Seramai 144 pemain golf dari seluruh Asia akan berkampung selama seminggu di Terengganu bagi menyertai kejohanan `Terengganu Masters Golf Invitational 2009’, di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu bermula 29 Oktober depan.
Program kali keempat anjuran kerajaan negeri menerusi Persatuan Golf Terengganu dan Tourism Malaysia Terengganu yang berakhir pada 3 November depan melibatkan penyertaan pemain profesional seluruh Malaysia (70 orang), pemain profesional Asia (50 orang) dan Amatur 24 orang.
Majlis penyerahan cek untuk juara Terengganu Masters Golf Invitational 2009.Selain pemenang Masters 2007, Feroz Ali Mollah dari India yang mengesahkan penyertaan pada kejohanan ini, peserta lain yang turut berbuat demikian adalah Huyuh Von San dan Michale Tran (Vietnam); Shinjo Fukushima dan Takashi Okuda (Japan); Chris Carey dan Andrew Argus (Australia); Aung Hla han dan Zaw Zin Win (Myanmar) dan lima pemain profesionals masing-masing dari Filipina dan Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata kedatangan pemain dari seluruh negara ke kejohanan itu nanti dapat memperkenalkan dan memproosi negeri ini sebagai satu destinasi golf terkemuka melalui penganjuran pertandingan golf bertaraf profesional.
Katanya, kejohanan itu juga menjadi acara pelancongan Terengganu yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf di dalam dan luar negara.Selain itu, secara langsung ia akan dapat menarik lebih banyak penganjuran acara seumpamanya.
“Kerajaan sedang berusaha ke arah menjadikan Terengganu antara destinasi yang menyediakan pakej golf yang setanding dengan negeri lain yang sudah maju.
“Setakat ini kita sudah ada beberapa tempat yang menjadi tumpuan pemain golf seperti di Ibai Golf Resort (Tuanku Mizan Golf & Country Resort) dan lokasi itu perlu dinilai tambah supaya menarik lebih ramai pelancong dan kaki golf ke pusat pelancongan itu, sekaligus menambah kehadiran pelawat ke Terengganu,” katanya ketika sidang media Terengganu Masters Golf Invitational 2009, di Kuala Terengganu Golf Resort, hari ini (12 Oktober).
Datuk Za’abar turut mengharapkan lebih ramai syarikat korporat tampil menaja kejohanan itu supaya menarik lebih ramai penyertaan luar dan setanding dengan penganjuran golf lain dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan.
Datuk Za'abar ketika mengadakan sidang media mengenai kejoahanan golf berkenaan.Beliau kemudiannya menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Golf Terengganu, Haji Zubir Azhari berjumlah RM23,250 sebagai hadiah juara keseluruhan kejohanan itu.
UKOM_______________________
82 Peserta Sertai Terengganu Master 2009KUALA TERENGGANU, 31 Okt (Bernama) -- Seramai 82 pemain termasuk tujuh dari luar negara akan bersaing pada Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2009 bernilai RM150,000 di Kuala Terengganu Golf Resort di sini mulai Ahad.
Selain pemain tempatan, kejohanan tiga pusingan itu, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia, turut disertai tujuh pemain profesional dari Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan dan Korea Selatan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Zubir Azhari, berkata pihaknya bercadang mengadakan kejohanan edisi kelima tahun depan pada pertengahan tahun bagi mengelak musim tengkujuh.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian "Tee-Off" di resort itu pada Sabtu, beliau berkata pertandingan Pro-Am hari ini terpaksa ditangguhkan kerana hujan.
Zubir, yang juga Presiden Persatuan Golf Terengganu, berkata antara pemain tempatan yang akan menyerikan kejohanan itu ialah P. Gunasegaran, S. Sivachandran, M. Ramayah, Shaaban Husin dan Mohd Sukree Othman.
-- BERNAMA