Halaman

11 February 2011

RM50 Juta Untuk Projek Agropolitan di Setiu

Terkini: Laporan Suriati Ali dari Paloh Inai, Pekan Pahang / Gambar Oleh: Zulkipli Putra / Logistik: Hazli / Jurukamera: Abd Rahim Daud.



Kerajaan negeri melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan mengusahakan ternakan kambing boer dengan peruntukan RM50 juta di Pancor Bederu, Setiu.

Projek agropolitan berimpak tinggi itu dijangka mampu mengubah ekonomi kira-kira 100 peserta golongan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan itu apabila dimajukan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Haji Ashaari Idris, berkata ternakan kambing ini dijangka mampu mengeluarkan golongan PPRT daripada kelompok kemiskinan kerana memperoleh pendapatan antara RM800 hingga RM1000 setiap peserta.



Katanya, projek yang bakal dilengkapi kandang kambing dan rumah perserta kini dalam proses membina tapak dan dijangka dapat memberi manfaat kepada peserta awal tahun depan.

“Konsep yang bakal dijalankan cukup unik di mana setiap peserta yang dipilih mengikut program ini bakal diberi rumah.

“Sekiranya mereka berjaya mengikut syarat dikehendaki kerajaan negeri iaitu berdisplin dan menjaga kambing dengan sempurna, rumah itu akan menjadi hak milik,” katanya ketika pemberita Teganukita selepas mengadakan Lawatan Kerja di Agropolitan Pekan, Pahang, hari ini (11 Februari).



Hadir sama, Pengarah Unit Pembagunan Ekonomi Negeri Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim, Pegawai Daerah Setiu, Encik Ishamudin Hashim dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Objektif utama projek ini adalah untuk menyeimbangkan antara pembangunan desa dan Bandar, meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

TEGANUKITA