Halaman

24 March 2019

Natyamela 2.0 Tingkatkan Kualiti Mahasiswa



KUALA NERUS, 24 Mac – Pertandingan nyanyian dan tarian ‘Rutra Sangaman’ (Natyamela 2.0) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam, berupaya meningkatkan kualiti mahasiswa dan mahasiswi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, potensi yang ada dalam diri setiap penuntut universiti perlu diasah sebaiknya untuk manfaat dalam lapangan kerjaya suatu hari nanti.


Jelasnya, kesibukan dalam bidang akademik tidak seharusnya menjadi penghalang buat mereka untuk tidak menonjolkan bakat dan potensi diri yang ada.

“Pada era globalisasi ini, mahasiswa dan mahasiswi terlalu mementingkan hal akademik semata-mata sehingga terlupa untuk menunjukkan bakat masing-masing kepada khalayak ramai.

“Program ini merupakan medium kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menentukan bakat mereka dan merupakan satu motivasi serta inspirasi kepada mereka untuk berusaha menjadi bakal graduan yang berkualiti dari segi akademik mahupun seni dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri merasmikan pertandingan tersebut.

Pertandingan turut berjaya menarik pelajar antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Ts. Dr. Che Mohd Khuzaidi Ghazali dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan.

Hanafiah turut memberitahu, program bakat mahasiswa dan mahasiswi boleh dibawa ke peringkat yang lebih jauh apabila mereka mewakili unversiti.

Beliau juga memaklumkan bahawa akan sentiasa menyokong program-program yang mampu memberikan impak kepada pembangunan pelajar.

“Pertandingan nyanyian dan tarian ini dapat membanggakan kami kerana tidak semua daripada kita mampu menari atau menyanyi di hadapan orang ramai,” ujarnya.



Program itu juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pusat kebajikan Malaysian Association For The Blind.