Halaman

17 February 2011

Umno Marang Bersatu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Kehadiran penuh saf kepimpinan Umno Bahagian Marang dan ketua-ketua sayap parti itu serta lebih 1,000 orang dengan sebahagian besarnya bekas pejuang Umno, pada majlis

Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasa Mu DiKenang peringkat Parlimen Marang, petang ini, membuktikan kesungguhan parti itu merebut semula kerusi Parlimen Marang daripada pembangkang.

Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu Parlimen Marang, Anuar Yahya, berkata pihaknya yakin kehadiran luar dugaan pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, akan menyemarakkan usaha untuk membangkitkan semangat petugas parti bagi memenangi semula calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Majlis ini menyaksikan kehadiran pemimpin baru Umno dan bekas pemimpin parti ini di peringkat bahagian. Semua pihak terlibat secara langsung dan hadir di majlis ini, tidak ada kem atau puak-puak tertentu seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak sebelum ini.

“Hilang rasa penat dan lelah petugas yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai persiapan bagi menjayakan majlis ini sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada Teganukita selepas majlis tersebut selamat disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Rasa teruja Anuar dengan kehadiran yang ramai itu terbukti apabila dewan berkenaan tidak mampu menampung kehadiran para hadirin, sehingga mereka terpaksa duduk di kanopi yang dipasang di tepi dewan tersebut.

Antara pemimpin bahagian yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian, Encik Yahya Khatib dan Timbalannya, Haji Alias Abdullah; Naib Ketua Bahagian, Encik Razali Idris, Ketua Pergerakan Pemuda, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin dan Ketua Puteri Bahagian, Marina Endut.

Kehadiran yang luar biasa itu juga menimbulkan semangat kepada Menteri Besar yang berucap agak panjang walaupun beliau menghadiri acara yang sama pada sebelah pagi di peringkat Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jasa veteran amat besar kerana mereka berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, walaupun banyak negara lain di dunia yang mempunyai bilangan umat Islam yang jauh lebih besar berbanding negara ini, mereka gagal memartabatkan Islam sebagai agama rasmi.

Di Indonesia sebagai contoh, katanya, mempunyai kira-kira 200 juta penganut Islam, tetapi Islam bukan agama rasmi republik tersebut.

“Terdapat ramai ulamak yang lebih hebat di Indonesia, tetapi mereka tidak mampu menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara itu,” katanya.

Beliau berkata, itulah kehebatan pejuang Umno dan sewajarnya ia disanjung oleh generasi hari ini.

TEGANUKITA

Umno Sasar KPI 60 Peratus Daftar Pemilih Menjelang PRU 13

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Terengganu menetapkan sasaran Kunci Penunjuk Prestasi (KPI) sebanyak 60 peratus ahlinya di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Sehubungan itu, semua wakil rakyat dan Pegawai Penyelaras DUN di 32 DUN seluruh Terengganu digesa berkerja keras untuk mencari ahli parti itu dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih sekaligus mencapai KPI yang ditetapkan pucuk pimpinan negeri.

Bagaimanapun, DUN Chukai, Sura dan Jertih KPI yang ditetapkan adalah 50 peratus memandangkan tiga DUN berkenaan ramai di kalangan penduduknya di kalangan masyarakat Tiong Hua.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sasaran itu relevan dan mampu dicapai berdasarkan pencapaian semasa dan pengalaman yang pernah dilalui beliau sendiri yang mengetuai DUN Kijal.

“Semasa di Kijal dulu sebelum buat pemutihan 58 peratus (mendaftar pemilih) , selepas pemutihan tinggal 52 peratus dan hanya berbaki lapan peratus lagi untuk mencapai (KPI), yang mana usaha ke arah itu perlu dibuat sepanjang masa.

“Usaha itu boleh dicapai dengan kesungguhan dan gerakan melalui program seperti Seribu Mawar yang dianjurkan Puteri UMNO serta (program) remaja bermotosikal dan pada masa yang sama mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO dan pengundi kita,” katanya pada sidang media selepas program Mesra Veteran Bersama pemimpin, Jasamu Dikenang, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Menteri Besar juga menggesa supaya semakan dijalankan terhadap setiap ahli UMNO termasuk ahli yang aktif berjuang untuk UMNO sama ada keluarga, terutama isteri dan anak-anak mereka sudah mendaftar sebagai pemilih dan jika belum mereka perlu didaftarkan segera.

Katanya, jika ketua keluarga aktif dalam parti tetapi tidak mendaftarkan ahli keluarga sebagai pemilih, ia merugikan parti dan kerajaan, terutama apabila setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau sudah mengarahkan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu supaya mengemaskini semula rekod pendaftar pemilih di setiap DUN untuk peringkat kedua.

Katanya, pada peringkat pertama, hasil yang diperolehi amat baik apabila APMT berjaya mengemaskini keahlian UMNO dan terdapat pertambahan pemilih sehingga 14,000 orang.


TEGANUKITA

Tanpa Veteran, Tiada Pemimpin Hari Ini

Oleh: Aida Abd Rahman

“Tanpa saudara-saudari semua, saya pastinya tidak mungkin berdiri di depan ini,” demikian luah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sebagai merujuk kepada veteran UMNO yang hadir ketika berucap di majlis Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasamu Dikenang, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahya Hashim.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, menyanjungi peranan besar golongan emas yang sanggup berkorban apa sahaja dengan semangat yang kental termasuk berjuang menentang Malayan Union suatu masa dahulu.

Katanya, veteran UMNO merupakan pendukung dan watak utama yang bertindak mempertahankan UMNO dulu, kini dan selamanya serta sebagai pejuang UMNO yang tulen pastinya mereka tidak akan menjadi pengkhianat kepada bangsa dan parti sehingga penghujung perjuangan.

Beliau juga meminta supaya veteran UMNO tidak mudah berasa hati apabila kadangkala usaha dan jasa mereka dipandang sepi oleh pemimpin dan ahli UMNO masa kini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata dalam perjuangan sebagai orang politik, semua pihak haruslah sentiasa tabah dan cekal merentangi apa sahaja masalah termasuk mengelak diri daripada berkecil hati, membawa hati, makan hati serta tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan rasa hati terhadap orang lain, selain harus sentiasa berhati-hati.

Menteri Besar berkata, orang yang baik dan ikhlas berjuang akan mendapat balasan yang baik daripada Allah SWT, bagaimanapun jika sebaliknya berlaku mereka haruslah redha dan tidak menyalahkan takdir selain tetap meneruskan perjuangan.

Beliau juga menyifatkan `tiada dulu, tiada sekarang’ kerana ahli UMNO veteran merupakan golongan pejuang yang bertanggungjawab mewujudkan cawangan UMNO di setiap kampung dan membentuk kekuatan UMNO satu masa dulu.

“Jadi kita mengharapkan generasi UMNO sekarang sama-sama berganding bahu dengan veteran dan tidak boleh melupakan hasil perjuangan mereka selama ini. Kita tidak boleh ketepikan mereka.

“Kita parti yang mengharapkn undi dan setiap orang memiliki kuasa yang besar dalam menentukan menang dan kalah sesuatu parti pada setiap pilihan raya. Jadi, ahli UMNO ini kita perlu dekati, jumpa kembali dan ambil cakna supaya mereka ini lebih bersemangat serta tidak terpinggir dan terkilan,” katanya.

Malah, golongan ini juga memiliki anak dan cucu serta pastinya mereka mahu keluarga untuk meneruskan kesinambungan mendukung perjuangan mereka.

TEGANUKITA

Ukom edar 1,000 VCD wacana ilmu

Oleh: Suriati Ali

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) dengan kerjasama Biro Penerangan Badan Perhubungan UMNO akan mengedarkan kira-kira 1,000 cakera padat video (VCD) Wacana Ilmu secara percuma kepada rakyat Terengganu, mulai awal Mac ini.

VCD berkenaa mampu menangkis segala tohmahan dan dakwaan pihak pembangkang yang gemar menyatakan segala perubahan dan pembangunan dilaksanakan kerajaan membazir dan merugikan wang rakyat.

Ukom mengharapkan usaha yang dilaksanakan ini mencapai hasrat yang sepatutnya dan rakyat tidak lagi berpihak kepada pembangkang yang sememangnya gemar menidakkan apa yang dilakukan kerajaan walaupun menyedari semua itu adalah untuk kebaikan bersama.

Kandungan VCD hampir 1 jam itu menampilkan dua ahli panel berpengalaman iaitu YB Haji Muhammad Ramli Nuh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tepoh.

Manakala seorang lagi ahli panel, Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong yang mempunyai pengalaman luas di bidang politik dan pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.

Antara isi kandungan wacana itu, YB Haji Muhammad Ramli berkata, perjuangan Umno cukup mulia kerana apa yang dilaksanakan kerajaan semata-mata untuk rakyat, bangsa dan negara dan bukannya untuk kepentingan diri.

“Umno tidak pernah mengkhianati apatah lagi menganiaya rakyat, dakwaan yang dilemparkan Pas hanya untuk kepentingan parti mereka sahaja, tiada motif lain.

“Sebagai rakyat yang dianugerahkan Allah akal fikiran yang waras, kita perlu bijak berfikir dan jangan mudah terperdaya cakap-cakap kosong pihak pembangkang,” ujarnya.

Sementara itu, Haji Shamsudin berkata, Pas tetap Pas kerana parti itu tidak boleh menerima sebarang hakikat mengenai kebaikan dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan.

“Apa yang kita kesalkan walaupun mereka sedar, setiap perubahan sama ada berkaitan pendidikan, pembangunan dan infrastuktur yang diusahakan, adalah untuk kepentingan bersama.

“Sebagai contoh, dari dulu lagi mereka tidak boleh menerima hakikat setiap apa yang dilaksanakan. jika kerajaan membina jalan raya, jambatan, sekolah, masjid dan mewujudkan pelbagai program keagamaan sekalipun, mereka tetap akan kritik dan meracuni fikiran rakyat,” katanya.

TEGANUKITA

Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu


Prof. Dr Khairil Ansari

Sempena gagasan Terengganu Negeri Anjung Ilmu, Persatuan Guru Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Terengganu akan menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Pendidikan Melayu pada 14 dan 15 Mac 2011.

Sekitar 300 pendidik dari pensyarah Bahasa Melayu, guru sekolah dan lulusan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Indonesia, Thailand dan Malaysia dijangka akan menyertai seminar ini.

Menurut pengerusi PPBMM, Che Soh Muda, seminar yang bertemakan Pendidikan Bahasa Untuk Membentuk Jatidiri ini diadakan melalui kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Antara tujuan seminar ini adalah untuk menghimpunkan pendidik dari tiga negara serta berkongsi pengalaman bagi menguatkan professionalisme pendidikan bahasa melayu selain membina rangkaian komunikasi serantau.

Beliau berkata, seminar tersebut akan diadakan di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu dengan sesi utama iaitu pembentangan enam kertas kerja oleh pendidik Bahasa yang ternama dari Indonesia, Thailand, China dan Malaysia.

Tokoh tempatan yang akan membentangkan kertas kerja itu ialah Penasihat PPBMM, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu Beijing Foreign Studies University, Prof. Dr Awang Sariyan dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Teo Kok Seong.

Sementara pembicara dari luar negeri adalah pensyarah-pensyarah kanan dari Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung, Prof. Dr H.Sunaryo Kartadinata, Universiti Medan, Sumatra, Prof. Dr Khairil Ansari dan Dr Abdullah Karina dari Songkhla Nakarin University, Thailand.

Che Soh berkata, mereka yang berminat menyertai seminar ini boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi segera Urusetia di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; Puan Mahshuri binti Ismail 014-8082334 atau Encik Nodin Mohadi 013-9801601 atau melayari website Urusetia.

Tarikh tutup penyertaan pada 10 Mac 2011.

TEGANUKITA

Top IT ikat janji dengan Akram

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar menyaksikan MoU antara Top IT Sdn Bhd dengan Akram.

Perjanjian antara Top IT Sdn Bhd dengan Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) membuka satu laluan baru dalam dunia pendidikan negeri yang sedang mara menuju kemuncak Negeri Anjung Ilmu.

Kerjasama dua hala itu dilihat akan meledakkan satu dimensi baru dalam dunia pendidikan negeri di mana Top IT menyediakan sistem teknologi maklumat iaitu komputer riba untuk guru Akram dan e-Book untuk pelajar.

Guru-guru Akram yang terbahagi kepada 12 bidang termasuk Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, ICT dan Perkomputeran, Pendidikan Islam, Kajian Kemasyarakatan, Teknik dan Vokasional, Penyelidikan, e- Pantau dan Korikulum Rendah/Akram Rendah.

Kumpulan guru Akram akan menyediakan 1,000 soalan sebulan mengikut bahagian masing-masing untuk ujian pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negeri.

Majlis menandatangani perjanjian antara Top IT Sdn Bhd dan Akram di saksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara Top IT diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Isa Nik dan Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri manakala Haji Che Abd Rani Mohd menjadi saksi. Akram pula diwakili Pengerusinya Encik Mustaffa Mohd dan Pengarah Pelajaran, Encik Razali Daud sebagai saksi.

TEGANUKITA

Pemimpin Umno Marang ‘masuk kampung’

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Encik Zaidi bertanya khabar kepada warga emas di Marang.

Pemimpin Umno bahagian Marang memulakan program ‘masuk kampung’ bagi meninjau sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk kampung, khususnya di kalangan mereka berpendapatan rendah.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, melawat tujuh warga emas dan mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik, semalam, bagi menyampaikan bantuan.

Dengan diringi kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) DUN Bukit Payong, beliau memulakan kunjungan pertama ke rumah Ngah Said, 65, di Kampung Surau Panjang yang menghidap penyakit lelah dan mengalami masalah kesihatan.


Program masuk kampung menjadi amalan pemimpin UMNO.

Ngah sudah 17 tahun tidak dapat meneruskan pekerjaannya sebagai buruh dan mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan.

Pesakit dijaga isterinya, Lijah Embong, 63, yang sudah tidak larat untuk melakukan kerja berat bagi menyediakan keperluan keluarganya.

Zaidi menghulurkan bantuan makanan seperti beras, milo, susu dan biskut kepada Ngah dan berjanji akan menghulurkan bantuan lain di masa depan.


CAKNA...Zaidi menemui pesakit kronik untuk menghulurkan bantuan yang perlu.

Selepas itu, beliau mengunjungi Abudin Ismail, 75, di rumahnya di Kampung Surau Panjang yang menghidap penyakit ghout, usus dan kencing manis.

Pesakit terlantar sejak lebih lima tahun lalu dan tidak dapat meneruskan kerjanya sebagai peraih ikan.

Zaidi menghulurkan bantuan makanan kepada pesakit sambil meminta mereka sabar menghadapi dugaan.

Beliau berkata, program tersebut akan diteruskan bagi memastikan tidak ada rakyat yang menghadapi kesusahan tercicir daripada menerima bantuan.

“Inilah amalan mulia yang menjadi pegangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional di mana kita memberi sumbangan kepada rakyat tanpa memilih bulu,” ujarnya.

TEGANUKITA

MBDM Anjur Kejohanan Bowling

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Encik Zaidi sampaikan hamper kepada pemenang.

Majlis Belia Daerah Marang (MBDM) menganjurkan kejohanan bowling di Pusat Bowling Astaka, malam tadi, bagi mengeratkan silaturahim di kalangan para belia di daerah tersebut.

Peserta kejohanan tersebut terdiri daripada jawatankuasa Majlis Belia Daerah Marang dan badan gabungan serta pengerusi-pengerusi persatuan belia di seluruh kawasan Parlimen Marang.

Pengerusi Persatuan Belia 4B (M) Kampung Kijing, Sazali Razali, muncul johan manakala naib johan disandang oleh Pengerusi Persatuan Belia MAYC Gelugor Kedai, Omar Mat Ali.


Antara pemenang yang menerima hamper.

Tempat ketiga pula dimenangi Pengerusi Persatuan Belia 4B (M) Kampung Laut Che Johari Abu Bakar.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir di majlis penyampaian hadiah ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Mohd Shamsir Mohamad.


Hebat...belia Marang yang menyertai pertandingan bowling.

Kira-kira 50 orang peserta menyertai kejohanan tersebut yang bakal dijadikan acara tahunan.


TEGANUKITA

16 February 2011

Kerajaan Tunggu Gambaran Terkini Dari Mesir

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Kerajaan Terengganu sedang berurusan dengan kedutaan Malaysia di Mesir untuk mendapat gambaran terkini serta menunggu berita dari Wisma Putera sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kepulangan semula pelajar dari negeri ini ke Mesir.

“Apa-apa pun kita kena tunggu dan selaras dengan Kerajaan Pusat bila dan masa sesuai mereka boleh kembali ke Mesir,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita sebaik selesai Majlis Temu Mesra Menteri Besar Bersama Pelajar Terengganu Yang Menuntut di Mesir, di Dewan Besar Wisma Darul Iman petang ini (16 Februari).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Abdul Aziz Mamat.

Menurut Menteri Besar, setakat ini hampir semua pelajar negeri ini sama ada di bawah tajaan YT, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta orang persaorangan telah selamat pulang i dan penerbangan terakhirnya malam semalam.



“Namun begitu terdapat 13 orang rakyat negeri ini enggan balik dan mengambil keputusan untuk terus tinggal di asrama kerajaan negeri di Mesir,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan mengambil berat dan amat memahami situasi pelajar-pelajar yang sebahagiannya belum sempat ambil peperiksaan dan sedaya upaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Jika keadaan mengizinkan, kerajaan sanggup menerbangkan pensyarah dari Mesir ke negeri ini serta menyediakan tempat sesuai, agar pelajar kita dapat menduduki peperiksaan mereka kerana kalau krisis ini berpanjang akan merugikan pelajar kita,” katanya.



Kerajaan juga turut memberi penghargaan kepada 21 orang Jawatankuasa Khas Perpindahan Pelajar terdiri dari pegawai YT dan pelajar yang terbabit secara terus dalam operasi perpindahan pelajar dari Mesir ke Jeddah, Jeddah ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Terengganu.

Jawatankuasa berkenaan di ketuai Penolong Setiausaha Kerajaan bahagian Agama dan Penerangan negeri Haji Lukema Meri Salleh yang menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM500 setiap seorang dan disampai oleh Menteri Besar.

TEGANUKITA

Agihan pakaian sekolah ditangguh

oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menangguh cadangan untuk mengagihkan pakaian sekolah menengah dan rendah kepada pelajar di negeri ini disebabkan masalah pertindihan nama mereka yang layak menerima bantuan berkenaan.

Proses pengagihan bantuan berkenaan dijangka dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi selepas kira-kira 2,654 nama pelajar yang bertindih dalam permohonan bagi tujuan itu selesai disemak semula.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri tidak menolak terdapat pihak atau penjaga yang ingin mengambil kesempatan terhadap sumbangan yang hanya diperuntukkan untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

Katanya, daripada peruntukan itu, RM100 untuk pelajar sekolah menengah manakala RM100 lagi untuk sekolah rendah.

“Mereka tidak boleh menipu kerana kerajaan negeri boleh mengesan nombor pengenalan setiap pemohon menggunakan sistem khas.

“Selain itu, terdapat juga salah faham antara ibu bapa yang sudah bercerai di mana mereka mengemukakan dua permohonan berlainan. Sebilangan kecil lagi, permohonan dibuat oleh datuk atau penjaga pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (16 Februari).

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu, agihan atau peruntukan ini mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi selepas siap mengemaskini nama dan data yang sepatutnya.

“Pihaknya menerima sebanyak 106,000 permohonan daripada pelajar di seluruh negeri ini. Selepas mengemaskini data, hanya 102,000 pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja yang layak kerana mengikut syarat yang ditetapkan.

“Pelajar yang mempunyai pendapatan keluarga yang kurang RM1,200 sebulan sahaja layak untuk menerima sumbangan ini,” katanya.

TEGANUKITA