Kerajaan negeri akan memastikan semua agensi dan jabatan kerajaan termasuk di daerah mewujudkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di tempat kerja masing-masing bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu selaras dengan janji yang telah ditawarkan dalam Manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.
“Sebagai langkah pertama, saya telahpun berbincang dengan jawatankuasa di bawah portfolio saya supaya semua jabatan kerajaan termasuk di daerah menyediakan premis taska untuk memulakan pelaksanaan pusat asuhan ini dengan segera.
“Pihak berkenaan perlu mencari premis yang sesuai sama ada berdekatan dengan pejabat atau sekitarnya supaya menyenangkan ibu-ibu yang bekerja meninggalkan anak mereka di pusat asuhan tersebut,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hanafiah berkata, pihaknya bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) juga bersetuju akan memulakan projek perintis di Kompleks Seri Iman selain yang sudah terlaksana di beberapa tempat seperti Kompleks YPKT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Universiti Malaysia Terengganu.
“Pengurusan taska ini akan diserahkan kepada YPKT untuk dilaksanakan dan bagaimana untuk melaksanakannya nanti.
“Untuk taska di agensi swasta, pihak mereka ada jumpa saya baru-baru ini untuk mohon peruntukan taska dan perkara ini belum lagi diputuskan kerana ia masih dalam pertimbangan,”ujarnya.
Menyentuh mengenai pelaksanaan pencen rakyat RM50 sebulan bagi warga emas yang layak, Hanafiah berkata pihaknya sudahpun memasukkannya dalam Bajet 2019 kerajaan negeri untuk diluluskan.
“Kita akan mula pada tahun hadapan dan ia terbuka kepada semua warga emas yang tidak mendapat mana-mana bantuan termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga bukan pesara kerajaan,”katanya.
Untuk rekod, pencen rakyat RM50 bagi warga emas ini merupakan satu daripada 20 janji yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat untuk menerajui Terengganu pada PRU14 nanti yang merangkumi semua aspek yang menyentuh kepentingan rakyat.