Halaman

05 June 2013

Lawatan dua hari ke pulau peranginan seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dijangka mengadakan lawatan kerja pertama ke pulau peranginan seluruh Terengganu selama dua hari, bermula esok.

Lawatan ke Pulau Bidong, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian itu turut disertai seramai 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan berkaitan kerajaan (NGO), pengusaha pelancongan Pulau Redang , kakitangan Jabatan Taman laut Malaysia (JTLM) dan pengamal media.

Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata program yang pertama kali seumpama itu dilaksanakan bagi melihat perkembangan dan senario pembangunan pulau dari sudut pelancongan negeri termasuk aspek keselamatan dan pengawasan pelancong.

“Kerajaan negeri mahu meninjau kondisi pembangunan pulau khususnya melibatkan senario berkaitan pelancongan dan juga kawalan keselamatan supaya kejadian kemalangan yang membabitkan pelancong tidak lagi berlaku di pusat peranginan itu.

 “Lawatan secara dekat itu membolehkan semua pihak menangani pelbagai masalah dan isu berkaitan pelancongan sekaligus menerima respon dari penduduk mahupun penggiat pelancongan di semua pulau terlibat,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Sehubungan itu, Encik Ahmad Fathil berkata, peserta program itu dijadualkan bertolak dari Jeti Merang, Setiu, untuk ke Pulau Bidong bermula jam 8 pagi.

 “Sejurus lawatan di sekitar Pulau Bidong, peserta akan ke Pulau Redang, kira-kira jam 9.15 pagi. Exco (Dato’ Mohd Jidin), dijangka tiba di Pusat Taman Laut Pulau Pinang, Pulau Redang, jam 9.30 pagi.

 “Dato’ Mohd Jidin akan menyampaikan ucapan selepas ucapan oleh Timbalan Ketua Pengarah JTLM, Encik Kamaruddin Ibrahim, seterusnya disusuli dengan acara Pelepasan Sukarelawan Penyelam Skuba sempena Program Crown of Thorns dan Reef Clean Up Pulau Redang anjuran JTLM,” katanya.

Katanya, lawatan sekitar Pusat Taman laut akan bermula pada jam 11.30 pagi, disusuli lawatan sekitar Pulau Redang yang dijangka berakhir jam 4 petang.

 Menurutnya, peserta kemudiannya ke Pulau Lang Tengah untuk bermalam di Sari Pacifica, sebelum meneruskan lawatan ke Pulau perhentian, kira-kira jam 7 pagi.

 “Di Pulau Perhentian, peserta akan melawat sekitar Pasir Panjang dan kampung Pulau Perhentian, bermula jam 10 pagi sebelum berhenti rehat untuk solat Jumaat,” katanya.