Halaman

10 February 2011

Sistem Pendaftaran Satu Hari

Oleh : AIDA ABD RAHMAN / Esah Abdullah / Gambar Oleh: Zulkipli Putra


Pejabat Tanah dan Galian memulakan Sistem Pendaftaran Satu Hari sejak dua tahun lalu.

Prestasi kutipan hasil cukai tanah terus mendapat sentuhan agresif oleh seluruh pentadbiran tanah bagi memastikann kutipan cukai semasa dan tunggakan dapat ditingkatkan lagi dari tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun lalu, kutipan cukai tanah mencapai 87.4 peratus berbanding tahun sebelumnya 85.1 peratus dan perkembangan ini amat memberangsangkan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Katanya, kejayaan ini disokong setelah pentadbiran tanah mewujudkan Sistem Pendaftaran Satu Hari (SPSH) di mana semua pejabat tanah dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) memulakan usaha tersebut sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini katanya, urusan tanah seperti pindahmilik, gadaian, kaveat, tarekah dan lain-lain didaftarkan dalam tempoh lima hingga lapan hari tetapi ianya terus menampakkan peningkatan setelah perasmian kaunter pendaftaran satu hari di PTG setahun kemudian.

“Akhirnya, semua urusan berkaitan pendaftaran berjaya dilakukan dalam masa satu hari, kecuali permohonan yang mempunyai masalah diluar kawalan,” katanya.



Apa yang menariknya kata Dato’ Seri Ahmad, urusan pindahmilik dalam masa singkat ini telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri sebagai Produk Satu Malaysia.

“Untuk itu saya amat berbesar hati bila negeri kita bukan sahaja berjaya mendaftar urusan pindahmilik dalam masa sehari malahan pelbagai lagi urusniaga lain,” katanya.

Menteri Besar seterusnya mengucapkan syabas kepada pentadbir tanah dan PTG yang telah menggunakan sistem secara talian terus ini bagi mempercepatkan proses urusan tanah di negeri ini.

TEGANUKITA

TCNG Jelajah Seluruh Daerah

Oleh: Aida Abd Rahman

Program ‘Terengganu City Night Game’ (TCNG) akan diperluaskan ke seluruh daerah bagi membolehkan penyertaan lebih ramai golongan muda di negeri ini dalam aktiviti yang menyihatkan dan bermanfaat.

TCNG sebelum ini berpusat di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, dikembangkan ke seluruh daerah sebagai langkah memandangkan penyertaan dan kehadiran penonton dari seluruh daerah bagi setiap siri aktiviti yang diadakan sejak dua tahun lalu itu amat menggalakkan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin, berkata sukan berbasikal merupakan aktiviti yang bakal diberi tumpuan pada tahun ini memandangkan ia sukan paling menonjol sejak akhir-akhir ini.

“Program TCNG ang pertama tahun ini bakal bermula pada 17 hingga 19 Februari depan, di mana kita berharap semua pihak sama ada komuniti setempat ataupun penggemar sukan, tidak melepaskan peluang untuk turut serta.

“Beberapa kategori sukan juga menanti penyertaan semua pihak antaranya sukan berprestasi tinggi, sukan lasak, sukan massa dan acara berbentuk hiburan yang bakal menguji ketahanan mental serta fizikal kesemua peserta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Atlet Berbasikal Terengganu Cycling Team (TSG) di perkarangan Gerbang Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (9 Februari).

Encik Zainal berkata, purata penyertaan ialah seramai 1,800 bagi setiap siri TNCG dan jumlah keseluruhan dianggarkan seramai 15,000 penonton bakal memenuhi tapak aktiviti setiap hujung minggu berkenaan.

Sementara itu, TSG yang diwakili enam pelumba termasuk seorang dari Jepun bakal berentap dalam Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Mumbai di India yang dijadualkan 11 hingga 13 Februari ini.

Peserta yang bakal menyahut cabaran itu adalah Yusrizal Usoff, Mohd Sobri Abdullah, Mohd Faiz Sharifuddin, Mohd Nor Amirul Fakaruddin Marzuki, Nor Umardi Rosdi dan Motoi Nara dari Jepun.
Pemilihan mereka dibuat berdasarkan keupayaan serta kekuatan untuk bersaing dalam perlumbaan landai berkenaan.




TEGANUKITA

TATiUC Tawar Kepakaran Kepada Negara Jiran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kolej Universiti Tati (TATiUC) melangkah setapak lagi dengan menawarkan perkhidmatan profesional universiti kemahiran penuh itu dalam kepakaran Ujian Tanpa Musnah (NDT) kepada syarikat luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi ,Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerjasama dengan negara jiran, Indonesia itu mampu mencapai hasrat memenuhi permintaan industri antara kedua-dua negara.

“Ruane-TATI yang sudah dikenali umum dalam dan luar negara semenjak tahun 1996 lagi sebagai sebuah pusat yang melahirkan pakar-pakar NDT, sudah semestinya bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan profesionalnya kepada negara luar yang memerlukan khidmat kepakaran kita,” kata beliau di majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Ruane-TATI dan Indonesian Institute of NDT (IINDT) berlangsung di Hotel Harmoni One, Kota Batam, Indonesia, pada 28 Januari lalu.

Turut hadir, Rektor TATiUC, Dr. Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim; Pengurus Besar Ruane-TATI Encik Mohd Ali bin Mohamad, Pengarah IINDT Bapak Berry Wiraprima dan Pengurus Besar UT Quality, Batam Mr. Tim Polinelli .

Haji Ahmad Razif berharap kerjasama itu akan dapat diteruskan untuk jangkamasa yang panjang memandangkan ia bermanfaat dan menguntungkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, Mr. Tim Polinelli berkata, syarikat NDT sentiasa berharap untuk menaiktaraf pekerja beliau kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi iaitu PCN (Personel Certificate in Non-Destructive Testing) yang diiktiraf oleh BINDT dan kebanyakan negara di dunia.

Beliau berkata, setakat ini syarikat UT Quality menghantar lebih daripada 5 pekerja ke IINDT sejak bekerjasama dengan Ruane-TATI dan akan terus menghantar untuk jangkamasa akan datang.

MoU antara kedua-dua pihak berkenaan turut meminta Ruane-TATI memastikan Latihan dan Peperiksaan berjalan dengan lancar di IINDT dengan menghantar tenaga pengajar dan pemeriksa yang bertauliah, selain mendapat pengiktirafan daripada British Institute of Non-Destructive Testing (BINDT) manakala pihak IINDT pula akan melakukan kerja-kerja pemasaran dan menyediakan semua kelas, peralatan dan kebajikan pelajar.

TEGANUKITA

TSG Sertai Tour De Mumbai

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cyling Team (TSG).
Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cyling Team (TSG) yang menyerlah dalam perlumbaan pertama pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL), baru-baru ini akan beraksi pula di kejohanan Tour De Mumbai, di India.

Kejohanan dua hari bermula 11 Februari depan, membabitkan dua peringkat iaitu di Nashik sejauh 170 kilometer dan Mumbai 108 kilometer.

Pemangku ketua Eksekutif TSG, Ibni Amin Busu, berkata kejohanan yang akan disertai pasukannya kali ini merupakan trek landai, tidak berbukit dan amat sesuai dengan pelumba pecut.

Bagi kejohanan yang dianggap lebih berprestij daripada LTdL ini, TSG menyenaraikan enam pelumba bagi kategori elit dan bawah 23 tahun di mana mereka ini tidak diturunkan ketika TSG menyertai LTdL.

Mereka ialah Yusrizal Usoff, Muhamad Faiz Syarifuddin Abdul Kadir, Nur Amirul Fakharuddin Mazuki, Muhhamad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Motoi Nara.

Ibn Amin berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan tersebut, tetapi lebih merupakan langkah memberi pendedahan kepada pemanin berkenaan bagi menimba pengalaman.

Katanya, selepas ini TSG akan menyertai kejohanan Jelajah Malaysia yang dijadualkan diadakan pada bulan depan.


TEGANUKITA

09 February 2011

TERKINI: 38 LAGI PELAJAR TERENGGANU TIBA



Seramai 38 orang pelajar Terengganu yang belajar di beberapa universiti di Mesir tiba di Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang ini (9 Februari 2010).Majoritinya pelajar perempuan.

Pelajar-pelajar Terengganu ini di bawah tajaan pelbagai agensi, termasuk Maidam, MARA, JPA dan persendirian tiba di perkarangan Wisma Darul Iman di sambut oleh Exco Kerajaan Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

YB Haji Ahmad Razif kemudian makan petang bersama pelajar dan ibubapa yang datang untuk menjemput anak-anak mereka.


Hadir sama Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat, Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria, Ketua Pegawai Esekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan para pegawai dari Yayasan Terengganu.


Masing-masing pelajar melahirkan rasa syukur kerana dapat pulang ke tanahair dengan selamatnya, begitu juga dengan ibubapa yang datang menyambutnya. Oleh: Ruslan Abdul Rahman.

TEGANUKITA

FAIRUS BEKAS TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG DI KUALA NERUS ESOK




Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd.Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang akan menjadi salah seorang ahli panel dalam Forum sempena Program Juara Rakyat DUN Seberang Takir esok, 10 Februari 2010.

Beliau akan berpadu dengan Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu yang baru,YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Penerangan Umno Kuala Nerus, Ustaz Haji Mohd Ramli bin Noh.


Menurut Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Asri Zakaria forum berkenaan akan berlangsung di Dataran Permata, Kampung Baru, Seberang Takir kira-kira jam 9.00 malam, 10 Februari 2010.

Katanya, terdahulu dari itu kira-kira jam 3.00 petang esok Mohd Fairus akan bersama pemimpin-pemimpin peringkat cawangan bertempat di Dewan Umno Bahagian Kuala Nerus.

Fairus seorang ahli politik muda berusia 35 tahun meletak jawatan dan keluar dari PKR kerana tidak lagi mempercayai parti berkenaan.

Beliau akan mengupas mengapa beliau tinggalkan PKR dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, YB Ahmad Razif memberitahu program juara rakyat esok akan bermula jam 9.00 pagi esok di Dataran Permata dengan Hari Bertemu Pelanggan MAIDAM,Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Pembangunan Keluarga.

Turut diadakan pemeriksaan kesihatan dan servis kereta dan motosikal.

Ahmad Razif memberitahu, pada hari esok juga diadakan pembahagian e-Book sekolah-sekolah DUN Seberang Takir, Banguan Pakaian Sekolah oleh MAIDAM dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai dijemput hadir. Oleh: Ruslan Abdul Rahman





TEGANUKITA

Pertandingan Ubah Lanskap Kampung Cina

Oleh: Aida Abd Rahman

Kampung Cina yang diwartakan sebagai Kampung Warisan akan berubah wajah apabila pertandingan mengindahkan produk pelancongan Terengganu itu bakal diadakan tidak lama lagi.

Usaha yang digembeleng Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) bagi memastikan Kampung Cina terus mendapat perhatian dan alternatif tarikan pelancong kerana memiliki identiti yang tersendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw, berkata pihaknya akan menyediakan garis panduan dan konsep tertentu mengenai Kampung Cina serta hala tuju pembangunannya dalam kertas kerja yang sedang disiapkan bagi pertandingan yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia itu.

Katanya, semua pihak dijemput menyertai pertandingan yang menyediakan hadiah yang menarik itu termasuk individu atau kumpulan daripada sekolah seni dan reka bentuk, arkitek, fakulti arkitek di universiti serta pihak profesional lain.

“Kita akan menyediakan skop rekabentuk berkaitan Kampung Cina dan hala tuju, manakala peserta pertandingan bebas menggunakan kreativiti dan cara mereka untuk mengindahkan Kampung Cina termasuk penggunaan bahan dan struktur tambahan kepada bangunan sedia ada untuk menghasilkan keputusan yang lebih cantik dan menarik,” katanya ketika ditemui Teganukita, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, berkata dengan pertandingan yang julung kali dilaksanakan itu nanti, pihaknya berharap Kampung Cina akan lebih menjadi tumpuan pelancong, sebagaimana mercu tanda Terengganu, Masjid Kristal yang mempunyai lambang dan identiti yang tidak menyamai mana-mana tempat lain.

YB Toh berkata, sejak 2005 banyak peruntukan yang disalurkan pelbagai agensi seperti MBKT bagi mencantikkan lagi kawasan itu khususnya menambah dan menukar lampu hiasan serta menyediakan cat percuma kepada penduduk bagi mengecat semula bangunan selain mendapat sumbangan cat tambahan daripada syarikat swasta.

Dato’ Seri Haji Ahmad panggil SPRM

Oleh: Suriati Ali


Gambar yang dirakam pada 18 Januari 2010.



Gambar yang dirakam pada 2 Ogos 2010.



TERKINI : Gambar yang dirakam pada 7 Januari 2011. (Foto: Zulkipli CW Putra)

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sudah memanggil pegawai atasan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kegiatan kecurian bijih di lombong Bukit Besi, Dungun.

Beliau berkata, pada masa sama iaitu semalam (8 Februari), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) turut diarah supaya membuat laporan polis mengenai kejadian sama.

“Saya pelik bagaimana kegiatan itu boleh berlaku sedangkan terdapat pengawal keselamatan dan pegawai yang memantau lokasi itu.

“Tiga pengusaha tempatan sahaja dilantik bagi menjalankan kerja-kerja melombong bijih besi dan pihak lain tidak dibenarkan masuk sama sekali,” katanya.

Menurutnya, jika kejadian ini berlaku membabitkan pihak dalaman ia bagaikan `harapkan pagar,pagar makan padi’.

“Kerajaan negeri kesal dengan kejadian ini dan mengarahkan PTG melakukan siasatan segera termasuk menyiasat jumlah kehilangan serta laluan mana mereka masuk dan keluar,” katanya.

Blog Teganukita pada 7 Februari melaporkan Dato’ Haji Ahmad hari ini berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan kecurian bijih besi di Lombong Bukit Besi, Dungun.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan agar kejadian tersebut dilaporkan secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi),” katanya.

Menteri Besar melahirkan rasa kecewa dengan kejadian tersebut yang dipercayai melibatkan pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan lombong bijih besi tersebut.

TEGANUKITA

Taman Tema Zoo Bukit Takal, Kemaman

Oleh: Esah Abdullah



Taman Tema Rekreasi Air Zoo Bukit Takal, Kemaman sudah mula dilengkapi dua komponen iaitu air terjun buatan dan gelonsor air untuk tarikan pelancong yang berkunjung ke Mini Zoo berkenaan.

Beberapa peralatan lain antaranya, kolam ombak, laluan anak sungai buatan dan gelonsor air ke dua akan menjadi pelengkap kepada taman yang membawa konsep alam semula jadi ini.



Semua kelengkapan untuk menghiasi taman ini dilaksana secara berperingkat dalam usaha memberi keselesaan dan keselamatan kepada orang ramai yang mungkin datang bersama anak kecil.

Beberapa kelengkapan lain seperti taman permainan kanak-kanak dalam kolam, kemudahan istirehat, kedai makan, bilik persalinan dan bilik solat akan di bangunkan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.




TEGANUKITA

Pelajar teruja teroka ilmu

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar bersama seorang murid Sekolah Kebangsaan Paya Bunga perintis kepada Kelas Maya di Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Kelas maya yang kini diperkasakan tiga sekolah rendah di negeri ini nyata menunjukkan perkembangan membanggakan kerana murid yang mengikuti pelajaran melalui kaedah itu cukup teruja dan seronok meneroka ilmu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman dipilih sebagai sekolah perintis sebelumprojek itu diperluaskan ke beberapa sekolah lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kelas maya yang menggunakan kaedah belajar secara interaktif dan peperiksaan talian (online) bukan saja menarik minat pelajar untuk menimba ilmu malah mampu mendisplinkan mereka ketika belajar dan lebih bersemangat untuk ke sekolah.

Katanya, pendekatan ini secara tidak langsung menolak andaian dan tomahan segelintir pihak yang menyatakan penggunaan e-Book tiada faedah dan manfaat.

“Kerajaan negeri berusaha mewujudkan kelas maya sebagai nilai tambah kepada e-Book di mana sebelum ini agak terhad penggunaannya iaitu guru perlu melihat hasil kerja setiap pelajar dan tidak boleh menjalankan peperiksaan secara talian.



“Apabila wujudnya kelas maya ini, hasil kerja termasuk jawapan dan markah boleh dilihat pada skrin sesentuh di hadapan kelas selain pelajar tidak boleh membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan perkembangan kelas maya di SK Paya Bunga, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, Ketua Pegawai Eksekutif, Top IT Sdn Bhd, Encik Mohd Isa Nik dan beberapa pegawai kanan kerajaan.



Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kerajaaan memperuntukkan antara RM25,000 hingga RM30,000 bagi setiap kelas maya dan bakal membelanjakan jutaan ringgit lagi untuk memperluaskannya di beberapa buah sekolah seterusnya.

“Berdasarkan pemantauan, sikap pelajar yang lebih bersemangat meneroka ilmu dan berlumba-lumba ingin menjawab soalan ketika menggunakan kaedah ini, nyata menjadi pembakar semangat guru dan pihak JPNT untuk memperluaskan program seumpama ini,” katanya.

TEGANUKITA