KERAJAAN Negeri merangka pelbagai program yang sesuai dengan minat golongan belia tempatan bagi mengurangkan gejala sosial secara berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pihaknya mula serius merancang aktiviti sejak 1994, termasuk mewujudkan program Rakan Muda; Kelab Reka Cipta Reakreasi dan Sukan, Wira Usaha, Rakan Muda Mahir dan Kecerdasan.
Beliau berkata, mulai tahun lepas, kerajaan negeri turut menganjurkan kursus Dana Remaja selama tiga hari dua malam yang mensasarkan 20 peratus daripada jumlah penerima bakti remaja setiap tahun.
Orang ramai memenuhi tempat duduk tingkat atas Dewan Undangan Negeri sebagai pemerhati bagi melihat lebih dekat perjalanan persidangan.
“Untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan program Mat Rempit Sifar dan Kelab Motor pada bulan Jun nanti.
“Program menjangkakan kehadiran 40,000 remaja dari seluruh negeri itu bakal dirasmikan Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab soalan Haji Nawi Mohamad (BN- Hulu Besut)
Katanya, penubuhan Kelab Motor Daerah sedang berjalan dan kerajaan negeri mengharapkan golongan muda ini akan sentiasa bersama kerajaan untuk menjayakan program itu dari masa ke semasa.
“Program Saya Anak Terengganu akan dilancarkan untuk mempastikan rakyat di negeri ini terutama belia dan beliawanis berminat menyertai persatuan dan kursus tertentu.
“Program inter-generasi yang melibatkan kaum lain juga turut dianjurkan di setiap daerah bagi mewujudkan kerjasama, sikap tolenrasi dan elak sikap perkauman,” katanya.
Datuk Rahin berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut berminat menganjurkan program berilmu dengan memberi penekanan khas kepada jiwa dan rohani seseorang individu termasuk program taklif , ingat sebelum kena serta program kecemerlangan dan jati diri belia.
Pihaknya menjangkakan peruntukan RM30 juta untuk mewujudkan program khas semata-mata ingin menarik minat belia untuk menyertai persatuan.
“Melaluinya, kerajaan akan menawarkan insentif tertentu kepada golongan berkenaan termasuk mengagihkan topi keledar, jaket keselamatan dan pelbagai peralatan yang berkaitan.
“Mengharapkan bahawa penubuhan kelab motor di setiap daerah ini dapat menambah ahli persatuan yang sedia ada, pada masa sama, kita akan cuba untuk mendekati mereka mengikut daerah sebagai langkah membimbing dan mengetahui masalah,” katanya menjawab soalan tambahan YB Encik Ramlan Ali (BN-Jabi).
Pembangkang Perlu Sokong Pembangunan Kerajaan:WAKIL rakyat daripada parti pembangkang diajak untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan membangunkan Bandar Raya Kuala Terengganu untuk muncul sebagai mercu tanda yang hebat pada masa akan datang.
Wakil BN (Jabi), YB Haji Ramlan Ali berkata, pembangunan yang dirancang adalah untuk kebaikan bersama negeri dan rakyat akan dapat menikmati kesan daripada kepesatan pembangunan bandar itu nanti.
Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama ketua pembangkang dan bersama-sama menjamah hidangan pada sesi rehat persidangan.
“Namun saya agak dukacita kerana ada di kalangan pemimpin pembangkang cuba menghasut penduduk kampung terbabit supaya tidak berpindah,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan menyokong ucapan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), hari ini (6 April).
Katanya, beliau kesal wakil pembangkang telah menggunakan masjid dan surau untuk memberi gambaran negatif kepada penduduk tempatan agar tidak menyokong projek pembangunan yang kerajaan laksanakan.
“Lebih banyak projek yang dibangunkan oleh kerajaan lebih luas peluang rakyat mendapat manfaat sama ada pengusaha kedai makan, penjual barangan kraf dan sebagainya kerana kedatangan pelancong yang keluar masuk kesini akan berbelanja,” katanya.
Pelajar sekolah yang hadir menjadi pemerhati sempat begitu bertuah dapat bertemu dengan Menteri Besar.YB Haji Ramlan juga meminta pihak berwajib supaya menghidupkan kembali program gotong-royong menjaga kebersihan seperti yang pernah diadakan tidak lama dulu kerana dengan penglibatan semua pihak termasuk jabatan kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan, swasta dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK)..
“Pencegahan dan kawalan demam denggi ini amat perlu di samping kempen memelihara alam sekitar dan mencintai kebersihan kerana mengikut laporan setiap bulan ada saja kes demam denggi berlaku dan pada tiga bulan tahun ini sudah ada 270 kes yang dikesan,” katanya.
Jangan Letak Kesalahan Pada Pihak Lain:TIDAK semestinya sesuatu yang baik itu datangnya dari atas, kadang-kadang yang baik datangnya dari bawah dan tidak semestinya yang buruk itu datangnya dari bawah kadang-kadang ia juga datang dari atas.
Itu kata-kata awal Wakil BN ( Tepoh) , YB Haji Muhammad Ramli Nuh yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sidang DUN, hari ini.
Suasana sillaturahim antara wakil rakyat ketika di luar dewan.Beliau yang memulakan ucapan dengan membaca peringatan daripada satu Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Mereka itu adalah di antara orang-orang yang mendengar sesuatu, khususnya sesuatu nasihat, lalu mengikuti apa yang terbaik diambil di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan petunjuk hidayah oleh Allah SWT dan mereka itulah sebenarnya orang-orang yang mempunyai akal yang diistilahkan sebagai ulul albab”
Maksudnya, Allah SWT lebih meminta kita untuk bercakap dan berucap tentang persoalan untuk kebaikan bersama tanpa terlalu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.
“Apatah lagi untuk menuduh atau mencerca, mencemuh dan mengeluarkan kata-kata nista dan hina bagi maksud untuk memastikan orang yang mendengarnya turut merasa benci kepada mereka yang yang dimaksudkan itu,” katanya.
Katanya, kalau itu yang berlaku kita telah mempengaruhi orang supaya bergaduh dan membenci antara satu sama lain sedangkan yang perlu kepada kita adalah orang ulul albab dan bercakaplah kepada perkara yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat, agama bangsa dan negara.
YB Haji Muhammad Ramli seterusnya mengajak semua untuk berusaha mengamalkan perkara yang baik agar ianya menjadi kebiasaan dan akan menjadi amalan kekal dalam kehidupan seterusnya.
Pelajar sekolah yang hadir pada persidangan dewan sebagai pemerhati.Beliau turut meminta kerajaan menyiasat mengenai aduan terdapat guru J-Qaf yang mengajar kanak-kanak tentang perkara yang tidak baik seperti menyebut dan memburuk nama pemimpin negara.
“Kita tidak nafikan hak mereka untuk mencari rezeki dengan mendapat jawatan yang baik dalam kerajaan tetapi biarlah melaksanakan tugas mendidik dengan baik bukanlah mengajar mereka kepada perkara yang boleh mengelirukan mereka,” katanya.
TEGANUKITA