Halaman

06 March 2019

Kerajaan Bina Semula Lebih 15 Rumah Terbakar



KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Lebih 15 rumah terbakar di seluruh Terengganu dibina semula oleh kerajaan negeri sejak mengambil alih pemerintahan sembilan bulan yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan baharu mengambil langkah lebih proaktif berbanding pentadbiran negeri yang lalu apabila mengambil masa lebih lama untuk menggantikan rumah mangsa.


Katanya, adakalanya pentadbiran lalu memerlukan tempoh masa sehingga setahun untuk menyiapkan rumah baharu.

“Kami laksanakan (pembaharuan) kalau sebelum ini apabila berlaku kebakaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Tabung Darul Iman mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan untuk mendirikan semula rumah terbakar.

“Tapi selepas kerajaan bertukar tangan saya diamanahkan untuk memegang jawatankuasa kebajikan saya telah memastikan dan mengadakan satu garis panduan, di mana saya mahu dalam masa tiga hingga empat bulan rumah tersebut didirikan segera dan boleh diserahkan kepada mangsa tersebut,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian ketika merasmikan penutup Seminar Hala Tuju Wanita Negeri Terengganu di Permai Hotel, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hanafiah mengucapkan tahniah kepada peserta seminar yang berjaya menghasilkan beberapa resolusi termasuk penubuhan urusetia wanita di peringkat negeri.

“Saya juga sudah bersetuju antara resolusi yang dibentangkan sebentar tadi ialah penubuhan urusetia wanita. InsyaAllah saya rasa bulan depan kertas (kerja) tersebut saya akan buka kepada exco untuk mendapat kelulusan,” tegasnya.

Beliau berharap, dengan penubuhan tersebut, beberapa orang wanita akan dilantik dan menganggotai urusetia tersebut untuk membincangkan secara serius mengenai program berkaitan.

Justeru, beliau menaruh harapan seminar terbabit memberikan impak positif terutama dalam memperkemaskan perancangan dan pelaksaaan pembangunan wanita serta institusi kekeluargaan di Negeri Terengganu.

“Mudah-mudahan, peluang yang diberikan ini mampu melahirkan wanita yang berminda kreatif dan inovatif, berjiwa kental dan teguh, bersikap proaktif dan gigih.

“Pada masa yang sama, berkeperibadian seunggul ummahatul mukminin bagi membangunkan ummah dan memberikan sumbangan kepada negeri,” kata beliau.