Terengganu antara destinasi utama pilihan pelancong tetapi apa yang membimbangkan ramai yang merungut barangan di negeri ini khususnya makanan agak mahal berbanding negeri lain.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali lagi mengingatkan peniaga agar mengenakan harga berpatutan kerana perkara sedemikian boleh menjejaskan industri pelancongan Terengganu jika tidak dibendung.
"Saya dapati ada peniaga khususnya yang menjadi orang tengah mengambil kesempatan mengenakan harga yang agak tinggi terutamanya musim perayaan dan cuti persekolahan contohnya dengan menaikkan harga ikan dan sayuran yang menyebabkan harga jualan makanan di restoran dan kedai menjadi mahal.
"Situasi tersebut akan menyebabkan pelancong terperangkap dengan peniaga yang gemar mengambil kesempatan dan boleh menjadikan mereka serik untuk datang ke negeri ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dataran Syahbandar, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud serta Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.
Tambah Dato’ Seri Haji Ahmad, beliau nasihatkan agar peniaga tidak mengambil untung terlalu tinggi dan mengenakan harga yang berpatutan agar Terengganu terus kekal menjadi destinasi utama pilihan pelancong.