DUNGUN, 19 Julai - Operasi mengesan dan menjejaki dua ekor harimau belang sesat yang berkeliaran di Kampung Besol, Dungun dipergiatkan dengan radius sekitar dua kilometer dari lokasi pak belang itu berkeliaran semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof memaklumkan seramai 22 anggota Perhilitan dan empat anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya telah memasang dua buah perangkap dan percaya haiwan tersebut masih lagi berada di dalam hutan berdekatan.
“Kita akan jalankan operasi dan tinjauan di lapangan untuk mengenal pasti di mana harimau tersebut berada.
“Tetapi buat masa ini kami masih belum dapat mengesan di mana lokasi sebenar, jadi aktiviti tinjauan dan pengawalan ini kita akan teruskan sehingga kita dapat tangkap harimau itu,” jelasnya.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman turut serta dalam operasi tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa meninjau perjalanan operasi tersebut, di sini, hari ini.
Kata Abdul Malek lagi, operasi itu akan cuba disegerakan, dan segala tindakan yang dilakukan adalah mengikut Standard Operation Procedure (SOP).
Beliau juga mengingatkan semua penduduk kampung supaya menghadkan aktiviti di dalam hutan dan kebun bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Usaha menjejaki harimau betina dan anak jantannya dilakukan berpandukan tapak kaki haiwan itu yang ditemui dalam hutan kampung tersebut.
“Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mendekati haiwan itu jika terserempak kerana ia perbuatan yang sangat berbahaya dan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi semalam, dua ekor harimau itu ditemukan berkeliaran di kawasan kampung Besol sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk malah turut tular di laman sosial.