Dato' Seri Ahmad Said meluang masa melawat Ku Nor Faizzatul yang terlantar sakit di Kampung Pulau Manis.
“Saya sangat terharu kerana Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sudi meluang masa melawat anak, Ku Nor Faizzatul Che Ku Mustafa, 8, yang mengalami kekejangan otot akibat kemalangan jalan raya hampir lapan bulan lalu.
“Luahan Dato’ Seri Haji Ahmad yang sudi membiayai rawatan Faizzatul dengan doktor pakar di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur mampu melegakan sedikit perasaan sedih dan risau yang ditanggung selama ini,” kata bapa pesakit, Che Ku Mustafa Che Ku Muda .
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Teganukita, selepas menerima kunjungan Menteri Besar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah di rumahnya di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu, semalam, (6 Februari).
Akibat kejadian yang berlaku pada 15 Julai tahun lalu di Jalan Semambu, Kuantan, Pahang, Ibu pesakit, Mimi Noraini Ab Rani, meninggal dunia manakala empat beradik lain termasuk seorang rakan Faizzatul turut cedera dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan hampir beberapa minggu.
Manakala Faizzatul pula terpaksa mendapatkan rawatan selama 137 hari termasuk 45 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), di hospital sama.
Ketika itu, Allahyarham Mimi Noraini ingin menghantar anak-anaknya dan seorang lagi penumpang ke sebuah sekolah di Kuantan sebelum ditimpa kemalangan pada jam 7.30 pagi pada hari kejadian.
Menurut Che Ku Mustapa, pelbagai kaedah dan rawatan telah diusahakan tetapi keadaan Faizzatul tidak menunjukkan kesan positif sebaliknya hanya mampu mengelip sejak ditimpa kemalangan.
“Saya reda dengan ketentuan Allah S.W.T walaupun terpaksa membelanjakan antara RM700 hingga RM800 sebulan bagi membeli lampin pakai buang dan susu khas Faizzatul,” katanya yang bertugas sebagai Juruukur, di Jabatan Ukur dan Pemetaan Daerah Terengganu Selatan, Kemaman.
Katanya, walaupun terpaksa mengorbankan wang ringgit dan masa kerana berulang alik dari Kemaman dan Terengganu setiap minggu, dia seboleh-bolehnya memberi yang terbaik kepada Faizzatul dengan mengharapkannya kembali normal.
“Sewaktu bertugas, segala keperluan anak seperti memberi minum susu melalui tiub dan menukar lampin, dibantu oleh adik, Che Ku Nik Che Ku Muda,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Haji Ahmad berkata, dia prihatin dengan nasib adik Faizzatul yang hanya terlantar sejak kemalangan berlaku dan apa yang lebih penting, mengharapkan keluarga pesakit bersabar dengan ketentuan Allah S.W.T.
Katanya, kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin dengan menghantar pesakit ke Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Segala peruntukan untuk tujuan itu akan dibiayai oleh Tabung Pesakit Kronik.
“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk berbuat demikian secepat mungkin, kerana kes seperti ini serius dan memerlukan rawatan segera,” katanya.
TEGANUKITA