Halaman

11 June 2014

“KECIL BAGI KITA, BESAR BAGI ORANG” KERJA BERSAMA-SAMA, SEPASUKAN



Oleh: RAR

SEBAIK  sahaja menjadi pemimpin nombor satu negeri , Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman cukup merendah diri dengan menyatakan beliau menerima amanah itu untuk kepentingan rakyat, meneruskan apa juga agenda pembangunan untuk kebajikan dan faedah rakyat.
Sentuhan-sentuhan yang telah dibuat oleh Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Dato’ Seri Ahmad Said akan saya teruskan untuk kebaikan rakyat, mana-mana yang perlu saya akan lakukan penambahbaikkan dan ini akan memudahkan saya sebagai penyambung agenda pembangunan negeri untuk faedah rakyat,” katanya merendah diri.
Beliau dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke 14 pada hari Isnin 12 Mei 2014.
Pada hari 13 Mei adalah cuti am seluruh Malaysia dan pada 14 Mei pejabat dibuka seperti biasa.
“Saya tidak boleh berlengah lagi untuk menjalankan tugas dan amanah” katanya.
Pada 14 Mei , beliau hanya memilih memasuki pejabat lamanya (Pejabat Exco Kerajaan Negeri) di tingkat 6 Wisma Darul Iman bagi menjalankan amanah, menampakkan jelas sikap tidak gelojoh dan bertindak berhemah dalam sesuatu perkara.
Walaupun kali pertama secara rasmi berdepan dengan wartawan dalam satu sidang akhbar khas selaku Menteri Besar sebaik memasuki pejabat pada hari tersebut  tetapi Dato’ Hj Ahmad Razif menampakkan kematangannya dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan, termasuklah isu-isu berkaitan kemelut politik Terengganu.
Beliau begitu tenang dan perkataan-perkataan yang disebutnya jelas dan mudah difahami oleh wartawan walaupun diasak dengan pelbagai soalan yang agak sensitif  dan menyentuh emosi.
Sehinggalah ke hari ini, Dato’ Hj Ahmad Razif terus konsisten dengan sikap menghargai orang lain, berhemah dan merendah diri  dengan sentiasa menyebut jasa dan peranan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said baik kepada wartawan mahupun sewaktu berucap kepada awam.
Beliau akan menyambung apa jua pembangunan untuk faedah rakyat sebagaimana pendekatan “Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan”  di peringkat negeri dan “Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan” di peringkat pusat,dengan huraiannya lagi  iaitu “Kecil bagi kita, tetapi besar bagi orang”.
Menteri Besar ke 14 itu sebenarnya mahu memberitahu kepada pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam, memberi tahu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan menyatakan kepada semua orang bahawa menolong orang walaupun dalam perkara kecil sekalipun adalah penting dan amat mulia kerana pertolongan yang kecil dan sedikit itu amat beerti , bermakna dan besar ertinya bagi orang yang menerima pertolongan dan pemberian itu.

 Bersambung....