Halaman

23 July 2019

Awang Besol Harimau 'Jinak' Disahkan Mati

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Seekor Harimau Belang yang menggemparkan negara ketika ditemui jinak berkeliaran di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun, Terengganu, minggu lalu atau dikenali "Awang Besol" disahkan mati oleh doktor veterinar di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak pada 5.30 pagi tadi.


Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) dalam satu kenyataan berkata, setelah pelbagai usaha intensif untuk merawat haiwan tersebut, Awang Besol tidak dapat diselamatkan dan ‘post mortem’ akan dijalankan secepat mungkin.



Terdahulu, pemeriksaan fizikal di lapangan ketika tangkapan dibuat bagi mendapatkan rawatan intensif pada 19 Julai lalu menemukan kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata dan Harimau Belang itu berada dalam keadaan dehidrasi.

Kenyataan itu juga menyebut, pemantauan rapi di NWRC pada 20 hingga 23 Julai menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan iaitu nasal discaj.

Tambah kenyataan itu, Awang Besol disahkan positif virus "Canine Distemper" yang berkemungkinan disebarkan oleh haiwan liar di kawasan ia dijumpai.

“Penyakit tersebut disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau.

“Jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis.

“Rawatan yang diberikan adalah secara simptomatik ataupun rawatan sokongan. Persampelan darah, serum serta swab telah dilakukan dan sampel telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh, Perak pada 21 Julai untuk ujian penuh. Keputusan virology diterima pada 22 Julai menunjukkan Awang Besol positif “Canine Distemper” melalui ujian RT-PCR,” jelasnya.