Terengganu merintis inisiatif baharu membangunkan portal e-Dagang yang dikenali sebagai Payang.my.untuk kemudahan capaian usahawan tempatan secara percuma bagi meluaskan pasaran jualan produk tempatan ke peringkat lebih global.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kemudahan yang dibangunkan menerusi anak syarikat Top IT Industries Sdn Bhd itu memberi peluang kepada para peniaga tempatan untuk lebih berdaya saing dan meraih keuntungan lebih tinggi dengan bantuan Yayasan Pembagunan Usahawan Negeri Terengganu.
“Projek Payang.my akan menawarkan perkhidmatan jualan dan pemasaran dalam talian secara percuma untuk usahawan-usahawan tempatan seluruh Malaysia, khasnya usahawan Terengganu.
“Ini merupakan penerokaan satu bidang yang baharu sepadan dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat di serata pelusuk negara. Perkembangan pesat ini pasti tiba walaupun kita gemar akan kedatangannya. Elok benarlah jika kita buat persiapan lebih awal,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Payang.my di Pentas Utama, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam ini.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri, A.Latiff Awang.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Syed Ahmad Anas Syed Omar.
Ahmad Razif berkata, ledakan peralatan komunikasi pintar yang semakin mampu milik seperti ‘smart phone’, ‘tablet’ dan juga komputer riba serta pertambahan jumlah aplikasi mobil (WhatsApp, WeChat) dan kandungan media baru seperti Facebook dan Instagram) bukan sahaja mentransformasikan cara perhubungan serta perkongsian maklumat, malahan menjadi satu platform jualan dan pemasaran perniagaan yang cepat, malahan menjimatkan.
Tambahnya, ianya menjadi suatu gaya hidup digital yang akan terus berkembang dengan cepat mengikut peredaran masa berikutan desakan zaman dan kehidupan yang serba canggih serta moden ini begitu rencam sekali.
Katanya, kewujudan Payang.my amat tepat pada masanya kerana Terengganu tidak mahu menjadi negeri yang tidak ketinggalan dalam aplikasi canggih seperti itu.
“Alhamdulillah negara kita memilki pusat teknologi maklumat canggih di Cyberjaya. Maka sedikit sebanyak nanti kita akan dapat menafaat daripada kemodenannya.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri merasa sangat bangga kerana pakar-pakar teknologi maklumat di kalangan anak Terengganu kita berjaya berganding bahu mengumpul idea dan membuat penerokaan baharu di alam teknologi maklumat yang sofistikated ini. Kejayaan ini mungkin akan menghasil suatu penemuan hebat yang mampu memberi kelegaan kepada rakyat untuk menceburi sektor ekonomi secara olahan berdimensi baharu.
“Pertambahan peralatan komunikasi, aplikasi dan kandungan media baharu serta pertambahan pengguna yang mendadak, lebih-lebih lagi jumlah `broadband internet access’ dengan menggunakan teknologi wi-fi di kawasan-kawasan tumpuan pengguna dan menjadi pelengkap kepada kemudahan sedia ada, sudah tentu akan menjana impak sektor ekonomi yang memberangsangkan,”katanya.
Beliau berkata, dalam era dunia teknologi dan komunikasi maklumat, pembelian secara atas talian menjadi pilihan kepada pembeli kerana setiap pembelian adalah terjamin dengan adanya sistem ‘Safetrade’.
Menurutnya, platform seperti Payang.my amat dinanti oleh usahawan-usahawan tempatan kerana dapat memberi manfaat di luar jangka kepada produk jualan dan pasaran ke peringkat global.
Katanya, golongan usahawan dan usahawanita boleh memanfaatkan Payang.my sebagai medium untuk golongan itu meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Ahmad Razif berkata, ia juga menjadi cabaran kepada mereka untuk menaiktaraf mutu produk mereka supaya dapat bertahan dalam pasaran global dan melihat persaingan dalam perniagaan dari sudut positif supaya membolehkan para pencinta ekonomi berada bersama pesaing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, melalui strategi ini kerajaan dan rakyat akan dapat membantu penjimatan perbelanjaan kerajaan, maka secara tidak langsung sumber kewangan ini boleh disalurkan kepada sektor-sektor lain yang memerlukannya.