Halaman

07 February 2011

Gembira terima e-Book

Oleh: Suriati Ali



“Kami sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk menggunakan e-Book yang diterima daripada Menteri Besar dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan di atas pemberian ini yang sudah lama diimpikan kami berdua.

“Saya tahu e-Book ini mahal harganya, disebabkan faktor itu kami tidak memaksa ayah yang bekerja sebagai buruh membelinya walaupun keinginan untuk memiliki terlalu mendalam, kata Nor Samimi Aziz, yang juga pasangan kembar kepada Nor Samirah,11.




Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai itu berkata demikian selepas Majlis Penyerahan e-Book Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat yang disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Sekolah Kampung Baharu Serada, Marang, semalam (6 Februari).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali Daud dan beberapa pegawai kanan kerajaan.



Kira-kira 772 pelajar daripada lapan sekolah iaitu SK Padang Midin seramai 186 pelajar, SK Gelugor (129), SK Kepong (107), SK Simpang Rawai (119), SK Tasek (93), SK Banggol Kantong (54), SK Kampung Baharu Serada (52) dan SK Serada (33) menerima pemberian e-Book secara percuma.

Bapa pelajar yang juga kakitangan Syarikat Air Terengganu (Satu), Nik Idris Nik Mat, 49, berkata dia akan menyahut saranan Dato’ Seri Ahmad yang menyatakan supaya menjaga e-book sebaik mungkin setanding barang berharga lain.



“Sebelum anak Nik Nurul Fakihah, 11, menjejak kaki ke sekolah, dia juga akan mempastikan kemudahan itu akan dicas terlebih dahulu bagi memastikan pelajarannya tidak terganggu,” katanya.

Menurutnya, dia turut tersentuh melihat gelagat anaknya yang terlalu gembira untuk menerima e-Book. Pemberian ini bagaikan satu bonus kepada Nurul Fakihah yang sudah lama meminati bidang teknologi maklumat.



Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari SK Serada, Abdullah Haji Roslin, 11, berkata, dengan adanya kemudahan e-Book, dia tidak perlu lagi meminta rakan membawa beg yang berat.

“Walaupun keadaan fikizalnya tidak seperti rakan normal, dia yakin mampu meneroka ilmu melalui kemudahan canggih ini,” katanya


TEGANUKITA