Halaman

11 January 2011

PEMBICARAAN DATO’ DR.AHMAD RAMZI TERUS HANGAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Shahrir Abdul Hamid





Pembicaraan SMS ugutan bunuh yang melibat pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh diteruskan lagi pada hari ini (11 Januari 2011) di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara tertuduh Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.

Pembicaraan kes SMS ugutan bunuh kembali hangat dengan penampilan dua orang saksi iaitu Penolong Pengurus Telekom Malaysia, Marzita Maarof sebagai saksi ke 20 dan Pegawai Eksekutif Celcom, Abdul Rahman Othman saksi ke 21.

Kedua-dua saksi menjelaskan kepada mahkamah tentang bidang tugas masing-masing dan kaitannya dengan penyiasatan kes berkenaan.

Marzita memberitahu mahkamah, bidang tugas beliau ialah menganalisa e-mail dan SMS pelanggan bila diminta oleh pihak yang bertanggungjawab.

Menjawab soalan pendakwa, Marzita berkata, dalam hal ini beliau diminta oleh Pegawai Penyiasat kes untuk menganalisa data SMS berkaitan kes tersebut.

Ketika ditanya oleh pihak pendakwa, beliau menjelaskan setiap pelanggan mempunyai ’ ID ‘ serta ‘password’ yang membolehkan pihaknya menganalisa secara tepat dan terperinci penghantar SMS.

Pembicaraan hari Ini lebih kepada dari segi teknikal untuk mengesahkan nombor dan butiran-butiran penghantar yang terbabit dalam kes ini.

Jelaslah di sini bahawa setiap transaksi yang digunapakai oleh pelanggan direkod oleh pihak Telekom, tetapi ia adalah rahsia kecuali dibuat semakan apabila mendapat arahan daripada pihak berkuasa seperti Polis (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Perkara ini dipersetujui oleh saksi ke 21, Abdul Rahman Othman yang memberitahu mahkamah pihaknya akan membuat semakan sekiranya mendapat permohonan dari pihak berkuasa untuk membuat siasatan ke atas satu-satu kes.

Saksi Abdul Rahman juga memberitahu nombor-nombor yang telah dikesan yang mempunyai hubungkait dengan kes yang dalam penyiasatan termasuk Abdul Halim Jusoh, Elia Ismail serta Ariffin Abdullah.

Kes yang berakhir pada petang ini akan bersambung esok 12 Januari 2011, difahamkan beberapa orang lagi saksi akan tampil memberi keterangan termasuk beberapa orang anggota polis yang terbabit dalam penyiasatan kes SMS ugutan bunuh ini.

TEGANUKITA