Halaman

09 March 2011

PERDANA MENTERI LAWAT TERENGGANU 30 APRIL DEPAN



Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dijangka membuat lawatan ke Terengganu pada 30 April ini.

Lawatan ini tentunya bermakna kepada Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar kerana akhir bulan Mac ini adalah genaplah tiga tahun beliau diamanahkan menerajui Terengganu.


Dato’ Seri Ahmad menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008 dan mengangkat sumpah menjawat jawatan itu di Istana Maziah pada 30 Mac 2008.

Kehadiran Presiden Umno ini juga amat bermakna berikutan Dato’ Seri Ahmad dilantik menerajui semula Umno Terengganu, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pada 1 Januari baru-baru ini.

Mengumumkan lawatan ini, Dato’ Seri Ahmad berkata, ia adalah siri lawatan Perdana Menteri ke negeri-negeri seluruh negara dalam usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.


Kira-kira tiga bulan lalu iaitu pada Disember 2010, Perdana Menteri telah hadir ke negeri Terengganu melancarkan Kelab Motor Terengganu bersama ribuan remaja di Stadium Tertutup, melawat pasar Chabang Tiga dan berkunjung ke rumah warga emas Esah Mamat,90 tahun di kampung berkenaan.


Sesungguhnya kehadiran Perdana Menteri amatlah dialu-alukan oleh rakyat Terengganu, lebih-lebih lagi dari kalangan ahli dan pendokong Umno yang amat berterima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad menerajui semula Umno Terengganu.
Oleh: Ruslan Rahman




Kerajaan tingkat pengeluaran air sehingga 2015

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM82.50 juta bagi melaksanakan projek-projek pembangunan bekalan air seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut RM72.0 juta adalah sumber pinjaman Kerajaan Pusat manakala bakinya iaitu RM10 juta dari sumber kerajaan.

“Antara projek yang diluluskan terdiri dari projek sambungan dan projek baru,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Katanya, projek bekalan Air Besut Peringkat 111, yang menelan belanja RM66 juta sedang dalam pembinaan, antara usaha meningkatkan kapasiti loji di Bukit Bunga dari 61.75 juta liter sehari kepada 99.5 juta sehari bagi menampung kepentingan air sehingga 2015.

Selain itu katanya, usaha juga sedang dibuat bagi mengurangkan kadar kehilangan Air Tidak Terakuan (NRW) dengan kos RM45.75 juta dan projek ini akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) membabitkan kos RM11 juta lagi untuk pelan pelaksanaan utama dengan sasaran mencapai 30 peratus NRW menjelang 2015.

Katanya, sebanyak RM32.7 juta turut dibelanjakan bagi projek naik taraf Loji Air Tepus di Dungun bagi menampung permintaan bekalan air domestik dan industri di kawasan Bukit Besi, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Jerangau dan sekitarnya.

“Projek bekalan air di Teluk Kalong dan Pasir Panjang di Pulau Redang juga sedang giat dijalankan dengan kos RM10.5 juta,” katanya.

Sebanyak RM15.781 juta lagi untuk pembangunan infrastruktur sistem air paip tangki bermenara di Bandar baru Kijal, Kemaman yang kini sedang dilaksanakan.




Kerjasama padu antara Ukom dan Kawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerjasama yang sudah sedia terjalin di kalangan pengamal media dengan agensi pentadbiran negeri semakin padu hasil pertemuan antara persatuan yang menaungi seluruh organisasi media Terengganu dengan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di pejabat agensi kerajaan itu, di Kuala Terengganu,hari ini (9 Mac).

Program perjumpaan yang pertama antara Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan pegawai agensi itu dengan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) diketuai Presidennya, Encik Ayob Mamat berlangsung kira-kira dua jam. Hadir sama, Ketua Biro Sinar Harian, Puan Rohayu Mustafa.
Haji Shamsuddin berkata, pihaknya sedar bahawa media memainkan peranan yang cukup penting dalam jatuh bangun sebuah negeri khususnya dalam aspek politik. Malah, media menjadi antara komponen utama dalam pentadbiran negeri yang bertindak sebagai medium penyebar luas segala perkembangan dan isu semasa untuk diketahui rakyat.

Malah, beliau sentiasa berfikiran terbuka dan menghormati peranan serta hak media, selain akan terus bekerjasama dalam memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat dan timbal balas dalam apa jua perkara.

“Saya mahu menjadikan Kawat sebagai rakan kongsi strategik dan Ukom akan bertindak sebagai agensi perantara dalam membantu merapatkan hubungan pengamal media negeri ini dengan institusi pentadbiran negeri terutama Pejabat Menteri Besar sendiri.

“Kita juga mahu media sentiasa dan akan terus membantu memperkasakan institusi kerajaan, Pejabat Menteri Besar serta politik negeri ini selaras dengan hasrat dan misi yang digariskan pentadbiran negeri melalui kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said,” katanya yang cukup berterima kasih kepada Kawat kerana mengatur pertemuan bermakna itu.

Menurut beliau, Ukom melalui Bahagian Perhubungan Awam dan Seranta juga mengatur pelbagai program yang melibatkan organisasi media dan kerjasama dengan Kawat termasuk Retreat Media, Jelajah Media serta Bicara Media Bersama Pemimpin Negeri yang melibatkan beberapa siri sejak bulan lalu.

Sementara, Encik Ayob pula berharap pertemuan itu mampu merapatkan hubungan dan menambahkan lagi kemesraan yang sedia terjalin sejak dulu di kalangan pengamal media dengan agensi kerajaan khususnya Pejabat Menteri Besar .

Katanya, Kawat akan memberi sepenuh komitmen dan promosi secara meluas dalam apa jua program yang dilaksanakan agensi kerajaan itu menerusi program kerjasama supaya mampu memberi faedah kepada kedua-dua pihak.




Hasil ladang sawit urus anak yatim

Oleh: Esah Abdullah

Ladang Kelapa Sawit, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) menjana pendapatan RM3.9 juta tahun lalu hasil pengeluarannya dari kawasan ladang seluas 313 hektar di Kemaman.

Pendapatan hasil ladang ini menjadi pemangkin kepada Perkaya untuk belanja mengurus anak-anak yatim di negeri ini khususnya yang berada di Asrama Perkaya Pulau Kerengga, Marang dan Jabi, Setiu.

Pegawai Eksekutif Ladang Sawit Perkaya, Haji Harun Hasan berkata, tahun lalu harga sawit berada pada harga RM700 satu metrik tan (mt) dengan pengeluaran buah 5,600 mt.

“Dua bulan pertama tahun ini, harga kelapa sawit meningkat kepada RM800 satu mt, tetapi pengeluaran buah sedikit menurun iaitu 600 mt pada Januari dan turun kepada 500 mt pada Februari lalu,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, di samping hasil ladang, Perkaya juga mengambil inisiatif menternak lembu dan kambing yang ditempatkan di ladang kelapa sawit.

“Setakat ini terdapat 200 ekor lembu dan 400 ekor kambing yang diternak di ladang dan ini juga dapat menambah pendapatan dalam usaha Perkaya memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak yatim di bawah jagaan pertubuhan itu,” katanya.

Selain itu katanya, Perkaya membuat perancangan untuk membuka ladang jagung dan telah kenal pasti kawasan seluas 56 hektar dan kini dalam proses dengan Pejabat Tanah.




Tidak cukup Islamkah Kerajaan BN?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin Pas sering mendakwa mereka mahu menubuhkan sebuah negara Islam jika diberi kuasa untuk memerintah negara ini.

Kata mereka kerajaan yang ada sekarang ini tidak Islamik dan mereka mahu mengubah kerajaan supaya menjadi sebuah kerajaan yang Islamik.

Benarkah dakwaan itu? Sebagai tatapan, kita ikuti beberapa perkara atau langkah yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Mulai awal tahun ini, Kerajaan Terengganu bersetuju menaikkan bayaran imbuhan bulanan imam dari RM600 kepada RM800 manakala bilal daripada RM450 kepada RM600 sebulan.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM12 juta pada setiap tahun bagi membayar elaun imam dan bilal yang bertanggungjawab membantu mengimarahkan masjid.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar dihidupkan semula bantuan khas tambang penerbangan kelas ekonomi pergi dan balik untuk menunaikan fardu haji kepada imam dan bilal masjid mukim, yang berkhidmat melebihi 10 tahun dan belum pernah menunaikan haji.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan Program Anugerah Imam Bilal Cemerlang yang dimulakan sejak tahun 2006, sebagai motivasi kepada golongan tersebut untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Pada tahun lepas, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan kira-kira RM2.5 juta bagi mengadakan 25,691 aktiviti termasuk ceramah/kuliah agama di masjid dan surau, Kelas Pengajaran
Agama di pejabat dan Kelas Mendalami Agama (Tafakkuh) di seluruh negeri.

Bagi program Skim Menghafaz al-Quran pula, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM2 juta setahun bagi membayar elaun kepada para hafiz dan hafizah.

Pada musim cuti sekolah ini JHEAT, Maidam dan beberapa agensi lain telah mengadakan kerjasama dengan Radio Malaysia Terengganu (Tfm), mengadakan program tadarus al-Quran di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam selama lima hari berturut-turut.

Program ini akan dirakamkan oleh Tfm dan disiarkan sepanjang bulan Ramadan yang akan disambut pada bulan Ogos depan.

Dengan kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan syiar Islam itu, penulis ingin bertanya adakah tidak cukup Islamik kerajaan sedia ada hinggakan kita mahu menggantikan dengan kerajaaan lain yang lebih Islamik?



Penyokong pembangkang mula sedar kebaikan kerajaan-MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Rakyat negeri ini lebih bijak menilai kebaikan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi pelbagai program demi kesejahteraan dan faedah rakyat tanpa mengira fahaman politik .

Atas faktor itulah Terengganu yang pernah diperintah oleh Pas kembali kepada BN apabila rakyat membuat keputusan untuk menolak Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 yang lalu.
“Pada 1999, isu hebat berlaku dalam politik yang tidak mampu dibendung menyebabkan `tsunami politik’ berlaku di Terengganu. Tetapi apabila arus kedua datang kita dapat pertahankannya.

“Kalau melihat sejarah pada 1959, negeri pertama jatuh ke tangan Pas adalah Terengganu. Pas tidak mampu bertahan lama di Terengganu kerana mereka (Pas) gagal mentadbir negeri sebagaimana Umno dan BN mentadbir. Kebaikan yang kita lakukan menyebabkan rakyat dapat membuat perbandingan dan kembali ke pangkuan BN,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika sidang media, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Malah, Menteri Besar juga yakin penyokong Pas di kawasan yang dimenangi parti itu sudah mula sedar bahawa mereka juga dihargai apabila mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat sebagai rakyat Terengganu.

“ Tiada sebab untuk mereka menentang kerajaan secara mutlak kecuali mereka yang memang `hardcore’ Pas. Walau apapun diberi mereka tetap akan menyokong Pas. Tetapi mereka yang pertengahan pasti boleh berfikir dan akan berterima kasih kepada kerajaan atas apa yang sudah dilakukan seperti menghantar anak mereka belajar, memberi biasiswa, pinjaman dan menyediakan kemudahan serta bahan bantuan belajar,” katanya lagi .

Oleh sebab itulah, beliau yakin kawasan yang dikuasai Pas termasuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk mempunyai peluang cerah untuk ditawan semula pada PRU ke-13 nanti.

Katanya, pengikut Pas sepatutnya boleh bersikap lebih rasional dan tidak terikat dengan apa yang diperkatakan oleh pemimpin mereka walhal mereka menyedari kebaikan yang dilakukan kerajaan BN dan Umno.

“Di Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau umpamanya, ada poster Pas yang dinaikkan secara besar-besaran berbunyi `beri barang ambik, tetapi undi rahsia’. Mana rasionalnya kerana sebagai pemimpin Islam mereka tidak menggambarkan ajaran Islam, sedangkan Islam mengajar kita supaya sentiasa mengucapkan terima kasih,” kata beliau merujuk kepada senario PRK Kerdau, baru-baru ini.

Katanya, rakyat dan masyarakat Islam sepatutnya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada sesama manusia dan Allah s.w.t selain menjaga tingkah laku termasuk tidak memaki hamun kepada orang yang memberi kerana sikap tu bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sebagai contoh di kawasan saya (Dun Kijal) murid Tahun Lima yang mendapat e-Book sebanyak 730 unit manakala (Dun) Batu Buruk pula mendapat 830 unit, manakala penerima Dana Hari Raya di kawasan saya lebih kurang 5,000 orang, di Batu Buruk juga lebih kurang 5,000 lebih, maknanya sama sahaja,” katanya.

Katanya, konsep itu seakan-akan orang Kemaman (Kijal) lebih pandai berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan itu berbanding orang-orang di Batu Buruk yang tidak pandai bersyukur sehingga mereka menolak BN pada PRU lalu.

“Kita berjanji lebih banyak lagi perubahan yang akan dilakukan dan bukan melakukan perubahan yang melibatkan perkara sama di setiap tempat. Apabila kita bagi sesuatu, maknanya mereka perlu lakukan sesuatu sebagai timbal balas.

“Tidak mungkin kita sahaja memberi sepanjang masa dan apa yang kita harapkan mereka mengundi BN serta kesannya anak dan keluarga mereka mendapat nikmat dari segi pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN,” katanya.



Menteri Besar bersama rombongan akan ke Cuba

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said menerima kunjung hormat Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores di pejabatnya di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bersama rombongan akan mengadakan lawatan kerja ke Cuba dalam usaha menjalinkan kerjasama dan meninjau peluang pelaburan di negara itu.

Beberapa Proffesor berkaitan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA) dan Universiti Malaysia Terengganu akan turut serta dalam lawatan itu yang dijangka bertolak pada Mei atau Jun nanti.

Dato’ Ahmad berkata, bio-teknologi dan nano-teknologi adalah antara bidang utama yang menjadi tumpuan dalam kerjasama dua hala itu.

“Kerjasama dua hala dalam bidang berkenaan dibuat memandangkan Cuba adalah antara negara yang telah maju dalam kedua-dua bidang itu dan kita berharap ia dapat melonjakkan industri itu di Terengganu,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas menerima Kunjungan Hormat Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (9 Mac).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dijangka hadir dalam Program Sehari di Terengganu pada 30 April ini.

Program Sehari itu adalah dalam siri lawatannya ke negeri-negeri seluruh negara dalam usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.



Duta Cuba puji Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Duta Cuba ke Malaysia, H.E Carlos A Amores memuji keindahan Terengganu terutama berkaitan Taman Tamadun Islam (TTI).

Beliau datang ke negeri ini untuk mempelawa kerajaan Terengganu melawat Cuba bagi meninjau peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

"Malaysia dan Cuba telah menjalin hubungan dua hala yang baik di pelbagai peringkat. Walaupun begitu, kita masih lagi perlu mempertingkatkan kerjasama," katanya.

“Pelbagai peluang pelaburan di Cuba terutama di bidang pelancongan, perubatan dan kesihatan selain teknologi nano dan bio-teknologi,” katanya.

Katanya, Cuba masih memerlukan lebih banyak hotel dan kemudahan dalam bidang pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negara itu. Cuba dikunjungi pelancong asing kira-kira 2.5 juta setahun.

“Cuba telah banyak mencapai kejayaan dalam bidang bio-teknologi terutamanya yang melibatkan farmasiutikal.

“Ketika ini terdapat lebih 30,000 pelajar dari 70 buah negara yang sedang belajar dalam pelbagai bidang di negara itu,” katanya.



MB tinjau pembangunan pulau di Tasik Kenyir

Oleh: Raja Faisal dan Mohamad Shahrir

Menteri Besar, Dato’ SeriHaji Ahmad Said meluangkan masa selama lima jam mengunjungi pulau-pulau di Tasik Kenyir dalam rangka lawatan kerja beliau ke Tasik Kenyir petang semalam (8 Mac 2011).

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim, meninjau pembangunan di Taman Orkid, Taman Burung, Taman Tropika, dan penebangan balak dalam air di sekitar Pulau Bayas.

Taman Burung yang terhasil daripada cetusan idea Dato’ Seri Ahmad kini menempatkan 120 spesies burung tanah terdiri daripada Merak, Puyuh, Kuang dan lain-lain. Di samping itu, Menteri Besar berpeluang memberi makan kepada beberapa spesies itik yang kelihatan galak berkeliaran di kawasan air taman tersebut.

Pulau Bayas bakal menjadi servis jeti iaitu menaikkan kargo yang boleh memuatkan satu kargo pada satu masa, pulau yang berkeluasan 700 hektar ni bakal menjadi “Kenyir Trade Centre” dilengkapi dengan pusat membeli belah bebas cukai.

Lawatan singkat Menteri Besar itu turut menampakkan kerja-kerja pembangunan sedang giat dijalankan dalam usaha menjadikan Tasik Kenyir destinasi pelancongan utama di Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau Dato’ Seri Ahmad telah menanam beberapa anak pokok di Pulau Jeram Kelabu serta meninjau antara penempatan pelancong terbesar dan terbaik di Tasik Kenyir iaitu Petang Island Resort, Pulau Petang.

Pulau Petang menerima peruntukan besar daripada kerajaan negeri untuk membangunkan dewan serbaguna serta memperbanyakkan chalet di pulau tersebut bagi menampung kebanjiran pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Lawatan yang bermula 2.30 petang telah berakhir pada jam 7.00 malam apabila Kenyir Sanctuary Resort, Pulau Pos menjadi destinasi terakhir.







http://webtv.terengganu.gov.my/?p=2142

Nasib dua anak yatim piatu dibela

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Haji Abdul Razif Abd Rahman, turut menyambut ketibaan kedua-dua beradik tersebut, di perkarangan Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak, hari ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Impian dua beradik yatim piatu dari Kampung Gong Kuin 2, dekat Gong Badak, untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat sekolah menengah tercapai hari ini apabila pelbagai agensi kerajaan membantu mereka dengan menempatkan di Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak, hari ini.

Dua beradik berkenaan, Norsuhana Abd Razak, 15, dan adiknya Nor Suriati, 13, masing-masing dimasukkan ke tingkatan tiga dan tingkatan satu sekolah menengah berkenaan, mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Abdul Razif Abd Rahman, turut menyambut ketibaan kedua-dua beradik tersebut, di perkarangan sekolah berkenaan.

Wakil daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan pengurusan penempatan pelajar berkenaan, termasuk Jabatan Pelajaran Negeri, Yayasan Terengganu dan pengetua serta guru-guru sekolah berkenaan turut menyambut kedatangan pelajar itu.



Dua beradik itu yang kini yatim piatu setelah kematian ayah mereka, Abdul Razak Hussin, dua minggu lalu, tercicir daripada meneruskan pengajian keraan kemiskinan keluarga. Emak mereka meninggal dunia lebih dua tahun lalu.

Keadaan dua beradik dari keluarga besar itu bertambah parah selepas kematian ayah mereka kerana tidak ada orang yang menguruskan keluarga, termasuk menyediakan keperluan harian dan makan minum.

Haji Ahmad Razif berkata, YT membeli pakaian seragam dan pelbagai keperluan persekolahan dua beradik tersebut serta wang saku untuk ke sekolah.

“Pihak kami akan memantau perkembangan mereka dan jika pelajar berkenaan menunjukkan prestasi pembelajaran yang memberangsangkan, YT akan memberi biasiswa kepada mereka,” katanya.



Beliau berkata, pelbagai agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memantau keperluan keluarga berkenaan dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Beliau berharap mereka dapat meneruskan pengajian dengan baik dan mampu meraih keyaan cemerlang dalam pelajaran, bagi membantu ahli-ahli keluarga yang lain.