Halaman

08 February 2011

e-Book mampu bantu pelajar kuasai ICT

Oleh: Suriati Ali


Pengarah JPNT, Encik Razali bin Daud

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) kesal dengan sikap segelintir individu yang memperlekehkan penggunaan e-Book yang nyata mampu membantu pelajar menguasai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada awal usia.

Mereka tidak wajar membuat tomahan melulu sebaliknya perlu menyokong usaha kerajaan negeri yang ingin melihat anak kelahiran Terengganu terus cemerlang dalam pendidikan di samping membantu meringankan beban membawa beg berat.

Pengarah JPNT, Encik Razali Daud, berkata beliau tidak faham dengan sikap golongan yang gemar mengkritik, apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul, sedangkan mereka mengetahui setiap perancangan dan kemudahan yang disediakan, untuk kepentingan bersama terutama generasi akan datang.

“Pihaknya mengakui, ada mendengar cakap-cakap negatif dan memperlekehkan penggunaan e-Book. Mereka tidak wajar bertindak demikian sedangkan pelajar yang menerima e-Book sudah menerima banyak manfaat selain mampu menguasai ICT setanding orang dewasa,” katanya.

Menurutnya, lebih 46,000 pelajar sudah menerima e-Book secara percuma tahun lalu dan kira-kira 44,000 pelajar Tahun Empat dan Tahun Lima akan menerima kemudahan itu secara berperingkat mengikut Dewan Undangan Negeri pada tahun ini.

“Saya yakin peralatan canggih ini sememangnya menjadi impian semua pelajar, tetapi disebabkan beberapa faktor termasuk kekangan kewangan daripada ibu bapa, mereka terpaksa melupakan untuk memilikinya.

“Apabila kerajaan negeri mengumumkan akan mengagihkan e-Book bernilai antara RM1,200 sehingga RM1,300 seunit secara percuma, ia bagaikan satu berita paling mengembirakan dan bonus bagi setiap anak,” katanya.

Encik Razali berkata, dengan adanya e-Book secara tidak langsung, mereka lebih bersemangat belajar dan meneroka ilmu terutama berkaitan ICT.

“Oleh itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka perlu berterima kasih dengan apa yang dilaksanakan kerajaan negeri dan bukan bertindak mengkritik atau melontar tohmahan,” katanya.

TEGANUKITA