Halaman

31 October 2015

Terengganu Perintis Ubah Hasil Sisa Pepejal Ke Tenaga


Terengganu bakal menjadi negeri pertama yang mengubah hasil sisa pepejal kepada tenaga selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan projek ‘Waste To Wealth’.

MoU di antara Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. dengan sebuah anak syarikat DONG Energy yang berpengkalan di Denmark, Renescience A/S turut diadakan bagi memastikan kesinambungan projek tersebut.

Bagi memastikan komitmen kepada kerajaan negeri dalam perlaksanaan projek yang akan dijalankan itu, Renescience A/S turut menandatangani Surat Aku Janji (LoU) pada majlis yang sama.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, MoU dan LoU tersebut diadakan hasil daripada perbincangan Makmal Transformasi Ekonomi Terengganu yang telah diadakan selama enam minggu bermula dari 3 Ogos lalu.

“Melalui makmal yang menghimpunkan sekurang-kurangnya 47 pegawai dari agensi negeri dan persekutuan serta penglibatan seramai 90 orang ahli dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) serta agensi-agensi bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri dapat menyimpulkan beberapa perkara bagi menaikkan ekonomi Terengganu.

“Salah satunya adalah MoU yang dilakukan pada hari ini antara kerajaan negeri dan Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. bagi perlaksanaan ‘Waste To Wealth’ dalam menjana tenaga dari sisa pejal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Menandatangani MoU dan Surat Komitmen Pelaburan di Negeri Terengganu Hasil Makmal Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Zainal Abidin Hussin dan Duta Besar Denmark, Nicolai Ruge.

Pada MoU tersebut, Renescience S/A diwakili oleh Pengarah Senior DONG Energy, Federico Castelli dan disaksikan oleh Ir. Mohd Adan Yusof manakala Mercu Resolution Sdn. Bhd. Diwakili oleh Pengerusinya, Dato’ Nadzri Ismail dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

Sementera MoU antara kerajaan negeri dengan Mercu Resolution Sdn. Bhd., kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman dan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Zainal Abidin Hussin.

Pada majlis yang sama, tujuh buah syarikat turut menandatangani Surat Komitmen sebagai tanda kerjasama bagi melaksanakan projek-projek yang telah dinilai, diperinci dan dikaji keupayaannya untuk memberi faedah dari aspek ekonomi kepada kerajaan negeri serta secara terus kepada rakyat.

Tujuh buah syarikat tersebut merangkumi semua sektor utama di Terengganu termasuk sektor perkilangan, minyak dan gas, bioteknologi, industri kecil dan sederhana (IKS), komunikasi, kandungan, infrastruktur dan teknologi baru (CCI-ET) dan pelancongan.

Tambahnya, majlis yang diadakan pada hari ini akan meningkatkan ekonomi rakyat menjelang 2020.

“Tujuh buah syarikat iaitu net Carbon Sdn Bhd, Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Encompass Medical Supplies Sdn Bhd, Admal Sdn Bhd, Green World Genetic Sdn Bhd, BiorainForest Sdn Bhd dan Arca Corporation Sdn Bhd dijangka akan meningkatkan ekonomi negeri ini.

“Dijangkakan menjelang 2020, Terengganu mampu mencapai sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri secara putara sebanyak lapan peratus sekaligus meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Terengganu kepada RM8,000 sebulan,” katanya.