Halaman

13 February 2011

Guru Di Kemaman Jalani Kursus Intensif

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Amirullah Othman


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada pelajar Tahun Lima sekolah dalam DUN Kijal.

Semua guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah seluruh daerah Kemaman diarah menghadiri kursus insentif khas bagi meningkatkan mutu pengajaran mereka.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pencapaian mata pelajaran tersebut bagi murid-murid di daerah itu yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR tahun lalu, didapati daerah Kemaman menduduki tempat tercorot berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.

“Keputusan UPSR bagi daerah Kemaman merosot disebabkan mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan dan Kefahaman,” katanya kepada wartawan Unit Komunikasi ketika ditemui selepas mengagihkan e-Book kepada 780 murid Tahun Lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman, hari ini.

Hadir sama di majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, YB Ir Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Pelajaran, Encik Razali Daud.



Dato’ Seri Ahmad berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pelajaran dan meminta tindakan segera dilakukan bagi meningkatkan keputusan peperiksaan pelajar daerah itu dalam UPSR pada tahun ini.

“JPN meminta semua guru di daerah ini menjalani kursus intensif di mana kursus fasa pertama sudah dilakukan baru-baru ini dan ia akan disususli dengan beberapa fasa lagi selepas ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi mengekalkan kedudukan negeri Terengganu sebagai peneraju dalam keputusan UPSR di mana sebelum ini ia menjadi juara selama 10 tahun berturut-turut.

“Kita mahu Terengganu kekal sebagai juara UPSR pada tahun ini dan pada masa yang sama keputusan untuk pelajar daerah Kemaman turut meningkat dan tidak menjadi daerah tercorot,” tambahnya.

TEGANUKITA

Masyarakat Terengganu `celik ilmu’

Oleh: Suriati Ali


Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah

Masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

Dalam tempoh lima tahun iaitu 2006, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2007 (805,278), 2008 (1,037,934), 2009 (1,155,205) dan 2010 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Menurut Puan Hajah Nor Akmal, sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

“Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah,” katanya.

TEGANUKITA

Anak Terengganu Sandaran Pingat ACC 2011

Oleh: Aida Abd Rahman


Mohd Rizal Tisin

Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011, Korat sudah menghasilkan khabar gembira dengan kejayaan pelumba seperti Mohd. Rizal Tisin yang mengesahkan pingat emas pertama buat kem Malaysia apabila mengungguli acara kegemarannya dengan masa 1:04.953 saat, mengatasi kepantasan jaguh China, Zhang Miao (1:05.949s) manakala tempat ketiga milik peserta Korea Selatan, Han Jaeho (1:07.644s).

Apa yang menarik, Malaysia menyandarkan ramai barisan pelumba di kalangan anak Terengganu termasuk, Fatehah Mustafa, atlet kelahiran Hulu Terengganu yang berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa dengan masa 37.016.

Manakala kemenangan terawal ACC 2011 direkodkan Mohd. Adiq Hussainie Othman, anak Kuala Terengganu yang melakar sejarah apabila muncul pelumba pertama Malaysia yang memenangi pingat gangsa acara perlumbaan mata pada peringkat Asia sejak 31 tahun.

Jaguh trek negara kelahiran Dungun, Azizulhasni Awang pula mengesahkan laluan ke separuh akhir bagi acara pecut lelaki ACC 2011 apabila berjaya engatasi pelumba China, Tang Qi dalam saingan suku akhir, semalam (12 Februari).

Namun, Azizulhasni berdepan laluan sukar untuk melangkah ke akhir apabila berdepan jaguh pecut China, Zhang Miao pada peringkat separuh akhir, hari ini.

Zhang Miao layak ke separuh akhir selepas mengatasi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Edrus Yunos dalam satu aksi suku akhir, semalam.

Walaupun berdepan Zhang Miao pada separuh akhir hari ini, ketua jurulatih negara, John Beasley yakin Azizulhasni mampu mengalahkan jaguh China itu.

Ini kerana, katanya, Azizulhasni berada pada prestasi terbaik dengan mencatat kepantasan yang konsisten sejak pusingan kelayakan lagi.

"Saya yakin Azizulhasni boleh mengalahkan Zhang Miao esok. Prestasi Azizulhasni lebih baik berbanding mana-mana pencabarnya di sini.

"Trek di sini tiada masalah angin yang memberikan kelebihan kepada Azizulhasni untuk melakukan pecutan terbaiknya dan saya yakin dia mampu layak ke aksi akhir acara pecut di sini," katanya.

Beasley turut melaungkan keyakinan Azizulhasni mampu memenangi pingat emas acara tersebut, tanpa mengira walau siapa pun pencabarnya jika dia layak ke babak akhir.

"Jika berjaya ke final, tiada kira siapa pun lawannya sama ada Kitatsuru Tsubasa atau Zhang Lei sekalipun, saya yakin Azizulhasni mampu mengalahkannya," ujarnya.

Sementara Fatehah menjelaskan, dia gembira dengan kejayaan memenangi pingat pertama pada ACC kali ini. Walaupun sekadar gangsa, ia tetap memberi kepuasan kepadanya setelah pulang tanpa sebarang pingat pada ACC 2010 di Sharjah, UAE.

‘‘Saya amat berpuas hati dengan kejayaan tempat ketiga dalam acara 500m ujian masa ini kerana sebenarnya saya tidak menaruh harapan begitu tinggi untuk memenangi apa-apa pingat dalam acara ini.

‘‘Pingat ini sekurang-kurangnya mengubat kehampaan kerana saya sudah lama tidak mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan antarabangsa,” katanya.

Acara tersebut diungguli pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze (35.414s) dan perak milik Shuang Guo dari China dengan catatan masa 36.016s.

Pesakit dan Penjaga Diberi Bantuan

Oleh: Esah Abdullah


Encik Zuhami Omar

Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan hak dan keperluan rakyat terutama yang dikategorikan pesakit terlantar serta mengambilkira semua aspek terutama penjaga yang menguruskan pesakit berkenaan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Encik Zuhami Omar berkata, setiap keluarga yang dikategorikan bermasalah dari segi kesihatan dan kemiskinan akan dibantu sama ada diberi bantuan bulanan dan sebagainya.

Katanya, penjaga menerima RM300 sebulan begitu juga pesakit kronik yang memerlukan rawatan, JKM akan membuat pemantauan dari pelbagai sudut termasuk kesihatan yang akan dirujuk kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

“Penjaga pesakit, pelajar miskin, warga emas, ibu tunggal juga tidak terlepas daripada perhatian JKM untuk menerima bantuan dalam jumlah yang berbeza mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kes terbaru, keluarga Taim yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi meringankan beban yang ditanggung sejak beberapa tahun lalu.

“Dua anaknya yang bersekolah menerima bantuan bulanan dari Jabatan Pelajaran RM150 seorang manakala Mohd Fairul Razzi menerima RM300 sebulan dari JKM dan penjaga iaitu isteri Taim, Ummi Kalsum turut menerima RM300 sebulan,”katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan akan menilai keperluan lain jika diperlukan.

Pada masa sama Encik Zuhami melahirkan rasa kesal, kerana terdapat segelintir penerima bantuan di negeri ini kerap menyembunyikan fakta sebenar serta menuduh kerajaan tidak ambil cakna kebajikan rakyat.

Katanya, JKM sentiasa mengalu-alukan setiap anggota masyarakat tampil membuat melaporkan kepada pihak JKM jika terdapat jiran atau ahli keluarga yang memerlukan bantuan sara hidup kerana mengidap sakit kronik.

TEGANUKITA

Terengganu Suka, T-Team Duka

Oleh: Aida Abd Rahman




Aksi cemerlang pasukan Terengganu yang bertandang ke Stadium Kangar Perlis, semalam berjaya membuahkan hasil apabila mengutip tiga mata penuh menerusi kemenangan 3-1 sekaligus meranapkan impian tuan rumah untuk memungut mata pertama.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim memuji aksi anak didiknya kerana mampu mencabar pasukan tuan rumah serta tidak menghampakan harapan peminat.

Irfan Bakti berkata, kemenangan itu hasil gandingan mantap barisan serangan, tengah dan pertahanan sehingga tuan rumah terpaksa berputih mata di depan penyokong setia Singa Utara yang mengharapkan mata pertama musim ini.

Bekas jurulatih Perlis itu mengakui, kehadiran semula Abdul Manaf Mamat di barisan serangan untuk bergandingan dengan Abdul Hadi Yahya, terbukti berkesan sehingga barisan pertahanan Perlis sering kucar-kacir lantas memudahkan tugas menjaringkan gol.

Dua gol dalam separuh masa pertama menerusi Hadi dan selang dua minit kemudian Ashaari Shamsuddin menyebabkan pemain tuan rumah hilang semangat dan terpaksa akur dengan kekuatan Terengganu,” katanya.

Irfan Bakti berkata, Terengganu seharusnya mampu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol lagi menerusi percubaan Ashaari dan ketua pasukan, Marzuki Yusof tetapi kecekapan penjaga gawang Perlis menafikan pesta gol di Kangar.

Terengganu kini mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan dua kali seri dan berada di kedudukan kelima Liga Super.

“Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat kepada kami untuk bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, Selasa ini,” katanya.

Sementara T-Team terpaksa berputih mata lagi, apabila kunjungan ke Stadium Kelana Jaya, untuk menentang pasukan Harimau Muda A berkesedahan dengan kekalahan 3-1.

Harimau Muda A meneruskan rentak kemenangan bergaya pada penampilan musim pertama kancah Liga Super kali ini apabila menjadikan pasukan dari Terengganu mangsa kedua mereka untuk mengutip tiga mata berharga.


Kelas maya di setiap DUN

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri akan terus memperluaskan konsep kelas maya, sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula tahun depan. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri akan terus memperluaskan konsep kelas maya, sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said,
berkata berdasarkan perkembangan positif yang sudah diperkasakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu, di mana pelajar sekolah itu semangat dan seronok meneroka ilmu, sewajarnya berbuat demikian secara peringkat.

“Selain SK Paya Bunga, dua buah sekolah lagi iaitu SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman bakal menggunakan konsep sama dalam masa terdekat apabila siap proses pemasangan talian internet dan beberapa kelengkapan lain.

“Saya mengakui setiap pelajar sememangnya meminati bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), faktor ini menjadi pendorong kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk memperkenalkan e-Book dan kelas maya,” katanya.

Sejumlah RM30,000 diperuntukkan bagi setiap kelas maya, sekiranya konsep seumpama itu diperluaskan satu sekolah di setiap DUN, hampir RM1 juta bakal dibelanjakan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri sanggup membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun semata-mata ingin melihat kejayaan pelajar dan seterusnya memiliki kerjaya yang diimpikan.

“Pendidikan merupakan perkara paling penting dalam setiap kehidupan setiap insan, melaluinya kita mampu memiliki kerjaya yang diimpikan dan seterusnya merasai kenikmatan dan keselesaan hidup.

“Oleh itu, kerajaan negeri berusaha mengubah minda masyarakat terutama golongan ibu bapa yang masih di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) supaya mementingkan soal pendidikan anak-anak,” katanya.

Menurut, pendekatan ini mampu mengeluarkan mereka daripada kelompok PPRT dan secara tidak langsung graf atau data kemiskinan akan berkurangan secara berperingkat.

TEGANUKITA

MBKT Bakal Miliki Bangunan Sendiri

Oleh: Aida Abd Rahman



Usaha mempertingkatkan kecemerlangan pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dapat diterjemahkan sepenuhnya tidak lama lagi apabila Pihak Berkuasa Tempatan itu bakal membina bangunan sendiri setinggi 23 tingkat bernilai RM80 juta, di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, akhir tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata bangunan yang akan dibina di kawasan seluas dua hektar sebagai mercu tanda bandar Kuala Terengganu dijangka siap dua tahun lagi.

“Apabila siap kelak, semua unit MBKT yang sesetengahnya pada masa ini menyewa di bangunan lain, akan ditempatkan di bawah satu bumbung,” katanya selepas menghadiri majlis hari bertemu pelanggan bersama pemimpin masyarakat Tiong Hua, semalam (12 Februari).

Selain itu, Dato’ Adzlan berkata, pada tahun ini MBKT menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM60 juta dan berharap sasaran itu akan tercapai berikutan MBKT akan mengekalkan taksiran cukai pintu dan taksiran cukai harga tanah yang semakin meningkat di bandar ini.

Pada masa yang sama, sebuah perhentian bas juga akan dibina di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu memandangkan perhentian bas MBKT di Jalan Jail sudah tidak sesuai dan tempat itu akan dijadikan medan letak kereta.

Taim Terharu Dapat Perhatian Kerajaan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Keluarga Taim Abdul, yang tinggal menyewa di Lorong 9, Jalan Bandar Baru, Pulau Kambing, Kuala Terengganu beterimakasih kepada Kerajaan Negeri kerana begitu cakna kebajikan rakyat. - Gambar oleh ZUL PUTRA.

Alhamdulillah, saya amat berterima kasih dengan jaminan kerajaan untuk mendapat sebuah rumah untuk saya berteduh anak beranak.

“Saya amat terharu di atas perhatian kerajaan dan berharap dapat duduk di rumah sendiri,” kata Taim Abdul, 65 bapa kepada lima anak, yang tinggal menyewa di Lorong 9, Jalan Bandar Baru, Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

Katanya, tidak ada kata-kata yang mampu diucapkan, sebaliknya berdoa moga Allah melimpahi rahmat dan hidayahNya kepada kerajaan negeri yang begitu mengambil berat terhadap kesusahan orang sepertinya.

Berita gembira itu diterima dari isteri pemimpin nombor satu negeri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga berkenaan petang semalam.

To’ Puan Seri Norliza nyata tersentuh dengan kesempitan hidup yang dilalui Encik Taim sekeluarga yang tinggal berhimpit dalam rumah disewanya sebanyak RM170.00 sebulan.

Walau pun negeri asalnya Melaka manakala isterinya Ummi Kalsum Ghazali, 36, Perak mula berhijrah ke negeri ini sejak 1991 malah kelima-lima anaknya lahir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),

“Saya adalah pengundi di pusat mengundi Pulau Kambing dan sudah dua kali saya jalankan tanggung jawab sebagai pemilih di sini,” katanya yang bekerja sebagai tukang cat dengan pendapatan tidak menentu.

Anak sulong mereka , Nor Atikah, 16 diserahkan kepada keluarga angkat, manakala empat anak bersamanya ialah Radziah, 12, tergolong kategori Orang Kurang Upaya (OKU), tidak boleh bercakap (bisu) serta tidak boleh berjalan akibat serangan demam panas ketika kecil, kini menuntut di Sekolah Keabangsaan (SK) Khas, Padang Hiliran.

Fatin Nabila 10, (normal) Mohd Fairul Razzi, dua tahun lapan bulan cacat (kepala besar) juga mengidap usus bocor dan hanya minum susu khas dan yang bongsu Alia Aliana, lapan bulan.

Namun begitu, Mohd Fairul Razzi menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

“Saya amat terharu kerana isteri saya juga akan menerima bantuan sama seperti anak saya iaitu RM300 sebulan dan bersyukur sangat sekurang-kurangnya dapat menampung belanja dapur,” katanya yang setiap hari berulang alik hantar dan ambil dua anaknya (Radziah dan Fatin Nabila) di SK Padang Hiliran dengan menaiki basikal.

TEGANUKITA

Dewan Serbaguna Tiong Hua Siap Dibina

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Dewan Serbaguna bagi masyarakat Tiong Hua di Kampung Mak Dayang, Chukai Kemaman sudah siap dan boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan, termasuk riadah dan upacara perkahwinan, dalam tempoh terdekat ini.

Dewan Serbaguna bagi masyarakat Tiong Hua daerah Kemaman yang dibina di Kampung Mak Dayang, sudah siap dan boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan, termasuk riadah dan upacara perkahwinan, dalam tempoh terdekat ini.

Dewan berharga RM4.5 juta itu turut menyediakan kelengkapan gelanggang badminton, futsal dan sepak takraw. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat perkahwinan masyarakat tersebut serta pelbagai acara kemasyarkatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pegawai kanan kerajaan mengadakan lawatan ke dewan berkenaan hari ini.



Dato’ Seri Liow berkata, langkah kerajaan negeri menyediakan kemudahan tersebut membuktikan betapa Kerajaan Terengganu begitu cakna kepada keperluan masyarakat Tiong Hua.

Beliau berkata, masyarakat Tiong Hua perlu memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Ahmad dan mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.



“Saya amat tersentuh apabila melihat kemesraan Menteri Besar dan Dato’ Ahmad Shabery dengan penduduk tempatan semasa kami sama-sama minum di bandar Kemaman pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, sikap ramah dan rendah diri Dato’ Ahmad Said sukar ditandingi pemimpin lain dan sewajarnya penduduk Tiong Hua memberi sokongan penuh kepada beliau.

TEGANUKITA

12 February 2011

Kerajaan Negeri Prihatin Masalah Kesihatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai ditemani Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek melawat pesakit di Hospital Kemaman.

Kerajaan negeri prihatin terhadap aspek kesihatan dan perbelanjaan yang besar dikeluarkan pada setiap tahun bagi menambah nilai kemudahan kesihatan yang disediakan Kerajaan Pusat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun lalu peruntukan RM7.6 juta dikeluarkan kerajaan negeri bagi membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengeluarkan banyak perbelanjaan bagi membiayai rawatan pesakit kronik agar penduduk negeri ini mendapat rawatan terbaik.

Bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Kemaman pula, katanya, kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan tanah seluas 50 ekar di Bandar Baru Kijal bagi membina sebuah hospital baru.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan hospital baru ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan, hari ini.

Pada masa yang sama, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi pihak pengurusan Hospital Kemaman dengan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktara kemudahan hospital berkenaan.



Beliau berkata, sudah sewajarnya Kemaman mendapat hospital baru kerana ia merupakan daerah kedua terbesar di negeri ini dan kapasiti penduduk yang agak padat.

Tambahan pula, katanya, Kemaman kini pesat membangun dan merupakan penyumbang ekonomi terbesar negara ini di segi hasil petroleum dan gas.

TEGANUKITA