Para usahawan dalam industri perkahwinan diminta sentiasa menambahbaik kualiti perkhidmatan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mempertingkat dan memperkukuhkan pembangunan ekonomi dalam bidang keusahawanan sebagai pengggerak kepada pembangunan negeri.
“Oleh itu pengusaha industri ini perlu proaktif dan menilai semula daya saing mereka bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan,” kata isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.
Katanya, pengusaha janganlah memikirkan keuntungan jangka pendek semata-mata sebaliknya mengatur strategi pemasaran yang berkesan untuk menjana keuntungan berpanjangan.
“Dengan cara sedemikian, pembangunan dalam industri perkahwinan di negeri ini akan kekal stabil dan mereka akan mendapat kepercayaan pelangan secara berterusan dari dalam dan luar negeri,” katanya ketika merasmikan Festival Pelamin dan Rias Pengantin 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam (10 Februari).
Katanya, usaha Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menganjurkan festival ini merupakan satu strategi terbaik bagi memperkenalkan produk serta perkhidmatan masing-masing.
Selain itu katanya, industri perkahwinan ini berkait rapat dengan pembangunan sumber manusia dan menyumbang kepada pelbagai peringkat termasuk perkhidmatan perunding perkahwinan, catering, rias pengantin, fotografi dan sebagainya.
“Pelbagai bantuan disediakan kerajaan termasuk peluang perniagaan, sokongan pembiayaan, promosi serta khidmat nasihat dan para usahawan harus berusaha untuk memajukan perniagaan masing-masing,” katanya.
Festival yang berlangsung tiga hari itu menerima 78 penyertaaan di mana 18 lot gerai perkahwinan dan rias pengantin manakala selebihnya (54 lot) adalah gerai jualan bunga, pakaian, aksesori, kosmetik yang berkait dengan pakej perkahwinan.
TEGANUKITA