Halaman

12 February 2011

EPIC Lulus RM100,000 Baik Pulih Surau SMK Geliga

Oleh : SURIATI BINTI ALI / Gambar Oleh Zul Putra


Pelajar cemerlang gembira selepas meperolehi anugerah yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu.

“Anugerah yang diterima ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus berjaya dan mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

“Nasihat Menteri Besar supaya belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu keluarga dan berjaya dalam hidup, saya akan ikut dengan berusaha sebaik mungkin,” kata Nurul, pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PMR) 2010.



Nurul Syuhadah berkata demikian kepada wartawan Unit Komunikasi Negeri selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga di Kemaman, pagi ini (11 Februari).

Enam pelajar yang mendapat 8A dalam PMR 2010, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dalam majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pelajar, Nik Nur Alya Shafiqa Nik Mohd Syukri, 16, yang sudah kematian bapa berkata, dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan berjanji akan mengubah nasib keluarganya.

“Tiada petua istimewa atas kejayaan ini, apa yang penting memberi tumpuan ketika guru mengajar dan perlu rajin membuat nota ringkas,’ katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.



Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata kerajaan negeri melalui Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) meluluskan RM100 ribu bagi membaik pulih surau SMK Geliga yang sudah tiga tahun terbengkalai pembinaannya.

“Dengan peruntukan yang disediakan ini, saya berharap dapat mengadakan pelbagai program ilmu untuk pelajar,” katanya.

TEGANUKITA