Halaman

09 February 2011

KEPULANGAN YANG DINANTIKAN…..

Oleh: Ruslan Rahman, Gambar: Zulputra

Misi Membawa Pulang Pelajar dari Mesir: Dalam suasana yang berbaur antara suka dan duka, sedih dan gembira; kepulangan pelajar-pelajar Terengganu disambut di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu jam 10.00 malam ini (8 Februari 2011).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’Puan Seri Norliza Mahmud menyambut pelajar-pelajar berkenaan bersama-sama dengan ibubapa dan keluarga pelajar yang menunggu dengan hati yang teruja setelah sekian lama menanggung perasaan bimbang akan keselamatan anak-anak mereka di Mesir yang bergolak.

Sesungguhnya kediaman rasmi Menteri Besar malam ini (8 Februari 2011) meyaksikan kepulangan kira-kira 30 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dari Mesir itu. Sebelumnya sebelah siang tadi mereka tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan kemudian bertolak balik dengan bas ke Terengganu.

Dato’ Seri Ahmad yang sedang mempengerusikan suatu mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan menangguh seketika mesyuarat untuk menyambut ketibaan pelajar berkenaan.

Hampir satu jam setengah Dato’ Seri Ahmad meraikan para pelajar, termasuk ibubapa serta keluarga pelajar berkenaan. pihak kediaman Menteri Besar menyediakan makan malam khas untuk tetamu yang baru dari Mesir itu.

Hadir sama Setiasauaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri (APMT), Roshali Taha, Pengarah Unit Komunikasi, Haji Shamsuddin Sulong, pegawai-pegawai Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Terengganu.

Pihak media tempatan turut sama bertungkus lumus untuk merakam dan melaporkan kepada massa tentang kepulangan yang dinantikan ini.

Terharu sekali melihat ibubapa dan anak-anak mereka yang pulang saling berpelukan dalam situasi yang sukar untuk digambarkan kegembiraan hati mereka dan ada yang menitiskan antara mata kerana sekian lama dalam kebimbangan dan kerinduan, akhirnya dipertemukan.

Alhamdulillah, semuanya selamat!


TEGANUKITA