Halaman

18 June 2018

420 Anggota, Pegawai Polis Bertugas Pada Op Selamat 13/2018



Seramai 420 anggota polis Terengganu bertugas sepanjang dua minggu Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri bermula 8 Jun lalu hingga 22 Jun ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail berkata, ianya bagi membolehkan penugasan dilakukan secara menyeluruh dan lancar selain memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan terjamin.


“Keseluruhan jumlah pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam Op Selamat 13/2018 dari semua cawangan iaitu JSJ, Narkotik, MPV, Tugas Am dan Trafik yang melibatkan seramai 58 pegawai dan 362 anggota lain-lain pangkat telah ditugaskan tahun ini untuk memantau dan menjaga keselamatan orang ramai,” ujarnya.

Menurut beliau, selain mensasarkan untuk menurunkan kemalangan kepada lima peratus, operasi ini juga bertujuan memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada masyarakat.

“Di samping memberi lebih tumpuan kepada kawasan ‘blackspot’, menyuraikan kesesakan aliran trafik dan mengurangkan kes pecah rumah turut menjadi fokus kami,” ujarnya.

Sementara itu katanya,orang ramai dinasihatkan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah termasuk memastikan keselamatan kenderaan sebelum bergerak, rancang perjalanan serta jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri sendiri.