Halaman

24 April 2019

Permohonan Walimatulurus Perdana 2019 Dibuka Mulai Hari Ini




KUALA TERENGGANU, 24 April- Permohonan mengikuti Program Walimatulurus Perdana 2019 yang dijadualkan berlangsung 17 Ogos hadapan mula dibuka hari ini (24 April).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, program anjuran kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).



“Orang ramai yang berminat boleh memuat turun borang melalui portal http://www.ypkt.gov.my/ dan borang yang telah lengkap diisi perlu diserahkan kepada ibu pejabat YPKT atau di pejabat YPK kawasan masing-masing sebelum tarikh tutup 30 Jun ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Hanafiah berkata, antara syarat permohonan mestilah pemohon dan pasangan berumur 18 tahun ke atas dimana salah seorang daripadanya rakyat negeri Terengganu.

“Pendapatan pemohon bersama pasangan RM3,000 ke bawah manakala pendapatan ibu bapa pemohon dan pasangan pula dibawah RM5,000.

“Mereka juga perlu lulus kursus Pra-Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam (MBKPI) kendalian JHEAT atau agensi yang diiktiraf oleh kerajaan,” ujarnya.

Katanya, pemohon yang berjaya pada sesi temuduga perlu membayar RM1,000 bagi setiap pasangan pengantin sebagai komitmen penyertaan.

Menurut Hanafiah, tawaran yang disediakan bagi setiap pasangan pada hari majlis termasuk satu set persalinan pakaian pengantin, wang caruman balik sebanyak RM1,000, khidmat juru nikah serta pakej set perkahwinan (pelamin, andaman, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar).