Halaman

18 July 2019

Kelibat 'Pak Belang' Gemparkan Penduduk

DUNGUN, 18 Julai - Kelibat dua ekor harimau belang yang ditemui berhampiran kawasan perumahan, membimbangkan penduduk di Kampung Besol, Hulu Dungun, di sini.


Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, selepas menerima laporan daripada penduduk beliau segera menghubungi Jabatan Perhilitan Daerah Dungun.


"Ketika saya sampai di sana, wakil daripada Jabatan Perhilitan Daerah Dungun telah ada, dan segera berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik demi menjaga keselamatan penduduk," jelasnya ketika ditemui pihak media, hari ini.

Tambah Ghazali, harimau itu dipercayai sedang berkeliaran di kawasan terdekat apabila kesan tapak kakinya yang ditemui masih dalam keadaan baharu.

"Tidak berapa lama kemudian kami dikejutkan dengan kelibat pak belang berkenaan yang sedang bermain di belakang rumah seorang penduduk kampung," jelas Ghazali.

Ghazali menunjukkan kesan tapak kaki harimau itu.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Siti Aminah Azmi, 33, pula berkata, sewaktu sedang bersiap untuk mengambil anaknya di sekolah, dia dikejutkan dengan kehadiran harimau berkenaan berhampiran rumahnya.

"Saya amat takut dan segera meninggalkan rumah bersama anak saya yang berusia dua tahun dalam keadaan panik," ujarnya.

Sehubungan itu, Penolong Pegawai Kehidupan Liar Daerah Dungun, Mohd Zawawi Ismail memaklumkan, pihaknya sudah menyemak data di jabatan perhilitan namun harimau tersebut tiada dalam rekod.

"Jika ada sudah tentu dapat dikesan melalui 'satelit kolar', kerana ia mudah dikesan, tetapi ada kemungkinan juga harimau itu tiada cip pengesan.

"Harimau adalah di bawah kawalan akta perlindungan kehidupan liar, yang ditempatkan di Sungkai, Perak dan tidak pernah dibebaskan," jelasnya.


Tempat pertama harimau dikesan.

Bercakap tentang harimau yang mengejutkan penduduk kampung Besol itu, beliau menyatakan akan cuba menghalau haiwan itu masuk ke dalam hutan dahulu.

"Namun ianya bergantung pada keadaan, dalam kes begini kita akan perangkap dan tangkap," ujarnya lagi.