Halaman

06 March 2019

Dua Taska Baharu Dibuka Tahun Ini

 

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Kerajaan negeri merealisasikan janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk menyediakan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di jabatan kerajaan apabila dua taska baharu bakal dibuka tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, taska baharu itu masing-masing akan dibuka di Wisma Darul Iman dan di Majlis Perbandaran Dungun.

“Setakat ini dua buah taska akan dibuka yang pertama, di Wisma Darul Iman di (ruangan) kafetaria akan diambil dan dibaik pulih untuk dibuat taska dan yang kedua di Majlis Perbandaran Dungun.


“Saya harap sekitar tiga atau empat bulan kedua-duanya dapat beroperasi,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian ketika ditemui pihak media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hanafiah berkata, beliau turut mengarahkan kepada pegawai di setiap jabatan untuk mengenal pasti premis yang sesuai untuk dijadikan pusat jagaan kanak-kanak.

“Kita dah beri arahan kepada jabatan kerajaan untuk mereka mencari premis di jabatan masing-masing bagi memastikan kita dapat membuka taska di tempat mereka.

“Setakat ini belum ada maklum balas lagilah daripada jabatan lain,”ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau walaupun terdapat halangan dan kekangan, namun lima buah jabatan memberikan khidmat taska kepada kakitangan mereka.

“(Taska) yang telah beroperasi (di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)) ialah di (pejabat) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Majlis Daerah Besut.

“Halangan utama (penyelenggaraan taska ialah) mengenai kewangan, jadi kita mengharapkan sekiranya wang (royalti) petroleum dibayar dengan baik oleh Kerajaan Pusat maka kita akan dapat bergerak dengan lebih baik lagilah,”tambahnya.

Namun jika sebaliknya, ia akan memberi kesan kepada pengurusan taska sedia ada dan pembukaan taska yang baru.

Justeru beliau berharap semua jabatan kerajaan dapat mengambil tindakan segera agar kemudahan taska yang membawa manfaat kepada penjawat awam itu dapat menjadi kenyataan.

“Harapan saya ialah semua jabatan kerajaan di semua peringkat dapat membuka taska dengan seberapa segera bagi memastikan kakitangan kerajaan mendapat tempat yang lebih baik untuk meletakkan anak mereka sekurang-kurangnya tidak jauh daripada tempat mereka bekerja.

"Dalam masa yang sama mereka boleh berulang alik ke taska jika perlu kerana jaraknya yang tidak begitu jauh,” katanya.