Halaman

10 February 2011

Sistem Pendaftaran Satu Hari

Oleh : AIDA ABD RAHMAN / Esah Abdullah / Gambar Oleh: Zulkipli Putra


Pejabat Tanah dan Galian memulakan Sistem Pendaftaran Satu Hari sejak dua tahun lalu.

Prestasi kutipan hasil cukai tanah terus mendapat sentuhan agresif oleh seluruh pentadbiran tanah bagi memastikann kutipan cukai semasa dan tunggakan dapat ditingkatkan lagi dari tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun lalu, kutipan cukai tanah mencapai 87.4 peratus berbanding tahun sebelumnya 85.1 peratus dan perkembangan ini amat memberangsangkan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Katanya, kejayaan ini disokong setelah pentadbiran tanah mewujudkan Sistem Pendaftaran Satu Hari (SPSH) di mana semua pejabat tanah dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) memulakan usaha tersebut sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini katanya, urusan tanah seperti pindahmilik, gadaian, kaveat, tarekah dan lain-lain didaftarkan dalam tempoh lima hingga lapan hari tetapi ianya terus menampakkan peningkatan setelah perasmian kaunter pendaftaran satu hari di PTG setahun kemudian.

“Akhirnya, semua urusan berkaitan pendaftaran berjaya dilakukan dalam masa satu hari, kecuali permohonan yang mempunyai masalah diluar kawalan,” katanya.



Apa yang menariknya kata Dato’ Seri Ahmad, urusan pindahmilik dalam masa singkat ini telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri sebagai Produk Satu Malaysia.

“Untuk itu saya amat berbesar hati bila negeri kita bukan sahaja berjaya mendaftar urusan pindahmilik dalam masa sehari malahan pelbagai lagi urusniaga lain,” katanya.

Menteri Besar seterusnya mengucapkan syabas kepada pentadbir tanah dan PTG yang telah menggunakan sistem secara talian terus ini bagi mempercepatkan proses urusan tanah di negeri ini.

TEGANUKITA