Halaman

19 October 2009

Terengganu Perkenal I-Iqraq Untuk Mempelajari Al-quran

KUALA TERENGGANU, 17 Okt (Bernama) -- Terengganu sekali lagi mengorak langkah ke hadapan dalam bidang pendidikan apabila memperkenalkan kaedah pembelajaran Al-Quran secara elektronik dengan menggunakan I-Iqraq untuk pelajar di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata alat elektronik yang menyamai komputer riba itu mengandungi 30 juzuk Al-Quran di samping surah lazim untuk memudahkan kanak-kanak mahupun orang dewasa mempelajari tajwid dan hukum secara tepat.

"Sebagai permulaan, Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah memperkenalkan I-Iqraq ini kepada murid-murid kelas bimbingan kanak-kanak (Tadika) YIT di negeri ini sejak tiga bulan lepas.

"Setiap kelas dibekalkan dengan seunit alat ini dan melalui kaedah itu pembelajaran Al Quran akan lebih mudah untuk dipelajari kerana ia turut dilengkapi suara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran kanak-kanak Tadika peringkat negeri Terengganu 2009, di Stadium Tertutup Gong Badak di sini Sabtu.

Seramai 4,622 kanak-kanak Tadika berusia lima dan enam tahun yang berjaya khatam Al-Quran tahun ini diraikan pada majlis itu.

Ini merupakan tahun keempat YIT menganjurkan majlis sedemikian dan jumlah kanak-kanak yang berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding 2,066 pada tahun lepas.

Ahmad berkata I-Iqraq akan dijual kepada orang ramai tidak lama lagi menerusi syarikat yang dilantik kerajaan negeri dengan harga RM1,988 seunit dan akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang.

-- BERNAMA

JPJ Terengganu Buka Tender Nombor Pendaftaran TAX 1

KUALA TERENGGANU, 14 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu membuka tender untuk nombor pendaftaran kenderaan TAX 1 sehingga TAX 999 kepada orang ramai bermula hari ini sehingga 3 Nov ini.

Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata beliau yakin nombor pendaftaran TAX itu akan mendapat sambutan kerana keunikannya tersendiri.

"Bagaimanapun kutipan hasil untuk nombor pendaftaran TAX 1 mungkin tidak dapat menyaingi nombor pendaftaran TAN 1 yang telah dibeli dengan harga RM200,090 sebelum ini yang juga merupakan paling mahal di Malaysia setakat ini," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita di majlis sambutan Aidilfitri JPJ di sini hari ini, berkata JPJ Terengganu berjaya mengutip hasil lebih RM42.5 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Kutipan tertinggi ialah lesen kenderaan bermotor sebanyak lebih RM27 juta, diikuti lesen memandu kenderaan RM4 juta.

"Kutipan hasil tahun ini mungkin menyamai tahun lepas iaitu sebanyak RM54.6 juta dan kita masih mempunyai dua bulan lagi sebelum 2009 menutup tirai," katanya.

-- BERNAMA

PMINT Cadang Bina Replika Masjid Sultan Di TTI

KUALA TERENGGANU, 14 Okt (Bernama)-- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bercadang membina sebuah lagi replika masjid di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini iaitu Masjid Sultan di Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan replika monumen bangunan bersejarah Islam di TTI sebanyak 22 buah.

Pengurus Besar PMINT Datuk Zakaria Awang berkata bagi tujuan itu, pihaknya yang menyelia TTI mendapat kerjasama Jawatankuasa Masjid di Republik Singapura untuk membina replika berkenaan tahun hadapan.

"Kita akan maklumkan hasrat kita itu kepada kedutaan Singapura mengenai pembinaan replika masjid Sultan. Kita rasa hasrat yang murni ini tidak ada masalah untuk merealisasikannya," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Sehingga kini, TTI menempatkan 21 replika iaitu monumen bangunan-bangunan bersejarah Islam di dunia seperti Masjid Al-Aqsa (Palestin), Masjid Nabi (Madinah), Taj Mahal (India), Al-Hambra (Sepanyol) dan Menara Kaylan (Uzbekistan).

Zakaria berkata idea untuk membina replika Masjid Sultan itu timbul berikutan banyak cadangan daripada pelancong dari Singapura yang mengunjungi taman itu terutama semasa cuti penggal persekolahan.

Sementara itu, dalam usaha menarik pelancong ke Terengganu, kerajaan negeri berhasrat membeli sebuah kapal pesiaran yang mampu memuatkan seramai 200 penumpang untuk program menyusuri sungai Terengganu.

Zakaria berkata kapal setinggi dua tingkat itu dibeli di Thailand dengan harga RM1.2 juta.

"Di TTI sekarang sudah ada bot menyusuri persekitaran taman berkenaan seperti ke muzium, melalui kampung-kampung di pinggir sungai Terengganu dan Pulau Duyong. Kita akan naikkan taraf pemandu pelancong yang ada untuk memastikan program river cruise itu berjaya," katanya.

-- BERNAMA

Pelajar Perubatan Malaysia Terbunuh Dalam Kemalangan Di Salem

CHENNAI, 14 Okt (Bernama) -- Seorang pelajar perubatan tahun tiga dari Malaysia, Fatimatussolihah Aziz dan dua rakannya warga India terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka petang semalam.

Pemandu kereta yang hanya dikenali sebagai Dr Sabree dan seorang lagi warga India, R. Sree Kumaran meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pelajar warga India, Dr Mohseen, cedera parah dalam kemalangan itu.

Fatimatussolihah, 22, yang berasal dari Kuala Terengganu, sedang mengikuti pengajian di Vinyaka Mission Dental College di Salem, kira-kira 400km dari Chennai.

Kemalangan itu berlaku apabila pelajar terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka yang terletak kira-kira 20km dari kolej itu, apabila sebuah bas penumpang tiba-tiba merempuh bahagian belakang kenderaan mereka, di sebatang jalan yang sedang dalam pembinaan.

Kereta Suzuki Maruti yang mereka naiki remuk akibat kemalangan itu.

"Pelajar Malaysia itu meninggal dunia di tempat kejadian. Pejabat Konsul Besar di Chennai sedang melakukan persiapan untuk membawa pulang mayat pelajar berkenaan ke Malaysia hari ini," kata Khairudin Abdullah, kaunselor pendidikan Malaysia yang berpusat di Chennai, kepada Bernama pada Rabu.

Mayat itu dibawa ke Bangalore, iaitu lapangan terbang yang paling hampir, dan akan diterbangkan ke Malaysia lewat malam Rabu.

-- BERNAMA

Pemain Golf Asia Berkampung di Terengganu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Datuk Za'abar melakukan `putting' gimik pelancaran Terengganu Masters Golf Invitational 2009 di Kuala Terengganu Golf Resort. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Seramai 144 pemain golf dari seluruh Asia akan berkampung selama seminggu di Terengganu bagi menyertai kejohanan `Terengganu Masters Golf Invitational 2009’, di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu bermula 29 Oktober depan.

Program kali keempat anjuran kerajaan negeri menerusi Persatuan Golf Terengganu dan Tourism Malaysia Terengganu yang berakhir pada 3 November depan melibatkan penyertaan pemain profesional seluruh Malaysia (70 orang), pemain profesional Asia (50 orang) dan Amatur 24 orang.


Majlis penyerahan cek untuk juara Terengganu Masters Golf Invitational 2009.

Selain pemenang Masters 2007, Feroz Ali Mollah dari India yang mengesahkan penyertaan pada kejohanan ini, peserta lain yang turut berbuat demikian adalah Huyuh Von San dan Michale Tran (Vietnam); Shinjo Fukushima dan Takashi Okuda (Japan); Chris Carey dan Andrew Argus (Australia); Aung Hla han dan Zaw Zin Win (Myanmar) dan lima pemain profesionals masing-masing dari Filipina dan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata kedatangan pemain dari seluruh negara ke kejohanan itu nanti dapat memperkenalkan dan memproosi negeri ini sebagai satu destinasi golf terkemuka melalui penganjuran pertandingan golf bertaraf profesional.

Katanya, kejohanan itu juga menjadi acara pelancongan Terengganu yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf di dalam dan luar negara.Selain itu, secara langsung ia akan dapat menarik lebih banyak penganjuran acara seumpamanya.

“Kerajaan sedang berusaha ke arah menjadikan Terengganu antara destinasi yang menyediakan pakej golf yang setanding dengan negeri lain yang sudah maju.



“Setakat ini kita sudah ada beberapa tempat yang menjadi tumpuan pemain golf seperti di Ibai Golf Resort (Tuanku Mizan Golf & Country Resort) dan lokasi itu perlu dinilai tambah supaya menarik lebih ramai pelancong dan kaki golf ke pusat pelancongan itu, sekaligus menambah kehadiran pelawat ke Terengganu,” katanya ketika sidang media Terengganu Masters Golf Invitational 2009, di Kuala Terengganu Golf Resort, hari ini (12 Oktober).

Datuk Za’abar turut mengharapkan lebih ramai syarikat korporat tampil menaja kejohanan itu supaya menarik lebih ramai penyertaan luar dan setanding dengan penganjuran golf lain dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan.


Datuk Za'abar ketika mengadakan sidang media mengenai kejoahanan golf berkenaan.

Beliau kemudiannya menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Golf Terengganu, Haji Zubir Azhari berjumlah RM23,250 sebagai hadiah juara keseluruhan kejohanan itu.

UKOM
_______________________

82 Peserta Sertai Terengganu Master 2009

KUALA TERENGGANU, 31 Okt (Bernama) -- Seramai 82 pemain termasuk tujuh dari luar negara akan bersaing pada Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2009 bernilai RM150,000 di Kuala Terengganu Golf Resort di sini mulai Ahad.

Selain pemain tempatan, kejohanan tiga pusingan itu, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia, turut disertai tujuh pemain profesional dari Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan dan Korea Selatan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Zubir Azhari, berkata pihaknya bercadang mengadakan kejohanan edisi kelima tahun depan pada pertengahan tahun bagi mengelak musim tengkujuh.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian "Tee-Off" di resort itu pada Sabtu, beliau berkata pertandingan Pro-Am hari ini terpaksa ditangguhkan kerana hujan.

Zubir, yang juga Presiden Persatuan Golf Terengganu, berkata antara pemain tempatan yang akan menyerikan kejohanan itu ialah P. Gunasegaran, S. Sivachandran, M. Ramayah, Shaaban Husin dan Mohd Sukree Othman.

-- BERNAMA

Bahasa Menggambarkan Citra Bangsa

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Semua pihak berkuasa tempatan digesa supaya memastikan penggunaan bahasa di tempat-tempat awam di negeri ini mampu menggambarkan citra bangsa negeri Terengganu.

“Penggunaan bahasa, baik pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahupun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan bahawa kita seolah-olah berada di Hong Kong ataupun di Hawaii,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Terengganu di Unversiti Darul Iman Kampus Kusza (UDM), petang kelmarin (12 Oktober).

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Haji Mohd Yusof Ishak dan Timbalan Naib Canselor UDM, Prof. Dr Yahya Ibrahim.

Katanya, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan bandar Kuala Terengganu sebagai kota budaya, yang secara nyata memancarkan citra budaya bangsa dan kerajaan sedia bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka memberi suntikan baru dalam gerakan memperkukuh bahasa kebangsaan.

“Sebagai agensi bertanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa bekerjasama dengan institusi-institusi daripada sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan untuk menggerakkan pelbagai aktiviti bahasa dan kesusasteraan untuk khalayak,” katanya.

Katanya, melalui kerjasama antara institusi akan timbul kesedaran dan tanggungjawab bersama dan melalui aktiviti pula akan bersama turun padang untuk menyampaikan amanat perpaduan dan patriotisme kepada rakyat pelbagai kaum dan etnik.

Dato’ Ahmad kemudiannya menyarankan agar pihak yang berkewajipan menggunakan teknologi baru seperti internet, TV Web dan seumpamanya supaya mengadakan aktiviti yang lebih luas penyebarannya kepada masyarakat dalam dan luar negara bagi menyemarakkan bulan bahasa.

“Sukalah saya menyeru seluruh rakyat agar mempertingkatkan kemahiran berbahasa Melayu, mengapresiasi nilai-nilai seni, keindahan dan kemurnian yang terungkap dalam sastera kita sekaligus memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu demi memanifestasikan kecintaan terhadap bahasa kita,” katanya.

Katanya, kempen kesedaran melalui media eletronik dan media cetak seharusnya memaparkan slogan seperti ‘saya bangga menjadi rakyat Malaysia’ dan ‘saya akan menggunakan bahasa kebangsaan yang betul’ moga terungkaplah slogan keramat ‘bahasa jiwa bangsa’ dalam jiwa seluruh rakyat di negeri ini.

UKOM

Persiapan Banjir Lancar

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk menyediakan keperluan makanan, selimut dan kit bencana kepada mangsa bencana alam khususnya banjir di Terengganu pada tahun ini.

Sehingga Julai lalu, RM685,330 sudah dibelanjakan untuk keperluan mangsa banjir, manakala RM319,990 digunakan untuk bencana alam lain seperti ribut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, berkata peruntukan yang disediakan kerajaan pada tahun ini hampir sama dengan peruntukan lalu. Berdasarkan pengalaman lalu, peruntukan itu adalah mencukupi untuk menampung keperluan mangsa banjir.


Dato' Mokhtar Nong diberi penerangan mengenai bencana alam di pameran yang diadakan sempena Kempen Kesedaran Bencana Awam di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah akan memberi makanan yang siap dibungkus pada hari pertama mereka dipindahkan.

Selain menyediakan keperluan harian, kerajaan negeri juga sudah mengenalpasti pusat pemindahan dan pangkalan hadapan yang sesuai dan selamat.



Pada tahun ini, sebanyak 87 pusat pemindahan mangsa banjir dengan kapasiti 8,627 orang serta 25 pangkalan hadapan di Besut.

Di Setiu sebanyak 31 pusat pemindahan dengan muatan 3,222 orang dan 21 pangkalan hadapan dan 52 pusat pemindahan yang dapat memuatkan 9,615 orang dan sembilan pangkalan hadapan di Dungun.

Sebanyak 73 pusat pemindahan yang dapat menempatkan 8,460 orang serta 33 pangkalan hadapan disediakan di Hulu Terengganu; 24 pusat pemindahan dengan muatan 4,760 orang dan 15 pangkalan hadapan di Marang.

Manakala 33 pusat pemindahan disediakan di Kemaman yang menempatkan 6,205 orang dengan 12 pangkalan hadapan. Sementara Kuala Terengganu terdapat 27 pusat pemindahan yang dapat memuatkan 7,150 mangsa banjir dengan tiga pangkalan hadapan.

“Jumlah pusat pemindahan yang disediakan pada tahun ini juga tidak banyak bezanya dengan tahun lepas bagaimanapun kita tetap bersedia kalau memerlukan penambahan pusat pemindahan dan bergantung kepada keadaan semasa.

“Penduduk Terengganu dinasihatkan supaya peka dan bersiap sedia untuk berpindah sebaik sahaja menerima amaran awal yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai sukatan hujan dan air sungai,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Bencana Awam Mengenai Bencana, Cuaca Ekstrem, Gempa Bumi dan Tsunami : Tahun 2009 Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (13 Oktober).


Peserta yang mengikuti program anjuran Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Meterologi Malaysia.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Meterologi Malaysia (JMM)bertujuan mendedahkan dan memberi penerangan kepada agensi yang terlibat di peringkat negeri mengenai peranan dan fungsi berdasarkan arahan MKN No 20 (Dasar Mekanisma Pengurusan Bantuan Bencana Negara) .

Sementara itu, Dato’ Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Terengganu berpuas hati dengan kelancaran persiapan banjir paa tahun ini serta tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, orang awam boleh mendapatkan maklumat semasa berkenaan situasi banjir di negeri ini seperti berikut:

* Bilik Gerakan Banjir Negeri (Pejabat MKN Terengganu, Wisma Seri Amar) 09-6222231 (pej) dan 09-6316021 (diaktifkan 24 jam apabila banjir berlaku)
* Bilik Gerakan/Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu 09-6270499 (hotline)/096354741/09-6354745
* Bilik Gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu 09-6274058/54 (pej) dan 09-6274277 (diaktifkan 24 jam apabila banjir).
* Bilik Gerakan JPS Terengganu 09-6220052/09-6233008 (pej) dan 09-6224072/09-6274172 (diaktifkan apabila banjir berlaku).

UKOM



PMINT Rai Anak Yatim

Oleh : SURIATI BINTI ALI

“Seronok dan terima kasih kerana sudi menjemput saya dan kawan-kawan di majlis penuh bermakna ini.

“Ibu kurang berkemampuan untuk membawa saya dan adik-beradik untuk makan di restoran seperti ini, oleh itu kenangan hari ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” kata murid Tahun 5 Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Losong, Mohd Fitri Syawal Abdullah ketika ditemubual TeganuKita.


Anak yatim menerima duit raya daripada pengurus besar PMINT, Dato' Hj Zakaria Awang pada sambutan Aidilfitri jabatan itu di Taman Tamadun Islam. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Mohd Fitri antara 50 anak yatim dari tiga buah sekolah sekitar Kampung Losong, Kuala Terengganu menjadi tetamu istimewa Majlis Hari Raya Perbadananan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Bbenteng Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini (12 Oktober).

Selain anak yatim, tetamu pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut hadir bagi memeriahkan majlis yang dianjurkan secara tahunan itu.

Murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Paloh, Madiana Alia, 8, berkata hari ini paling seronok, kerana kami bukan sahaja dijamu pelbagai makanan istimewa malah turut dapat duit raya dan melawat sekitar Taman Monumen, TTI.

Katanya, sebelum ini, saya bersama keluarga pernah datang, tetapi tidak pernah berkunjung dan masuk di dalam taman dan makan di restoran milik TTI ini.

“Saya berasa bangga kerasa terpilih untuk hadir majlis hari raya ini dan jika berpeluang, ingin datang lagi,” katanya yang ditemani guru sekolah.

UKOM

12 October 2009

Larian 1Malaysia – Majlis Belia Negeri Terengganu 2009

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

KUALA TERENGGANU – 12 Oktober --- Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Jabatan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan menganjurkan Larian 1Malaysia – MBNT 2009 pada 14 November 2009.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dijangka bakal menyertai larian bersama lebih 7,000 orang termasuk badan dan agensi kerajaan, swasta, belia, NGO dan juga orang awam.

Larian yang berkonsepkan larian ria sejauh tiga kilometer ini bermula bermula dan berakhir di Dataran Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.

Pada masa yang sama, peserta berpeluang memenangi hadiah larian sumbangan penaja serta kupon cabutan nombor bertuah akan diberikan kepada peserta yang dapat menamatkan larian dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Setiausaha MBNT, Encik Salleh Othman, berkata program itu bertujuan menggerakkan dan mengaktifkan para belia di negeri ini, sekaligus dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dan mantap.

Pada masa yang sama, penglibatan dalam program itu juga sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap gagasan dan kepimpinan negeri dan negara khasnya.

“Adalah diharapkan agar program ini akan dapat menghindarkan belia daripada mendekati perkara-perkara yang tidak diingini dan menyalahi undang-undang.

“Di samping itu juga, ianya dapat melahirkan kesediaan belia untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan adalah digerakkan daripada kehendak dan sikap aktif belia itu sendiri. Malah, apa yang lebih penting dapat membentuk keperibadian dan disiplin diri,” katanya.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Setiausaha MBNT, di talian 09-6242200.

UKOM

Bukti Rakyat Masih Percaya Dengan Pucuk Pimpinan BN

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional(BN) menyifatkan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang merupakan bukti rakyat masih percaya dengan pucuk pimpinan parti.


Datuk Wong Foon Meng
Gambar Fail: TEGANUKITA


Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng berkata walaupun pada pilihan raya sebelum ini BN seolah-olah kehilangan sokongan rakyat, kejayaan di Bagan Pinang menjadi titik permulaan bagi parti itu mengorak langkahnya semula.

"Saya menganggap kemenangan ini sebagai satu petanda kemenangan BN kepada rakyat. BN masih diterima dan dikehendaki oleh rakyat untuk membawa kemenangan kepada mereka.

"Kemenangan ini juga menunjukkan rakyat telah mula memberi keyakian kepada BN untuk mewakili kawasan itu sekaligus menunjukkan ia merupakan parti yang mampu memberi kebahagian dan keamanan kepada rakyat secara amnya," katanya.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata keputusan di empat saluran yang mempunyai majoriti pengundi India menunjukkan masyarakat India telah mengundi BN pada pilihan raya kecil itu.

"Kami (MIC) telah menunaikan janji kami kepada Perdana Menteri dengan memberikan undi masyarakat India kepada BN. Ini adalah KPI beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) kepada MIC," katanya kepada Bernama di sini.

Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada pengundi India atas sokongan mereka kepada BN dan menyatakan komitmen MIC untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan kepada masyarakat India.

"Kami akan tunaikan janji kami kepada masyarakat India," katanya.

Menteri Sumber Manusia yang juga naib presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam berkata kerajaan perlu terus meningkatkan kehidupan masyarakat India agar keputusan pilihan raya ini akan tersebar ke kawasan lain dan membawa kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pada pilihan raya kecil itu BN mempertahankan kerusi Bagan Pinang menerusi calonnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd Isa memperoleh 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.

-- BERNAMA