Halaman

27 April 2019

Forum Tautan Hati, Persiapan Menjelang Ramadan




KEMAMAN, 27 APRIL- Inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai menganjurkan Forum Kuliah Dhuha DUN Chukai mendapat reaksi positif masyarakat sekitar yang membanjiri tapak program sehingga tamat.

Forum itu menampilkan dua panel masing-masing, penceramah bebas, Ustaz Haslin Baharim (Bollywood) dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (Duat) Ustaz Ramlan Haji Mahmood dan moderator, Ustaz Izzuddin Ismail.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, penduduk sekitar dari pelbagai latar belakang berpusu-pusu memenuhi tapak program yang turut menyajikan persembahan kumpulan nasyid daripada Cahaya Hati.

"Program Forum Tautan Hati ini adalah sebagai usaha membersihkan hati sebelum datangnya Ramadan.


"Marilah sama-sama kita kumpulkan bekalan amal ibadah, menjaga solat, menjaga puasa dan memberi sedekah sebelum kita menghadapi kematian," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata demikian ketika menghadiri Forum Tautan Hati (Kuliah Dhuha) di Padang Astaka, Kemaman, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Chukai, Dr Megat Suhaimi Megat Idrus.


Dalam masa yang sama, seramai 200 orang fakir miskin khususnya dari DUN itu menerima bantuan barangan dapur dan sumbangan wang.