Malang menimpa seorang pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu apabila maut selepas dirempuh lori treler ketika menjalani sesi latihan, di atas jambatan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu, pada jam 9.30 pagi tadi.
Mangsa, Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori terbabit dari arah bertentangan.
Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai diseret di bawah tayar kanan lori dan parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa dikatakan sedang menjalani latihan bersama 44 rakan skuad yang sama menuju ke Bukit Besi, Dungun sebagai sebahagian daripada latihan untuk menghadapi sebuah kejohanan di Perlis pada 19 Jun ini.
Menurut rakan sepelatih mangsa, Che Ku Mohd Nazimie Che Ku Romli, 19, insiden itu dikatakan terjadi selepas seorang pelumba di hadapan terlanggar lubang sebelum dia yang mengekori di belakang tidak sempat mengelak.
“Tayar basikal kami bergesel dan saya gagal mengawal basikal sebelum terjatuh ke sebelah kanan jalan. Arwah yang berada di belakang cuba mengelak daripada melanggar saya tetapi hilang kawalan dan terjatuh dari basikalnya di tengah jalan.
“Saya sempat bangun tetapi arwah gagal dan dia dirempuh sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan serta diseret sejauh 1.5 meter.
“Ketika itu, arwah masih bernyawa sambil merintih kesakitan dan memanggil nama ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurutnya, arwah kemudian dikejarkan ke HSNZ dengan ambulan untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia beberapa minit selepas tiba di hospital itu.