Program ‘Terengganu City Night Game’ (TCNG) akan diperluaskan ke seluruh daerah bagi membolehkan penyertaan lebih ramai golongan muda di negeri ini dalam aktiviti yang menyihatkan dan bermanfaat.
TCNG sebelum ini berpusat di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, dikembangkan ke seluruh daerah sebagai langkah memandangkan penyertaan dan kehadiran penonton dari seluruh daerah bagi setiap siri aktiviti yang diadakan sejak dua tahun lalu itu amat menggalakkan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin, berkata sukan berbasikal merupakan aktiviti yang bakal diberi tumpuan pada tahun ini memandangkan ia sukan paling menonjol sejak akhir-akhir ini.
“Program TCNG ang pertama tahun ini bakal bermula pada 17 hingga 19 Februari depan, di mana kita berharap semua pihak sama ada komuniti setempat ataupun penggemar sukan, tidak melepaskan peluang untuk turut serta.
“Beberapa kategori sukan juga menanti penyertaan semua pihak antaranya sukan berprestasi tinggi, sukan lasak, sukan massa dan acara berbentuk hiburan yang bakal menguji ketahanan mental serta fizikal kesemua peserta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Atlet Berbasikal Terengganu Cycling Team (TSG) di perkarangan Gerbang Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (9 Februari).
Encik Zainal berkata, purata penyertaan ialah seramai 1,800 bagi setiap siri TNCG dan jumlah keseluruhan dianggarkan seramai 15,000 penonton bakal memenuhi tapak aktiviti setiap hujung minggu berkenaan.
Sementara itu, TSG yang diwakili enam pelumba termasuk seorang dari Jepun bakal berentap dalam Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Mumbai di India yang dijadualkan 11 hingga 13 Februari ini.
Peserta yang bakal menyahut cabaran itu adalah Yusrizal Usoff, Mohd Sobri Abdullah, Mohd Faiz Sharifuddin, Mohd Nor Amirul Fakaruddin Marzuki, Nor Umardi Rosdi dan Motoi Nara dari Jepun.
Pemilihan mereka dibuat berdasarkan keupayaan serta kekuatan untuk bersaing dalam perlumbaan landai berkenaan.
TEGANUKITA