Halaman

07 February 2011

Pencuri Bijih Besi Tidak Akan Terlepas.

Oleh:Kamaruddin Mat Akib & Hazwan Rosli


Kawasan Bukit yang dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya ketika berucap pada majlis penyerahan E-Book kepada murid tahun lima Dun Bukit Besi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi petang ini.



Menteri Besar melahirkan rasa kecewa dengan kejadian tersebut yang dipercayai melibatkan pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan lombong bijih besi tersebut.

"Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan yang tidak bertanggungjawab)," ujar beliau.



Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam.

Dato’ Seri seterusnya berkata integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai tadbir dan penjawat awam.


TEGANUKITA