Dalam situasi politik tanahair masa kini, memperolehi majoriti melebihi 2000 apatah lagi 3000 dalam satu-satu pilihan raya bukanlah sesuatu yang mudah. Ia teramat luar biasa.
Oleh itu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau dengan majorirti 2,724 di Kerdau dan 3,643 di Merlimau adalah kemenangan yang nampak jelas pendirian rakyat memilih BN.
Iadalah suatu petanda BN tetap di hati rakyat dan rakyat menolak Pas secara total. Apatah lagi sebelumnya Pas telah tewas di PRK Galas (Kelantan) dan Tenang (Johor). Kekalahan Pas ini secara bertalu-talu.
Pas sebuah parti yang berjuang atas nama agama Islam, tetapi sejak akhir-akhir ini sudah banyak tersasar jauh dari landasan perjuangannya, terutama apabila terlalu taksub dengan rakan pakatannya DAP dan PKR.
Malah agama Islam hanya dijadikan ‘alat’ untuk mengaut keuntungan politik kepartian mereka, sekalipun memecah belahkan umat Islam.
Macam-macam cara gaya dibuat oleh pemimpin mereka termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat seperti menyifatkan siapa yang tidak menyokong Pas adalah jahiliyah.
Nik Abdul Aziz mencetuskan fatwa itu ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor bahawa pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) adalah golongan jahiliyah kerana mereka menolak Pas.
Bila dikatakan tindakan pemimpin Pas sejak dahulu membuat fatwa sesuka hati dan membawa perpecahan mereka anggap perpecahan itu adalah sesuatu yang lazim sahaja.
"Malah, isu pecah belah di kalangan umat manusia berlaku sejak zaman Nabi Muhammad (S.A.W) dan Nabi Adam (A.S) lagi," katanya Nik Aziz sewajtu menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu, di Kota Bharu, baru-baru ini.
Kita tidak tahulah sampai bila pemimpin Pas akan terus ‘memperalat’ agama untuk kepentingan politik murahan mereka. Bagi mereka apapun yang mereka buat betul dan tidak salah, kecuali kalau pihak lain yang buat, betul pun dianggap salah.
Apakah sesuai sifat degil terus diamalkan oleh pemimpin Pas dan tidak mahu menerima langsung pandangan orang lain untuk selama-lamanya.
Dalam keadaan generasi sekarang yang sudah celik agama dan celik wawasan, tentulah mereka melihat Pas ini semakin tidak rasional dan sebuah parti yang tidak mahu langsung mengendahkan pandangan dan teguran, hatta oleh bijakpandai agama yang ‘bebas’ dari pengaruh mana-mana parti politik sekalipun.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur kenyataan Nik Aziz menghukum pengundi yang tidak menyokong Umno atau BN dalam pilihan raya akan masuk neraka manakala mereka yang mengundi PAS akan masuk syurga, kerana pandangan sedemikian memesongkan akidah umat Islam.
Namun Nik Abdul Aziz dengan angkuhnya berkata beliau akan terus menggunakan pendekatan menjelaskan hukum halal haram dalam memilih pemimpin parti pada pilihan raya walaupun tindakannya itu ditegur oleh alim-ulama negara ini.
"Pendekatan itu kalau dalam agama dipanggil dakwah dan dalam politik pilihan raya dipanggil berkempen, jadi tidak timbul masalah jika saya menggunakan pendekatan itu dalam mana-mana kempen pilihan pilihan raya," katanya mengulas kenyataan Mufti Perak itu.
Itulah contoh sikap angkuh pemimpin Pas yang langsung tidak mahu mendengar pandangan dan teguran ikhlas pihak lain, malah pandangan ikhlas Mufti itu pula diputarbelitkan bagi membenarkan apa yang mereka (pemimpin Pas) lakukan dan meletakkan begitu rendahnya teguran seorang Mufti.
Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang sendiri memulakan fatwa ‘jihad menentang Umno’ sejak tahun 1981 lagi. Melalui amanat atau ucapannya di Kampung Banggol Peradong Haji Hadi berkata:
“Saudara-saudara sekalian, percayalah! Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno, kita menentang BN bukan kerana namanya BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itu kita menentang mereka, itulah kita berjuang melawan mereka.
Saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam.”
Namun sekarang apabila Pas mentadbir Kelantan, dan Kedah, bahkan Perak sebelum ini, perlembagaan mana yang mereka gunakan?
Di Pulau Pinang dan Selangor yang sama-sama mereka membentuk kerajaan dalam pakatan pembangkang (DAP,PKR dan Pas) tidakkah mereka mengekalkan juga peraturan yang dianggap oleh Haji Hadi sebagai peraturan jahiliyah.
Tidakkah perlembagaan dan peraturan yang danggap kafir itulah diterima pakai oleh pemimpin mereka? Atau mereka telah membuat perlembagaan baru di negeri-negeri itu? Jawabnya tidak pun!
Malah kita lihat banyak peraturan-peraturan baru dibuat bercanggah dengan Islam, termasuk berkaitan premis arak, pusat hiburan keterlaluan yang semakin bertambah dibenarkan. Bahkan pusat hiburan dan rumah-rumah urut di Selangor sekarang ini bertambah berkali ganda dari sebelumnya.
Di Selangor Pas bukan sahaja gagal melaksanakan apa yang dijanjikan malah turut bersubahat dengan rakan pakatan mereka untuk terus menyemarakkan perkara yang dianggap haram sebelum ini.
"Dulu semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor mengikut statitik Majlis Keselamatan Negara, cuma ada 1,300 pusat hiburan tapi sekarang di bawah pemerintahan pakatan pembangkang pusat hiburan makin bercambah lebih 4,000 pusat hiburan.
Di Pulau Pinang semua orang sudah tahu apa yang sedang berlaku. Orang Islam dan bumiputera terus menerima padahnya di bawah pakatan DAP, PAS dan PKR.
Hendak laksanakan perundangan Islam jauh sekali, malah perarakan Maulidur Rasul pun hendak dihapuspindakan.
Di Kelantan walaupun sudah 20 tahun memerintah, hukum hudud dan perundangan Islam tidak pun dijalankan.
Di Kedah, di pemerintahan Pas sekarang soal hukum hudud dan perundangan Islam langsung tidak disentuh, malah didiamkan begitu sahaja.
Oleh itu dalam situasi sebegini Haji Hadi hendak mengajak berlawan dengan siapa ? Berlawan dengan diri sendiri, dengan beliau dan orang-orang Pas sendiri? kerana beliau telah melanggar segala yang difatwa dan diamanatkan itu.
Kesemuanya ini membuatkan perjuangan Pas ditolak majoriti rakyat kerana pemimpin mereka hanya pandai bermain fatwa dan kata-kata agama sahaja, tetapi bila berkuasa tidaklah dibuat sebagaimana dikata.
Rakyat Terengganu sendiri telah mengetahui segalanya sewaktu berada di bawah Pas selama empat tahun (1999-2004).
Sudah pasti pilihanraya umum (PRU) ke 13 akan semakin dekat.
Pun begitu BN atau Umno termasuklah di Terengganu jangan terlalu berasa selesa dengan senario kini. Sama ada dalam keadaan selesa atau pun dalam keadaan terhimpit, persiapan perlu dibuat dan jangan leka.
Buatlah persiapan lebih awal untuk menghadapinya. Insya Allah BN tetap di hati rakyat !