Halaman

05 April 2011

Pendekatan Tfm selaras hasrat kerajaan

Oleh: Esah Abdullah



Pendekatan Radio Malaysia Terengganufm (Tfm), mengadakan program-program di lokasi awam ternyata selaras dengan hasrat kerajaan negeri mendekati rakyat menerusi pelbagai aktiviti.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, usaha Tfm turun padang menjayakan program radio di lokasi mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat.


“Kerajaan berterima kasih kepada Tfm kerana melalui program yang diadakan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya di majlis sambutan Hari RTM Ke-65 serta Tfm Bersama Pendengar dan Penaja di Auditorium Terengganufm petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Program Radio Malaysia, Haji Mohamad Mat Husin; Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Dr Nawiyah Che Lah dan Pengurus Besar, Telekom Malaysia Berhad, Encik Badrul Hisham Bahari.

YB Haji Khazan berkata, kerajaan turut menghargai usaha Tfm yang sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan rakyat di negeri ini.

“Antara program berkenaan termasuk tadarus al-Quran, suara kampus, rentak remaja dan Terengganu indah yang turut memperkenalkan tempat-tempat menarik dan produk keluaran rakyat tempatan,” katanya yang turut melancarkan buku koleksi pantun Guana Gamok Orang Kita (GGOK) dan wajah baru van Tfm.

Begitu juga dengan koleksi buku GGOK yang memuatkan pantun-pantun dari pendengar, dikumpul dan dibukukan menerusi rancangan mari berpantun yang ke udara setiap Jumaat.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat mempopularkan budaya berpantun kalangan masyarakat terutama golongan muda yang hampir lupa pada kesenian budaya bangsa Melayu,” katanya.

YB Haji Khazan juga melahirkan keyakinan, apa yang disalurkan melalui Tfm adalah untuk menyampaikan maklumat dan isu semasa kepada rakyat di samping hiburan yang berkualiti dan berinformasi.





TED elak kepupusan penyu

Oleh: Aida Abd Rahman


ELAK PUPUS.....YB Datuk Haji Za'abar ketika melepaskan penyu kembali ke laut.

Jabatan Perikanan bercadang menggalakkan nelayan di negeri ini menggunakan Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat tunda udang sebagai satu usaha mengelak kepupusan penyu.

Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan, Encik Gulamsarwar Jan Mohammad berkata, langkah itu penting kerana penggunaan pukat jenis tersebut dikenal pasti sebagai punca utama penyu terperangkap dan mati.

Menurutnya, masalah serupa turut berlaku secara meluas di negara-negara lain sehingga menyebabkan reptilia tersebut mengalami ancaman kepupusan.

Encik Gulamsarwar berkata, peraturan seumpama itu telah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) supaya negara-negara pengeksport hasil tangkapan laut menggunakan TED pada pukat tunda mereka.

“Tanpa TED hasil tangkapan udang adalah dilarang untuk dieksport ke AS dan peraturan ini adalah merujuk kepada US Shrimp Import Embargo yang berkuatkuasa pada 1996,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penyu dan TED sebagai mewakili Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Yayasan Penyelidikan Marin (MRF) Sabah, Dr. Nicolas J. Pilcher dan Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Encik Nazuki Sulong.

Encik Gulamsarwar berkata, pihaknya sedang memperhebatkan usaha untuk memberi kesedaran kepada golongan nelayan mengenai kepentingan peralatan tersebut dalam usaha menyelamatkan penyu daripada pupus.



Alat itu mula digunakan di Sabah dan setakat ini lebih 100 TED berharga kira-kira RM400 seunit telah dipasang pada pukat tunda dan ia akan diperluaskan ke Semenanjung pula kelak.

Malah, dari tahun 2000 hingga 2010, sebanyak tiga juta biji telur penyu telah dieramkan manakala 1.9 juta ekor penyu berjaya ditetaskan sebelum dilepaskan semula ke laut.

Katanya, anak-anak penyu ini adalah hasil 34,000 kali pendaratan ibu penyu di negara ini dengan 90 peratus daripadanya mendarat di pantai Terengganu.





TATiUC peneraju melahirkan teknorat kejuruteraan lokomotif

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti Tati (TATiUC) terus meningkatkan usaha untuk muncul antara peneraju dalam melahirkan teknorat berkemahiran tinggi dan berketerampilan dalam pelbagai bidang kejuruteraan termasuk menawarkan kursus terbaru, Kejuruteraan Lokomotif bermula tahun depan.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata TATiUC merintis usaha memperkenalkan kursus itu selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat pengendali yang membangunkan bidang lokomotif negara dengan kemudahan, teknologi dan kepakaran yang ada.
Dalam perkembangan yang sama, TATiUC turut merancang menubuhkan dua kampus cawangannya di Miri, Sarawak dan Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini.

Katanya, dua kampus berkenaan bakal menawarkan kursus peringkat sijil dan
diploma dalam bidang teknologi mesin, minyak dan gas.

Menurut pengerusinya, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, perkembangan itu kian meletakkan TATiUC sebagai `pemain antarabangsa’ dalam arena pendidikan ketika ia menyasarkan untuk menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2015.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata sejajar dengan pengenalan kursuus baru itu, sebagai persediaan, beberapa kemudahan asas akan dibina termasuk sebuah landasan percubaan sejauh 1.5 kilometer.

“Dengan kerjasama pengeluar Trem, M-Rails International Sdn Bhd (M-Rails), TATiUC bakal menjadi pusat rujukan, latihan dan kepakaran kejuruteraan berkaitan teknologi dan industri itu selain membekalkan tenaga kerja yang berkemahiran.

“Kita akan pastikan TATiUC dapat merealisasikan hasrat itu serta yakin mampu menyediakan kemudahan kursus lokomotif dan kelengkapan yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan TATiUC turut diberi kepercayaan oleh syarikat berkenaan bagi menghasilkan reka bentuk trem yang dibina di Melaka. TATiUC dijangka menerima peruntukan RM200 juta bagi menjayakan projek kerjasama itu.



MRSM KT cipta nama peringkat antarabangsa

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila pelajarnya memenangi pelbagai kejohanan dan pertandingan reka cipta peringkat berkenaan.

Terbaru, pelajarnya, Muhammad Amiruddin Razali, 17, yang mewakili pasukan ragbi kebangsaan, muncul johan Kejohanan Ragbi Sekolah Antarabangsa 2011, yang diadakan di Thailand, baru-baru ini.

Seorang lagi pelajarnya, Faiz Fahmi, turut menerima anugerah kepimpinan MRSM apabila menyertai Program Pertukaran Pelajar dan Belia Asia-Timur Jepun 2010.

Pengetua MRSM Kuala Terengganu, Encik Mohamad Ali Mohamed, berkata sebelum ini maktab itu memenangi pelbagai anugerah reka cipta dan inovasi peringkat kebangsaan, termasuk pingat emas pertandingan Rekacipta & lnovasi UiTM Terengganu 2010, pingat emas Ekspo Kreativiti & Inovasi Universiti Malaya 2010 dan tempat kedua (kategori sekolah) Pertandingan Rekaan Malaysia 2011.



Beliau berkata, pihaknya sentiasa menghantar penyertaan setiap kali diadakan pertandingan reka cipta peringkat kebangsaan bagi menggalakkan pelajar mengetengahkan rekaan mereka.

Katanya, kecemerlangan pelajar bukan diukur berdasarkan kejayaan akademik saja, tetapi ia lebih bermakna jika disertai dengan kejayaan mereka menggunakan pemikiran bagi mencipta perkara-perkara yang boleh memberi faedah kepada masyarakat.

Bagi tujuan itu, MRSM Kuala Terengganu memberi galakan kepada pelajar merekabentuk dan mencipta alat-alat yang boleh memberi faedah kepada orang ramai berdasarkan daya kreativiti masing-masing.

Antara reka cipta pelajar berkenaan termasuk mesin (alat) mencabut kemuncup, alat amaran paras banjir dan alat penyejuk suhu badan berasaskan bunga raya.

“Setakat ini, kesungguhan pelajar terbalas kerana boleh dikatakan mereka akan menang sama ada pingat emas atau perak dalam setiap penyertaan itu,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, MRSM Kuala Terengganu mencatat sejarah apabila mendapat tempat kesembilan daripada keseluruhan 38 MRSM di seluruh negara, dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Seramai 17 pelajar daripada keseluruhan 117 calon MRSM Kuala Terengganu yang menduduki peperiksaan itu, mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang mereka duduki.



Teks ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Mazlan Ngah semasa merasmikan kursus pemantapan kepimpinan penjawat awam di Wisma Darul Iman



Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, saya mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana, dengan izin dan rahmatnya, dapat kita bersua muka dan berjumpa dalam majlis pagi ini yang dianjurkan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Insan.

Terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Insan kerana sudi menjemput saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan seminar ini.

Terima kasih dan syabas juga diucapkan kepada peserta seminar yang hadir pada hari ini, semoga para peserta semua dapat menimba ilmu dan menambah pengetahuan daripada penceramah yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur.

Di samping itu, saya mengharapkan para peserta akan sentiasa memberi fokus terhadap apa-apa yang dinyatakan, bersesuaian dengan tugas kita sebagai penjawat awam dan pengurus-pengurus syarikat GLC ini.

Kita perlu sedar bahawa sebagai penjawat awam, kita perlu belajar sepanjang hayat dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan awam dengan cara mempertingkatkan perkhidmatan berkualiti.

Seminar ini juga penting kepada penjawat awam dan pengurus-pengurus syarikat GLC bagi mencetuskan semangat patriotik dan jati diri agar cintakan agama, bangsa dan negara yang dirasakan semakin terhakis sekarang ini.

Moga kita tidak lupa kepada pejuang-pejuang bangsa sebelum dan selepas kemerdekaan seperti Pahlawan Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan lain-lain lagi serta kepada mantan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dato’ Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah sehinggalah kepada pemimpin sekarang iaitu YAB. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita sekarang.

Mereka telah menyumbang jasa kepada tanah air dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Saya juga mengharapkan dengan adanya seminar sebegini, pegawai-pegawai dan penjawat awam Negeri, persekutuan serta pemimpin-pemimpin di GLC akan terus berusaha dengan lebih gigih, rajin bekerja serta sentiasa menyokong dasar dan polisi yang digubal oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.

Sebagai contoh, penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC di Terengganu perlu menghayati apa yang dikatakan gagasan ”Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” Terengganu (MPPT).

Teras atau nilai dalam gagasan tersebut perlu dihayati oleh penjawat-penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC kerana ianya berteraskan cakna rakyat dan berteraskan kepada tanggungjawab untuk memudahkan segala urusan rakyat dengan kerajaan.

Asas atau nilai ini selaras dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari yang bermaksud ”Berikan kemudahan (kepada orang), dan jangan menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari kamu” .

Peranan kita sebagai penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC, yang pentingnya sebagai orang melayu yang beragama Islam, kita seharusnya sedar tentang kedudukan kita pada hari ini. Kemudahan dan nikmat yang kita kecapi pada hari ini semuanya dari perjuangan pejuang-pejuang nenek-moyang kita dahulu.


Nikmat kemerdekaan ini adalah hasil perjuangan mereka yang benar-benar komited dan tulus kepada agama, bangsa dan tanah air. Dari era penjajahan British, diikuti dengan cengkaman dan kezaliman Jepun, seterusnya kezaliman komunis sehinggalah penjajah British menyerahkan kuasanya semula.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kebebasan dari penjajahan bererti kemerdekaan yang memberi kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada anak watan untuk menentukan sendiri corak politik, ekonomi dan sosial rakyat di negara ini. Oleh itu, tugas dan peranan kita akan lebih bermakna lagi apabila wujud kefahaman dan kesedaran tentang kuasa yang ada di tangan kita.

Persoalannya, apa akan jadi kepada penjawat awam sekiranya jawatan, jabatan serta kerajaan berubah kepada pihak lain. Sudah tentu segala-galanya akan berubah. Ibarat nasi sudah menjadi bubur.


Justeru itu, kita perlu ingat kerana pisang tidak berbuah dua kali. Oleh yang demikian, kita sebagai penjawat awam dan pemimpin-pemimpin GLC hendaklah sedar tentang bahayanya perkara ini jika berlaku. Kita hendaklah sentiasa bersatu padu bagi mengelakkan musuh mengambil kesempatan akibat perpecahan sesama kita.

Kita lihat apa yang telah terjadi di Libya akibat perbalahan sesama sendiri, telah memberi ruang dan kesempatan kepada pihak musuh dan kepada kuasa besar Amerika Syarikat untuk menyerang negara tersebut, dengan berselindung di atas nama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bagi menghalalkan tindakannya menyerang Libya.


Ini boleh dijadikan suatu pengiktibaran kepada kita semua betapa ruginya permusuhan sesama sendiri dan yang untungnya adalah pihak ketiga.

Saya berharap juga bagi menyempurnakan amanah yang telah diberikan, penjawat awam Negeri, Persekutuan dan pihak GLC di negeri ini sentiasa mengamal dan menitikberatkan nilai murni seperti jujur, amanah, rajin, tekun, ketepatan masa, ketetapan fakta, teliti dalam pelaksanaan tugas serta kesanggupan untuk ”go to the extra miles” dalam memenuhi ekspektasi pelanggan.

Jika nilai-nilai yang dinyatakan itu diamalkan, saya yakin dan percaya akan mampu menghasilkan modal insan dan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan ”world class”.

Ini selaras dengan hasrat YAB. Perdana Menteri, Malaysia bagi mencapai hasrat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bermatlamatkan untuk meningkatkan kualiti khidmat awam dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan merubah perkhidmatan kerajaan ke arah lebih efektif dan bertanggungjawab bagi melonjakkan semua peringkat masyarakat ke tahap yang maju, bersatu padu, selamat dan adil dengan kualiti kehidupan tinggi, di samping menjadi penyumbang tercapainya Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sebagaimana dihasratkan kerajaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebagaimana yang kita sedia maklum, perkhidmatan awam kini menghadapi pelbagai cabaran. Peningkatan tahap kesedaran orang ramai tentang hak-hak mereka terhadap kerajaan dan perkhidmatan yang disediakan memaksa kita penjawat awam khasnya dan pengurus-pengurus GLC untuk mengubah cara bekerja, cara berfikir, perlu bertindak dengan lebih berkesan dan sentiasa mengikuti perkembangan tranformasi terkini, lantas ia memerlukan penjawat awam dan pemimpin-pemimpin GLC yang sentiasa berpandangan jauh, terbuka, kreatif, inovatif dan sentiasa berani membawa perubahan bagi meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian perkhidmatan yang diberikan.

Tumpuan terhadap produktiviti dan output semata-mata pada hari ini sudah tidak relevan lagi. Produktiviti kini haruslah digabungkan bersama kreativiti dan inovasi yang mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan penjawat Awam dan syarikat-Syarikat GLC, jika ianya sentiasa diamalkan.

Saya sentiasa mengharapkan agar Penjawat Awam dan Pengurus-Pengurus GLC di negeri ini khasnya, sentiasa mengetahui bahawa program pembangunan negeri perlu ditadbir dan diurus dengan lebih bijak dan berhemah demi kesejahteraan rakyat.

Saya juga mengharapkan peruntukan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan sentiasa dibelanjakan dengan baik dan terancang, meliputi pembangunan bandar dan luar bandar bagi memenuhi keperluan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan hidup mereka agar kejayaan pembangunan terus dikecapi oleh rakyat.

Akhirnya saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan, Yayasan Pembangunan Insan dan pihak Terengganu Integrity And Strategic Studies (T-ISSI) kerana berjaya menjayakan seminar ini.

Harapan saya dengan seminar seperti ini, di harap dapat mengeratkan lagi hubungan antara Pegawai-pegawai Negeri dan Persekutuan serta mengeratkan lagi hubungan dengan pengurus-pengurus GLC, di samping menguatkan lagi jati diri kita sebagai orang melayu Islam.

Dengan lafaz ’Bismillahirrahman nirrahim’, saya merasmikan Seminar Pemantapan Kepimpinan bagi Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan GLC ini.

Sekian, Wabillah hi taufik, walhidayah, wassalamualaikum w.b.t





04 April 2011

Kerajaan bantu penanam tembikai

Oleh: Esah Abdullah


Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat meninjau petani yang menanam tembikai di Kampung Baroh, Pecah Rotan, Batu Rakit.

Kerajaan negeri akan memberi bantuan dalam bentuk kewangan atau bantuan benih dan baja kepada petani yang mengalami kerugian akibat ditenggelami air dalam kejadian hujan lebat yang melanda negeri ini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan sumber kewangan daripada Tabung Darul Iman (TDI) manakala bantuan lain seperti baja dan benih akan disalurkan melalui Jabatan Pertanian.

“Kejadian bencana alam tidak mampu dielakkan dan kedatangannya juga tanpa diduga, lalu sebagai manusia biasa kita perlu pasrah dan jangan berputus asa dengan nikmat Allah,” katanya ketika ditemui di kawasan projek tanaman tembikai di Kampung Baroh, Pecah Rotan, Batu Rakit baru-baru ini.

YB Haji Khazan juga meminta petani terbabit membuat laporan lengkap mengenai kerugian yang dialami serta senaraikan keperluan lain bagi memulakan tanaman baru pada masa akan datang.

“Kita faham kesusahan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada tanaman berkenaan sebagai punca pendapatan menyara keluarga dan dalam keadaan sekarang mereka amat perlukan sokongan untuk bangunkan semula kawasan pertanian itu,” katanya.

Seramai 51 petani dari Kampung Terap, Darat Batu Rakit dan Pecah Rotan mengalami kerugian apabila 45 hektar tanaman tembikai mereka ditenggelami air sedalam 1.5 meter dalam kejadian hujan lebat yang melanda baru-baru ini dan kerugian dianggarkan mencecah RM400,000.

Setiap peserta mengusahakan satu hingga tiga hektar tanaman tembikai yang dijangka mencapai tempoh matang dua minggu lagi tetapi malang tidak berbau, semua hasil tanaman musnah akibat ditenggelami air selama seminggu.

Ketika memulakan projek tanaman berkelompok berkenaan pada Januari lalu, kumpulan petani ini mendapat bantuan baja dan benih tanaman dan mereka dijangka memperolehi hasil sekitar RM4,000 hingga RM16,000 bergantung kepada keluasan tanaman.


PKT berperanan jana pendidikan TVET

Oleh: Aida Abd Rahman

Politeknik Kuala Terengganu (PKT) menawarkan lebih 50 program peringkat Diploma dan Diploma Lanjutan untuk lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pelajaran.

Pengarah PKT, Encik Mohd Fauzi Ibrahim, berkata sebagai institut pendidikan teknikal di bawah institusi pendidikan tinggi awam, PKT berperanan menjana modal insan menerusi penyediaan akses kepada program berkualiti sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Katanya, kerajaan serius dalam memenuhi keperluan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baru dalam bidang TVET menjelang 2010.

“Bagi menjayakan program yang ditawarkan PKT mengambil inisiatif mengadakan program `Jom Masuk Politeknik’ bagi menggalakkan lebih ramai pelajar berminat menyambung pengajian,” katanya.

Encik Mohd Fauzi berkata, program itu juga antara platform relevan bagi mendekati masyarakat setempat serta meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai peluang pengajian yang ditawarkan.

Program diadakan di dua lokasi, iaitu pada 24 April di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih dan 27 hingga 28 April di PKT sendiri bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.




Imam, bilal ambil iktibar kisah Palestin- Pesuruhjaya JHEAT

Oleh: Aida Abd Rahman

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) , Haji Mohamad Rozali Salleh meminta semua imam dan bilal di negeri ini mengambil iktibar daripada isu Palestin yang tidak pernah berpenghujung akibat perebutan kuasa.

Beliau mengingatkan Kumpulan pemimpin barisan depan dalam masyarakat Islam itu menghayati kejadian yang menarik perhatian dunia itu secara rasional dan menjadikannya sebagai titik tolak untuk memperkuatkan lagi perpaduan di dalam komuniti hari ini.

Haji Mohamad Rozali berkata, akibat perebutan kuasa, Israel mengambil kesempatan menzalimi rakyat yang tidak berdosa dan menindas golongan kanak-kanak serta wanita tanpa perikemanusian.

“Kita perlu mengambil contoh teladan daripada kisah malang rakyat Palestin dan jangan jadi orang berpecah belah sesama sendiri serta bertelegah kerana ketiadaan ketua. Kita sepatutnya bersyukur kerana kita terus berada di sini bersama anak cucu kita merasai nikmat yang ada.

“Sepatutnya kita satukan semula kuasa orang Melayu dalam satu barisan, bagi mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan kuat. Jangan ada musuh Islam yang boleh melumpuhkan kekuatan kita,” katanya ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Naib Yang Dipertua Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim.

Haji Mohamad Rozali berkata, peranan yang dipikul imam bilal bukan hanya mengimarahkan masjid sebaliknya juga menyatupadukan masyarakat supaya lebih kuat dan tidak terpengaruh dengan anasir yang tidak baik sehingga menyebabkan berlaku perpecahan.

Katanya, akibat fahaman politik yang sempit juga , ramai di kalangan umat Islam berpecah -belah sedangkan semua umat seharusnya mengambil langkah terbaik bagi menangani masalah dan tidak mengambil kesempatan dengan menindas antara satu sama lain.




Penjawat awam perlu belajar sepanjang hayat – SUK

Oleh: Kamarudin Mat Akib


SUK, Dato' Mazlan Ngah bersalaman dengan peserta Kursus Pemantapan Kepimpinan Awam Negeri Terengganu, Persekutuan dan GLC di Wisma Darul Iman. - Foto: Harish Fadzillah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, mengingatkan penjawat awam supaya mengamalkan konsep belajar sepanjang hayat bagi memperbaiki mutu perkhidmatan awam dan meningkatkan perkhidmatan berkualiti.

Justeru itu, katanya, pelbagai seminar yang dianjurkan kerajaan amat penting kepada mereka serta pengurus-pengurus Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC ), bagi mencetuskan semangat patriotik dan jati diri agar cintakan agama, bangsa dan negara yang semakin terhakis.

”Moga kita tidak lupa kepada pejuang-pejuang bangsa sebelum dan selepas kemerdekaan seperti Pahlawan Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan lain-lain lagi serta kepada mantan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dato’ Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sehinggalah kepada pemimpin sekarang iaitu YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Kepimpinan Awam Negeri Terengganu, Persekutuan dan GLC di Wisma Darul Iman, hari ini.



Ketua-ketua jabatan agensi negeri dan Persekutuan serta penjawat awam menghadiri kursus tersebut.

Dato’ Mazlan berkata, pemimpin terdahulu banyak menyumbang jasa kepada tanah air dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

”Saya juga mengharapkan dengan adanya seminar sebegini, pegawai-pegawai dan penjawat awam Negeri, persekutuan serta pemimpin-pemimpin di GLC akan terus berusaha dengan lebih gigih, rajin bekerja serta sentiasa menyokong dasar dan polisi yang digubal oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.



”Sebagai contoh, penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC di Terengganu perlu menghayati apa yang dikatakan gagasan ”Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu (MPPT),” katanya.

Beliau berkata, teras atau nilai dalam gagasan tersebut perlu dihayati oleh penjawat-penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC kerana ianya berteraskan cakna rakyat dan berteraskan kepada tanggungjawab untuk memudahkan segala urusan rakyat dengan kerajaan.




DUN Bandar anjur My Geng BN

Oleh: Suriati Ali


YB Toh Chin Yaw mengadakan aktiviti kemasyarakatan bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di kawasan Bandar.

Pendekatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, menganjurkan program dan aktiviti kemasyarakatan nyata dapat memupuk semangat perpaduan antara pelbagai kaum dan masyarakat setempat.

Karnival My Geng BN yang diadakan pada 2 April lalu bermula jam 9 pagi hingga 10 malam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Antara aktiviti dan pertandingan yang diadakan sepanjang karnival itu termasuk, futsal, bola keranjang, bola jaring, sukan rakyat, pemeran pelbagai jabatan, kuiz, pertandingan mewarna, barbeku dan cabutan bertuah.


Golongan belia gembira dengan karnival yang diadakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Bandar yang Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan.

Hadir sama, Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Terengganu, YB Senator Puan Nordiana Datuk Haji Mohd Shafie, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Encik Badrol Hisham Zaki dan beberapa pemimpin setempat.