Halaman

08 February 2011

Pendidik Diingatkan Usah Jadi Anai-Anai

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada seorang murid Tahun 5 dalam kawasan DUN Manir sambil ditemani ayahnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengingatkan para pendidik ini supaya tidak menjadi anai-anai dengan cara meracuni pemikiran anak bangsa sendiri serta menidakkan sumbangan kerajaan terhadap perkembangan pendidikan di negeri ini.

“Gaji mereka kerajaan bayar, kemudahan perubatan keluarga mereka kerajaan tanggung, segala prasarana dan insfrastruktur kerajaan sediakan, mereka sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada tangan yang memberi,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata demikian di Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun 5, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, di Dewan Komuniti Kampung Pulau Bahagia, Manir, hari ini.



Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Mohd Nor Othman; Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Datuk Fatimah Hamad dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

Menteri Besar menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan hak setiap rakyat di negeri ini, contohnya kawasan DUN Manir ini yang sudah 20 tahun di kuasai parti pembangkang tapi kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak putus-putus datang menghulurkan sumbangan.

Dalam majlis hari ini, 394 murid Tahun Lima dari enam sekolah dalam DUN Manir menerima e-Book yang disampaikan Menteri Besar, antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam (85 orang), SK Pulau Manis (28 orang), SK Durian Mas (55 orang), SK Pulau Bahagia (80 orang), SK Manir (99 orang) dan SK Teluk Menara (47 orang).



Sehubungan itu Dato’ Seri Ahmad turut menyerahkan sijil penghargaan kepada Dr. Rashdan Ismail, Pakar Bedah ENT, Jabatan ENT, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang telah menyediakan perkhidmatan perubatan percuma dua kali sebulan kepada penduduk dalam Dun Manir.


TEGANUKITA