Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan salam 1Malaysia.
Alhamdulillah, saya mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana, dengan izin dan rahmatnya, dapat kita bersua muka dan berjumpa dalam majlis pagi ini yang dianjurkan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Insan.
Terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Insan kerana sudi menjemput saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan seminar ini.
Terima kasih dan syabas juga diucapkan kepada peserta seminar yang hadir pada hari ini, semoga para peserta semua dapat menimba ilmu dan menambah pengetahuan daripada penceramah yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur.
Di samping itu, saya mengharapkan para peserta akan sentiasa memberi fokus terhadap apa-apa yang dinyatakan, bersesuaian dengan tugas kita sebagai penjawat awam dan pengurus-pengurus syarikat GLC ini.
Kita perlu sedar bahawa sebagai penjawat awam, kita perlu belajar sepanjang hayat dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan awam dengan cara mempertingkatkan perkhidmatan berkualiti.
Seminar ini juga penting kepada penjawat awam dan pengurus-pengurus syarikat GLC bagi mencetuskan semangat patriotik dan jati diri agar cintakan agama, bangsa dan negara yang dirasakan semakin terhakis sekarang ini.
Moga kita tidak lupa kepada pejuang-pejuang bangsa sebelum dan selepas kemerdekaan seperti Pahlawan Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan lain-lain lagi serta kepada mantan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dato’ Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah sehinggalah kepada pemimpin sekarang iaitu YAB. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita sekarang.
Mereka telah menyumbang jasa kepada tanah air dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja.
Saya juga mengharapkan dengan adanya seminar sebegini, pegawai-pegawai dan penjawat awam Negeri, persekutuan serta pemimpin-pemimpin di GLC akan terus berusaha dengan lebih gigih, rajin bekerja serta sentiasa menyokong dasar dan polisi yang digubal oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.
Sebagai contoh, penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC di Terengganu perlu menghayati apa yang dikatakan gagasan ”Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” Terengganu (MPPT).
Teras atau nilai dalam gagasan tersebut perlu dihayati oleh penjawat-penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC kerana ianya berteraskan cakna rakyat dan berteraskan kepada tanggungjawab untuk memudahkan segala urusan rakyat dengan kerajaan.
Asas atau nilai ini selaras dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari yang bermaksud ”Berikan kemudahan (kepada orang), dan jangan menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari kamu” .
Peranan kita sebagai penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC, yang pentingnya sebagai orang melayu yang beragama Islam, kita seharusnya sedar tentang kedudukan kita pada hari ini. Kemudahan dan nikmat yang kita kecapi pada hari ini semuanya dari perjuangan pejuang-pejuang nenek-moyang kita dahulu.
Nikmat kemerdekaan ini adalah hasil perjuangan mereka yang benar-benar komited dan tulus kepada agama, bangsa dan tanah air. Dari era penjajahan British, diikuti dengan cengkaman dan kezaliman Jepun, seterusnya kezaliman komunis sehinggalah penjajah British menyerahkan kuasanya semula.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Kebebasan dari penjajahan bererti kemerdekaan yang memberi kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada anak watan untuk menentukan sendiri corak politik, ekonomi dan sosial rakyat di negara ini. Oleh itu, tugas dan peranan kita akan lebih bermakna lagi apabila wujud kefahaman dan kesedaran tentang kuasa yang ada di tangan kita.
Persoalannya, apa akan jadi kepada penjawat awam sekiranya jawatan, jabatan serta kerajaan berubah kepada pihak lain. Sudah tentu segala-galanya akan berubah. Ibarat nasi sudah menjadi bubur.
Justeru itu, kita perlu ingat kerana pisang tidak berbuah dua kali. Oleh yang demikian, kita sebagai penjawat awam dan pemimpin-pemimpin GLC hendaklah sedar tentang bahayanya perkara ini jika berlaku. Kita hendaklah sentiasa bersatu padu bagi mengelakkan musuh mengambil kesempatan akibat perpecahan sesama kita.
Kita lihat apa yang telah terjadi di Libya akibat perbalahan sesama sendiri, telah memberi ruang dan kesempatan kepada pihak musuh dan kepada kuasa besar Amerika Syarikat untuk menyerang negara tersebut, dengan berselindung di atas nama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bagi menghalalkan tindakannya menyerang Libya.
Ini boleh dijadikan suatu pengiktibaran kepada kita semua betapa ruginya permusuhan sesama sendiri dan yang untungnya adalah pihak ketiga.
Saya berharap juga bagi menyempurnakan amanah yang telah diberikan, penjawat awam Negeri, Persekutuan dan pihak GLC di negeri ini sentiasa mengamal dan menitikberatkan nilai murni seperti jujur, amanah, rajin, tekun, ketepatan masa, ketetapan fakta, teliti dalam pelaksanaan tugas serta kesanggupan untuk ”go to the extra miles” dalam memenuhi ekspektasi pelanggan.
Jika nilai-nilai yang dinyatakan itu diamalkan, saya yakin dan percaya akan mampu menghasilkan modal insan dan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan ”world class”.
Ini selaras dengan hasrat YAB. Perdana Menteri, Malaysia bagi mencapai hasrat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bermatlamatkan untuk meningkatkan kualiti khidmat awam dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan merubah perkhidmatan kerajaan ke arah lebih efektif dan bertanggungjawab bagi melonjakkan semua peringkat masyarakat ke tahap yang maju, bersatu padu, selamat dan adil dengan kualiti kehidupan tinggi, di samping menjadi penyumbang tercapainya Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sebagaimana dihasratkan kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Sebagaimana yang kita sedia maklum, perkhidmatan awam kini menghadapi pelbagai cabaran. Peningkatan tahap kesedaran orang ramai tentang hak-hak mereka terhadap kerajaan dan perkhidmatan yang disediakan memaksa kita penjawat awam khasnya dan pengurus-pengurus GLC untuk mengubah cara bekerja, cara berfikir, perlu bertindak dengan lebih berkesan dan sentiasa mengikuti perkembangan tranformasi terkini, lantas ia memerlukan penjawat awam dan pemimpin-pemimpin GLC yang sentiasa berpandangan jauh, terbuka, kreatif, inovatif dan sentiasa berani membawa perubahan bagi meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian perkhidmatan yang diberikan.
Tumpuan terhadap produktiviti dan output semata-mata pada hari ini sudah tidak relevan lagi. Produktiviti kini haruslah digabungkan bersama kreativiti dan inovasi yang mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan penjawat Awam dan syarikat-Syarikat GLC, jika ianya sentiasa diamalkan.
Saya sentiasa mengharapkan agar Penjawat Awam dan Pengurus-Pengurus GLC di negeri ini khasnya, sentiasa mengetahui bahawa program pembangunan negeri perlu ditadbir dan diurus dengan lebih bijak dan berhemah demi kesejahteraan rakyat.
Saya juga mengharapkan peruntukan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan sentiasa dibelanjakan dengan baik dan terancang, meliputi pembangunan bandar dan luar bandar bagi memenuhi keperluan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan hidup mereka agar kejayaan pembangunan terus dikecapi oleh rakyat.
Akhirnya saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan, Yayasan Pembangunan Insan dan pihak Terengganu Integrity And Strategic Studies (T-ISSI) kerana berjaya menjayakan seminar ini.
Harapan saya dengan seminar seperti ini, di harap dapat mengeratkan lagi hubungan antara Pegawai-pegawai Negeri dan Persekutuan serta mengeratkan lagi hubungan dengan pengurus-pengurus GLC, di samping menguatkan lagi jati diri kita sebagai orang melayu Islam.
Dengan lafaz ’Bismillahirrahman nirrahim’, saya merasmikan Seminar Pemantapan Kepimpinan bagi Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan GLC ini.
Sekian, Wabillah hi taufik, walhidayah, wassalamualaikum w.b.t