Halaman

27 February 2011

Ubah Sikap Untuk Baiki Mutu Perkhidmatan

Oleh: Suriati Ali

Setiap penjawat awam perlu memiliki sikap ingin berubah menjalankan tugas masing-masing, bagi membaiki imej perkhimatan kerajaan yang dikatakan masih berada di takuk lama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, terdapat segelintir masyarakat luar menganggap mutu perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tidak banyak berubah dan masih wujud kesulitan ketika berurusan.

Katanya, pelaksanaan tugas di sektor kerajaan cukup berbeza jika dibandingkan pihak swasta di mana kakitangan agensi itu mempunyai nekad untuk berusaha lebih maju semata-mata ingin mencapai sasaran yang ditetapkan majikan dalam tempoh tertentu.

“Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita perlu membaiki persepsi negatif dengan melaksanakan tugas secara tekun, jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Saya mengakui terdapat perubahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan tetapi tidak banyak dan kurang memuaskan, banyak lagi perlu dibaiki terutama berkaitan khidmat pelanggan,” katanya.

Menurutnya, slogan seperti Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran serta Terengganu Ke Arah Globalisasi yang disuarakan pemimpin sewajarnya dilaksanakan dan tidak guna hanya mendengar atau menghayati sahaja.

“Sekiranya ingin maju dan mengubah imej perkhidmatan kerajaan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan terutama pegawai atasan dan ketua jabatan di setiap unit.

“Mereka perlu sentiasa membuat pemantauan terhadap kakitangan bawahan di samping membaiki kelemahan diri supaya tidak di pandang remeh, jika ketua melakukan kesilapan dan tidak berdisplin, cukup sukar untuk menegur kakitangan lain terutama berkaitan kedatangan harian, tepati masa dan cara berkomunikasi,” katanya.


TEGANUKITA


Perunding Dilantik Periksa Struktur Stadium

Oleh: Aida Abd Rahman


Imbas kembali kerja-kerja membersih stadium yang runtuh.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu akan melantik perunding bagi memeriksa kekuatan struktur bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu.

Kerja peringkat kedua susulan runtuhan bumbung stadium dijangka mengambil masa tiga bulan, sebelum rekabentuk bagi membaik pulih semula bumbung stadium berkenaan disiapkan.

Pengarah JKR Terengganu, Ir Haji Shahawai Awang, berkata hasil siasatan teknikal mengenai Stadium SMZA diserahkan kepada Pengurusan Kompleks Sukan Negeri sejak awal bulan lalu, untuk tindakan lanjut pihak kerajaan negeri.

“JKR kini dalam proses semakan integriti atau menyemak kekuatan struktur bangunan stadium melalui perunding yang bakal dilantik,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap peringkat dan fasa yang dilaksanakan memerlukan masa serta penelitian rapi bagi mendapatkan hasil kajian lengkap serta tidak timbul sebarang kesilapan teknikal.

Ir Haji Shahawai berkata, selepas kedua-dua peringkat selesai, JKR akan melaksanakan peringkat ketiga iaitu pembinaan baru yang bakal dijalankan sejurus tender dikeluarkan kepada kontraktor terpilih.

“Selepas semua peringkat itu selesai dan lengkap mengikut tempohnya, barulah bumbung stadium itu dapat dibina baru dan dijangka siap dan dapat digunakan semula tahun depan ,” katanya.

Struktur sebahagian bumbung stadium yang digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu runtuh pada 2 Jun 2009, kira-kira jam 9 pagi. Runtuhan melibatkan bahagian depan, kiri dan kanan stadium.

Menurut laporan sebelum itu, kegagalan pihak yang dilantik membina SSMZA mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium berkenaan runtuh.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh. Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina.

TEGANUKITA

Zoo Bukit Takal Gamit Pelancong

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman yang menempatkan pelbagai spesies haiwan menjadi tumpuan pelancong. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Bukit Takal yang dulunya diselubungi hutan rimba, makin dikenali ramai, khususnya di kalangan pelancong kerana di situ terdapat Taman Rekreasi dan Mini Zoo yang menempatkan pelbagai spesies haiwan.

Sehingga ini, terdapat lebih 200 ekor haiwan terdiri daripada 74 spesies, ditempatkan di zoo berkenaan.

Bilangan haiwan ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keupayaan pihak pengurusan zoo.



Antara haiwan yang terdapat di mini zoo ini termasuk burung unta serta pelbagai spesies burung lain, rusa, beruang, monyet, ungka, ular, buaya dan ikan naga.

Turut menjadi perhatian pengunjung zoo berkenaan “Chiko”, harimau jantan berusia dua tahun serta pasangannya harimau betina, “Country” yang jauh lebih tua, iaitu tujuh tahun.

Kedua-dua haiwan tersebut yang dibawa dari Zoo Melaka pada bulan Mac lalu, kini sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran zoo berkenaan.

Kawasan Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini yang dulunya merupakan dusun buah-buahan, kini menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, terutama menjelang hujung minggu.

Taman ini mula dibuka pada 11 April 2009, melibatkan kawasan seluas 120 hektar. Sehingga ini hampir 200,000 orang telah mengunjungi mini zoo terbesar di Pantai Timur itu dengan kutipan mencecah RM1 juta.

Mini zoo Bukit Takal yang jaraknya hanya kira-kira 14 kilometer dari bandar Chukai kini mula menjadi tarikan pelancong ke Terengganu, khususnya di kalangan penduduk Pantai Timur.

Orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Pantai Barat untuk melihat haiwan di zoo sama ada di Hulu Kelang mahu pun Ayer Keroh, Melaka.

Taman Rekreasi dan Mni Zoo Bukit Takal berbeza dengan zoo-zoo lain kerana ia lebih menekankan konsep terbuka dan mengekalkan alam semulajadi agar haiwan lebih selesa ditempatkan di sini.

Lebih menarik, taman ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan beriadah untuk seiisi keluarga, taman permainan kanak-kanak, kolam renang dan gelongsong air.

Bukit Takal dipilih kerana ia terletak di kawasan pertengahan antara pusat bandar Kuala Terengganu dan Kuantan. Selain itu, ia juga memudahkan penduduk dari negeri lain seperti Pahang , Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk turut berkunjung bersantai bersama keluarga di situ.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pelbagai kemudahan disediakan seperti surau, tandas, laluan berjalan kaki, kios dan restoran.

Pelawat juga boleh menggunakan trem yang mengangkut penumpang dari pintu masuk utama zoo hingga ke kawasan pertengahan zoo tersebut.



Bayaran masuk ke zoo iaitu RM10 untuk dewasa dan kanak-kanak RM5 amat berpatutan dan tidak membebankan pelawat.

Berdasarkan bilangan pelawat yang semakin bertambah,pastinya zoo ini bakal menjadi satu lagi destinasi pelancongan utama di Terengganu.

TEGANUKITA

Sehari tanpa beg plastik

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Semua pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negeri melalui kempen sehari tanpa beg plastik yang dilaksanakan setiap Sabtu iaitu empat kali sebulan

Orang ramai yang ingin berkunjung ke pasar raya di negeri ini diingatkan supaya membawa beg sendiri bertujuan bagi mengisi barangan yang diibeli kerana mulai Januari lalu semua premis berkenaan tidak lagi menyediakan beg plastik percuma untuk pelanggannya.

Penguatkuasaan ini diselaraskan di semua pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negeri melalui kempen sehari tanpa beg plastik yang dilaksanakan setiap Sabtu iaitu empat kali sebulan.

“ Terdapat 13 pasar raya besar dan premis terpilih telah mengenakan caj antara 10 hingga 20 sen bagi setiap beg plastik pada kempen tanpa beg plastik setiap hari Sabtu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Moktar.



Dr. A. Rahman berkata, hasil daripada caj tersebut disimpan dalam dana khas yang akan digunakan untuk program-program kepenggunaan serta kemasyarakatan yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Sejak awal tahun ini katanya, sejumlah RM3,782.70 hasil jualan plastik berjaya dikumpul dan usaha ini dilihat lebih kepada mendidik orang ramai supaya tidak menggunakan langsung beg plastik.

“Kerajaan amat serius dalam hal berkaitan kesihatan rakyat dan hasil kajian, beg plastik merupakan penyumbang kepada masalah kesihatan dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Katanya, beg plastik dapat mengeluarkan toksik yang boleh menyebabkan masalah kemandulan kepada lelaki , sakit buah pinggang dan kanser.

“Usaha melupuskan bahan tersebut mengambil masa lama iaitu 500 tahun untuk reput, sehubungan itu penggunaannya perlu dikurangkan atau dihapus terus kerana ia menimbulkan banyak kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Selain itu katanya, kajian juga menunjukkan 100,000 hidupan marin mati setiap tahun akibat termakan benda asing yang diperbuat daripada plastik atau pencemaran laut yang berpunca daripada pembuangan plastik.
TEGANUKITA

T-Team Tebus Kecewa, Baham Singa Utara

Oleh: Aida Abd Rahman

Selepas mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan, akhirnya T-Team berjaya menebus kekecewaan itu dengan meraih kejayaan pertama di hadapan penonton sendiri malam tadi.

Pasukan kendalian Yunus Alif itu berjaya menjinakkan pasukan yang berada di tangga tercorot liga, Perlis dengan kemenangan bergaya 3-0 dalam persaingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu.

Gol-gol T-Team dijaringkan oleh Khairul Izwan Khalid seawal minit ketiga dan minit ke-59, manakala Badrul Hisani Abd Rahman meledak jaringan kedua tuan rumah pada minit ketujuh sekaligus membuatkan skuad Singa Utara terpaksa pulang hampa dengan badi kekalahan kelima berturut-turut.

Sementara Terengganu yang turun selaku `pelawat’ menentang Kuala Lumpur, di stadium yang sama kelmarin, turut mencatat kemenangan tipis, 2-1.

Terengganu kini berada di kelompok lima terbaik Liga Super mendapat gol hasil jaringan Abdul Hadi Yahya (minit ke-38) dan Ashaari Shamsuddin pada minit ke-52, sebelum Kuala Lumpur merapatkan jurang pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Yong Kuan Yong (minit 83).

Kemenangan buat kali kedua anak buah, Irfan Bakti selain mencatat dua kali seri dan sekali kalah dalam lima perlawanan kesemuanya menghadiahkan Sang Penyu lapan mata untuk turut berkongsi mata yang sama dengan Harimau Muda A, Selangor dan Felda United.

Pada Selasa (1 Mac) ini, Terengganu akan berdepan dengan Johor FC dengan sepak mula perlawanan pada jam 4.45 petang, di SSINS. Manakala T-Team pula bakal berkunjung ke Stadium Kuala Lumpur, Cheras untuk bertemu Kl Felda United FC, pada jam 8.45 malam.


TEGANUKITA

26 February 2011

River Cruise Rangsang Peningkatan Pelancong

Oleh: Aida Abd Rahman



Program `River Cruise’ atau menyusuri Sungai Terengganu yang disediakan Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, semakin mendapat sambutan menggalakkan dan penyumbang kepada peningkatan pengunjung di pusat pelancongan terkenal itu sepanjang Januari lalu.

Seramai 33, 523 pengunjung TTI direkodkan dengan 28,495 adalah pengunjung Taman Monumen, diikuti Pulau Wan Man 3,298 dan 1,731 penumpang `River Cruise’.

TTI menyediakan bot tradisional payang dan kolek, Sri Wan Man (bot fiber) dengan 32 muatan, selain Sri Paloh, Sri Warisan dan Sri Kristal yang menyediakan 45 muatan dengan kesemuanya merekodkan 32,299 penumpang sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata dengan adanya program menyusuri sungai itu telah memberi impak besar kepada kedatangan dan peningkatan sektor pelancongan negeri.

Katanya, sokongan penduduk setempat, selain tarikan pelancong tempatan serta luar negara amat memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bersedia menambah jumlah bot sedia ada bagi memenuhi permintaan itu.

“Semua yang sudah ada dan akan ditempah sebanyak 14 buah bot termasuk bot tradisional yang dihasilkan daripada kayu cengal oleh masyarakat tempatan atau dikenali sebagai Katamara.

“Bot tradisional yang sudah digunakan dua buah dan dua lagi sudah ditempah. Dua bot tradisional kini diserahkan operasinya kepada Koperasi Bot Penambang Seberang Takir,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dalam pada itu, di TTI lima pakej yang ditawarkan termasuk `River Cruise’ (persiaran),` River Cruise (Dining)’, Pakej Sekolah, `Island Tour’ dan `Family Day Package’.

TEGANUKITA

Jabatan Pertanian belanja RM1.81 juta di bawah PPIK.

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Encik Md Yusof Maidin.

Kerajaan negeri serius untuk melihat golongan petani di negeri ini berjaya dalam menguruskan kawasan pertanian masing-masing lebih-lebih lagi dalam mengendalikan tanaman kelapa yang kini mengalami kekurangan bekalan bahan berkenaan.

“Melalui penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian terhadap beberapa jenis kelapa ternyata kelapa hibrid mampu beri pulangan lumayan kepada petani,” kata Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Encik Md Yusof Maidin.

Katanya, baka baru yang dikenali sebagai kelapa matag ini berbuah lebat antara 15 hingga 25 biji setandan dengan harga sekitar RM2 sebiji.

Mengambil kira kelebihan berkenaan jabatan telah mengagihkan 7,068 benih kelapa matag kepada pekebun kecil kelapa seluruh negeri tahun lalu.

Katanya, petani digalakkan mengantikan pokok kelapa sedia ada yang tidak produktif kepada tanaman kelapa matag yang tebal isinya dan banyak santan.



“Jabatan juga telah memperuntukan RM1.18 juta bagi tujuan penanaman semula dan pemulihan kawasan tanaman menerusi Program Pembangunan Industri Kelapa (PPIK),” katanya.

Katanya, jabatan juga sudah ada kawasan perintis penanaman kelapa matag yang sudah dimulakan beberapa tahun tahun namun penanaman secara ladang masih belum dapat dilaksanakan kerana kesukaran mendapatkan benih.

TEGANUKITA

Kemas penyampai inspirasi kerajaan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Ashaari Idris.

Tugas mendidik generasi kecil diperingkat tadika menjadi sebahagian tanggungjawab anggota di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam membentuk sahsiah dan keperibadian kanak-kanak.

“Tidak terbatas mendidik kanak-kanak tetapi turut membantu menyampaikan inspirasi kerajaan kepada masyarakat di kampung-kampung,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Ashaari Idris ketika meraikan warga Kemas DUN Langkap di Sutra Beach Resort, Rhu Tapai, Setiu.

Katanya, sebagai tonggak kepada kerajaan, anggota Kemas perlu memberi komitmen padu dalam menjalankan tugas masing-masing dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.

“Selaku tonggak kepada kerajaan jangan mudah keliru dengan pelbagai perubahan yang berlaku sama ada dari aspek sosial dan politik sebaliknya sentiasa terbuka menerima sesuatu perkara yang berbangkit,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani Negeri.

Katanya, peranan yang dimainkan warga Kemas penting dalam memastikan kekuatan kerajaan meneruskan kelangsungan pembangunan yang dirancang demi kesejahteraan rakyat.

Haji Ashaari berharap semua pihak dapat mengekalkan perpaduan di semua peringkat bagi mengukuhkan kekuatan dan peranan orang Melayu.

TEGANUKITA

YDP, Pegawai Daerah Digesa Serius Tangani Denggi

Oleh: Aida Abd Rahman


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar.

Yang dipertua majlis tempatan dan pegawai daerah seluruh Terengganu digesa mengambil serius kaedah pengurusan sampah dan kebersihan di kawasan masing-masing bagi mengelak peningkatan kes demam denggi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata peranan dua pemimpin di setiap daerah itu amat penting untuk memastikan wabak denggi tidak terus menular dan mencatat angka yang membimbangkan.

Katanya, dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri pada minggu lalu,Jabatan Kesihatan Negeri turut meminta yang dipertua majlis tempatan serta pegawai daerah menekankan aspek penjagaan alam sekitar dan kebersihan di daerah masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Dr A Rahman, rekod negeri menunjukkan sejak beberapa minggu lalu, catatan kes demam denggi lebih rendah daripada tahun lalu dan berada di bawah median tiga tahun.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita sebagai mengulas laporan akhbar arus perdana hari ini (25 Februari), berhubung Terengganu antara tujuh negeri yang mencatat peningkatan kes demam denggi dalam tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu, menjadikan 420 kes berbanding 391 kes pada minggu sebelumnya.

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Terengganu dan Johor meningkat 12 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kes), Sabah (sembilan), Sarawak (lapan) dan Melaka tujuh kes.

Dr A Rahman juga berharap semua masyarakat mengambil langkah proaktif bagi menangani isu ini lebih awal serta tidak hanya mengharapkan tindakan jabatan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk membersihkan kawasan mereka apabila dikesan terdapat kes demam denggi.

“Kesedaran dan mentaliti individu lebih penting dalam isu menjaga alam sekitar dan kawasan sekeliling terutama sekitar rumah sendiri. Jangan biarkan sampah merata-rata, longkang dan parit tidak diselenggara dengan betul sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan punca kepada pelbagai wabak lain,” katanya.




TEGANUKITA

Hubungan Terengganu dan Melaka akrab

Oleh: Suriati Ali


To' Puan Seri Norliza Mahmud (kiri) dan Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman menjalin hubungan akrab bagi memperkukuhkan ekonomi negeri antara Terengganu dengan Melaka. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Hubungan Terengganu dan Melaka sememangnya cukup akrab dan banyak persamaannya kerana bersama-sama ingin maju dalam sektor pelancongan dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) yang juga Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, berkata paling terkini, Terengganu turut terlibat dalam Projek Mega Melaka Trem (PMMT) di Air Keroh yang dilancarkan Perdana Menteri pada 19 Februari lalu.

Katanya, pekerja trem di Melaka akan dihantar ke Kolej Universiti Tati (Tatiuc) di Telok Kalong, Kemaman untuk di latih dengan kemahiran pemanduan trem. Pada masa sama kolej itu akan menyediakan kepakaran bagi ujian landasan atau `test track’.

“Projek (PMMT) adalah pertama seumpamanya di dunia menggunakan gas asli sebagai tenaga penggerak. Malah teknologinya juga dicipta rakyat tempatan.

“Sebagaimana kita maklum, Melaka telah mendapat pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia, manakala di Terengganu mengekalkan slogan Bandaraya Warisan Pesisir Air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Bersama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat (Bistari) dan Kelab Badminton Seri Murni (KBSM) di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Tetamu istimewa dari Melaka itu termasuk Isteri Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Bistari, Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional dan nyanyian lagu asli Terengganu.

Pada sebelah petang, semalam (25 Februari) rombongan seramai 18 orang itu dibawa melawat beberapa lokasi terkenal di negeri ini, termasuk Taman Tamadun Islam (TTI), menyelusuri Sungai Terengganu dengan menaiki Bot Cruise, Pasar Besar Kedai Payang dan Bazar Warisan.



Pagi ini (26 Februari) turut berlangsung perlawanan persahabatan acara badminton di Stadium Negeri, Kuala Terengganu bagi mengeratkan lagi silaturahim.

To’ Puan Norliza turut memberitahu, Terengganu aktif dalam projek penjagaan alam sekitar terutama di Pulau Redang yang telah diiktiraf sebagai pulau tercantik di dunia.

“Terengganu dan Melaka bersama-sama memberi tumpuan dalam sektor pelancongan, YAB Menteri Besar Terengganu sendiri menyatakan hasrat mencontohi Melaka dalam bidang ini untuk menjadikan sebagai tulang belakang ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah, berkata dia cukup kagum dengan Terengganu, kerana banyak perubahan yang berlaku bukan saja berkaitan infrastruktur, kemudahan awam malah kebersihannya terjaga rapi.

“Berdasarkan perubahan ini, tidak hairanlah pelancongan akan sentiasa meningkat dan ekonomi negeri bertambah kukuh,” katanya.


TEGANUKITA