaan seperti biasa di pasar berkenaan sementara menunggu masa untuk berpindah balik ke PBKP yang baru apabila ia siap dibina nanti,” ujarnya.

Katanya, beliau tidak faham dengan sesetengah pihak yang mahu bangunan lama PBKP dikekalkan sebagai warisan kerana bangunan tersebut sudah uzur dan sudah tiba masanya dilakukan pembaharuan.

"Saya kecewa apabila kerajaan hendak buat pembangunan yang lebih baik dan lebih selesa untuk rakyat tetapi timbul pelbagai persepsi negatif dari mereka yang tidak berpuas hati.

"Kalau bercakap soal nilai estetika dan warisan, Pasar Payang pernah dirobohkan pada tahun 60-an dulu dan telah dibina balik tetapi tiada sebarang rungutan pun,” ujarnya.