Oleh: Suriati Ali, Shahrir Abd Hamid dan Raja Faisal Raja Haron (Praktikal)
Saksi Deputi Superitenden Polis (DSP)Ahmad Fauzi Mohd Nor, 31 sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuala Terengganu pada perbicaraan hari kedua hari ini tampil sebagai saksi seterusnya bagi perbicaraan kes SMS berunsur ugutan bunuh.
Dalam prosiding di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu pagi ini (12 Januari), saksi memberitahu mahkamah beliau menerima arahan daripada Asisten Superintenden (ASP) Hazwan untuk menghubungi Dato’ Rosol Wahid (Ahli Dewan Undangan Negeri kawasanAjil).
Berikut adalah catatan soal-jawab berkenaan:
Pendakwa Raya: DSP, adakah kamu menerima arahan daripada mana-mana pihak untuk menghubungi Dato’ Rosol ?
Ahmad Fauzi: Ya, saya ada menerima arahan daripada ASP Hazwan untuk menghubungi Dato’ Rosol pada 25 April 2009 jam 5 petang.
Pendakwa Raya: Apakah arahan ASP Hazwan ketika itu ?
Ahmad Fauzi: ASP Hazwan mengarahkan supaya merampas telefon bimbit dan kad sim milik Dato’ Rosol.
Pendakwa Raya: Bila arahan itu dijalankan ?
Ahmad Fauzi: Pada 26 April 2009 dan jam 1.00 petang, saya telah menghubungi Dato’ Rosol meminta beliau supaya hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan saya.
Pendakwa Raya: Adakah beliau datang ?
Ahmad Fauzi: Ya, ada, Dato’ Rosol datang jam 1.20 tengah hari.
Pendakwa Raya: Apakah kamu buat ketika itu ?
Ahmad Fauzi: Saya meminta Dato’ Rosol menyerahkan telefon bimbit dan kad sim.
Pendakwa Raya: Berikan jenama telefon.
Ahmad Fauzi: Jenis Nokia E90 beserta sekeping kad sim.
Ketika ini DSP Ahmad Fauzi, membuat pengecaman telefon yang ditunjukkan Pendakwa Raya dan mengesahkan benar iaitu Nokia E90 dan kad sim yang dirampas.
Pendakwa Raya: Kamu buat laporan polis tentang rampasan itu.
Ahmad Fauzi: Ya, saya ada membuat laporan polis berkaitan rampasan Nokia E90 dan kad sim.
Selepas itu Pendakwa Raya memanggil saksi Lans Koperal Nuvaraj a/l Subaramaniam, 31.
Pendakwa Raya: Apakah tugasan kamu ?
Nuvaraj : Tugas sebagai Jurufoto Jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu,
Pendakwa Raya: Adakah kamu bekerja dalam tempoh 24 jam ?.
Nuvaraj : Ya, saya bekerja 24 jam bermula dari jam 12 tengah malam pada 14 April 2009 sehingga 12 tengah malam keesokan harinya.
Pendakwa Raya: Siapa yang mengarahkan kamu untuk merakam gambar ?
Nuvaraj : Saya menerima arahan daripada Inspektor Muhaniza pada jam 1.50 pagi di pejabatnya di IPD, Kuala Terengganu.
Ketika ini Jurufoto Lans Koperal Nuvaraj a/l Subaramaniam, mengenalpasti gambar yang dirakam dan mengesahkan bukti tersebut adalah benar.
Pendakwa Raya: Adakah kamu kenal pemilik sebenar telefon bimbit itu ?
Nuvaraj : Saya tidak kenal, kerana melalui pintu belakang bilik Inspektor Muhaniza dan berjalan membelakangi pemilik telefon.
Pendakwa Raya: Ada kamu mengambil gambar SMS ?
Nuvaraj : Ya, saya ada mengambil gambar SMS.
Pendakwa Raya: Apakah kandungan SMS itu ?
Nuvaraj : SMS berbunyi, `baik jangan teruskan, YB tak sayang nyawa?’.
Pendakwa Raya: Adakah barang kes itu terkandung dalam laporan polis ?
Nuvaraj : Ya, ada dalam laporan polis Kuala Terengganu, 3285/09.
Pendakwa Raya: Siapa yang menyusun barang kes ?
Nuvaraj : Barang kes disusun oleh ASP Hazwan.
Pendakwa Raya: Berapa keping gambar yang kamu ambil ?
Nuvaraj : Sebanyak sepuluh keping yang diambil pada ketika itu.
Pendakwa Raya: Bila gambar itu diambil ?
Nuvaraj : Pada 11.5.2009 jam 5.00 petang.
Pendakwa Raya: Di mana gambar itu dirakam dan siapa yang mengarahkannya?
Nuvaraj : ASP Hazwan yang arahkan dan gambar itu diambil di alamat E-726, Jalan Kubang Parit, Jalan Kuala Berang, Kuala Terengganu.
Pendakwa Raya: Siapakah yang ada bersama ketika itu?
Nuvaraj : ASP Hazwan dan beberapa anggota dari unit Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu
Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chooi Gaik.
Hakim kemudianya menetapkan perbicaraan bersambung pada 7 hingga 10 Mac 2011.
TEGANUKITA