Halaman

08 August 2019

Berkuatkuasa Serta-Merta, Penjaja Jalanan Diarah Henti Operasi



KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Semua peniaga jalanan di persimpangan lampu isyarat di negeri ini diarah menghentikan operasi jualan mereka berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, walaupun pihaknya berat hati untuk melaksanakan arahan ini namun ia termaktub di dalam undang-undang dan peraturan peringkat negeri dan pusat.


Jelasnya, beliau bukan berniat untuk menghalang anak muda mencari rezeki. Namun, tindakan mereka sebenarnya salah di sisi undang-undang dan turut mengganggu pengguna jalan raya yang tidak melakukan transaksi pembelian.

“Sebenarnya kita telah menubuhkan satu jawatankuasa ‘adhoc’ untuk melihat secara dalam mengenai perkara ini dan setelah diteliti kita mengambil beberapa keputusan bersama iaitu kerajaan berpandangan untuk tidak membenarkan peniaga-peniaga menjual produk-produk mereka dipersimpangan lampu isyarat.

“Ini kerana menyalahi undang-undang ‘federal’ iaitu Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN 166/ 59 dan juga bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1975, Undang-Undang Kecil Penjaja yang tidak membenarkan apa jua aktiviti jualan dan pembelian di persimpangan jalan.

“Di atas pandangan tersebut, kita mengharapkan kepada pengusaha-pengusaha yang menjalankan aktiviti ini dapat menghentikan jualan mereka kerana ia menyalahi undang-undang,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman Hari ini.

Jelasnya lagi, keputusan berkenaan dibuat selepas bermesyuarat bersama-sana jawatankuasa yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Tenaga Kerja dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Menurut Mohd Nurkhuzaini, kini menjadi trend bagi penduduk tempatan untuk melakukan urus niaga menjual makanan berhampiran persimpangan jalan dan lampu isyarat di sekitar pusat Bandar di hampir semua daerah kecuali Setiu.

Mereka menjaja makanan pada kadar RM10 sebekas itu dari sebuah kereta ke kereta di simpang lampu isyarat manakala stok bekas makanan turut diletakkan di tepi jalan tidak jauh dari situ.

Tambah beliau, aktiviti tersebut bukan sahaja membahayakan keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya, malahan boleh mengganggu aliran trafik.

Malah katanya, pihak PDRM turut menerima pelbagai aduan daripada pengguna jalan raya termasuk netizen di laman sosial.

Beliau juga turut menegaskan bahawa saman akan dikeluarkan kepada peniaga yang menjual sekiranya didapati bersalah.

“Sehingga hari ini sebanyak 40 kompaun yang dikenakan bayaran RM250 telah dikeluarkan oleh PBT kepada peniaga dan telah merampas 205 balang jeruk dibawah Akta Penjaja Kecil.

“Ini termasuklah serbuan ke tempat penghasilan produk yang didapati tidak mempunyai lesen serta tidak mematuhi kebersihan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, satu operasi bersepadu melibatkan semua agensi khususnya PDRM, PBT, JPJ akan dilaksanakan pada satu masa yang akan ditetapkan untuk menguat kuasakan perkara ini.