Halaman

08 April 2011

LPT 2 bakal dibuka akhir tahun ini.


Menteri Besar bersama rombongan meilhat peta LPT dari Gemuroh-Tepoh-Bukit Besi yang dijangka akan dibuka pada akhir tahun ini kepada pengguna. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) fasa 2 dari persimpangan Gemuroh, Tepoh menghala ke persimpangan Bukit Besi, Dungun dijangka dapat dibuka untuk kegunaan orang ramai selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Kerja-kerja terakhir membabitkan projek mega itu kini hampir 92 peratus siap manakala keseluruhan LPT 2 membabitkan kos RM3.69 billion dari Gemuruh ke persimpangan cheneh pula 73 peratus siap.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, apabila siap LPT fasa 2 berukuran 184 kilometer itu kelak, pengguna yang ingin menuju ke Kuantan hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam saja manakala ke Kuala Lumpur pula kira-kira 4 jam setengah.

“Pembinaan ini bukan saja menjimatkan masa dan tenaga pengguna malah mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu berikutan masa perjalanan lebih singkat dan cepat berbanding 6 jam hingga 8 jam sekarang.

“Untuk keselesan pengguna, pelbagai kemudahan disediakan termasuk sepuluh persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat, dua hentian rehat, tiga stesen timbang Jabatan Penguatkuasa Jalan (JPJ),” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke kerja ke LPT fasa 2, petang tadi (7 April).


Oleh: Suriati Ali


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Dagang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail dan Pengarah Pembinaan LPT, Ir Haji Adnan Ibrahim.

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu pihaknya mengakui projek yang terbahagi kepada dua perlaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) mengalami setahun kelewatan dan akan berusaha supaya dipercepatkan mengikut jadual.

Katanya, kelewatan yang terjadi tidak dapat dielakkan disebabkan beberapa faktor iaitu kemendapan tanah, kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.

“Kontraktor terbabit juga perlu dipersalahkan kerana sering bersikap cuai dan tidak melaksanakan tugasan secara mendalam terutama berkaitan mengkaji tanah mendap,” katanya.

“Kecurian kabel pula tidak akan berulang sehingga tujuh kali sekiranya barang itu dikawal selia dengan sempurna dan ditempatkan di kawasan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ir Haji Adnan berkata kajian terhadap kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk keseluruhan projek ini dibuat setiap dua kali seminggu bagi mengesan dan mengelak pemendapan tanah terus berulang.

“Langkah-langkah pengawalan terhadap eko-sistem turut dilaksanakan termasuk menanam rumput dan memasang perangkap kelodak (silt trap).

“Saliran permukaan, struktur ternaik, bukaan pembentung dibina sebagai laluan air dan haiwan semata-mata menjaga keseimbangan flora dan fauna di kawasan terbabit,” katanya.